Bermula pada abad ke-3 SM, semasa pemerintahan dinasti Han di China, Jalan Sutera yang bersejarah adalah laluan perdagangan yang utama antara timur dan barat selama beratus-ratus tahun lamanya.

Ia juga menjadi laluan paling selamat untuk membawa barang dan harta imperialis dan menjadi penyumbang utama dalam ikatan budaya dan diplomatik antara dunia Eropah dan Afrika dengan Asia.

Menjadi titik penting dan strategik dalam mengekalkan kestabilan ekonomi, laluan itu sering didominasi oleh pelbagai pihak dari masa ke semasa dan sering menjadi faktor penting dalam menentukan kekuatan dan hegemoni pelbagai kuasa dan pengaruh dari Asia.

Jalur berwarna merah menandakan Jalan Sutera ketika menjadi laluan paling penting di mana barang-barang diangkut dari China, India, dan Asia Tenggara ke Eropah. Garis biru menandakan laluan perdagangan rempah dimana ketika itu Jalan Sutera telah ditutup oleh Empayar Uthmaniyyah sejak 1453, yang mendorong Eropah untuk meneroka laluan laut di sekitar Afrika dan akhirnya ia mencetuskan Zaman Penerokaan.

Walau bagaimanapun, pada abad ke-13, semua itu tidak lagi berfungsi seperti biasa. Konflik, peper4ngan, dan penindasan yang berterusan telah menjadikan Jalan Sutera tidak lagi selamat untuk dilalui, kos melalui jalan merbahaya itu semakin meningkat kerana peningkatan keperluan mengambil khidmat pengiring bersenjata. Sehinggalah tiba nya zaman kebangkitan Mongol.

Semasa era pemerintahan Genghis Khan, sebahagian besar rangkaian dikawal dengan ketat, ia berikutan penaklvk Mongol mempunyai kepentingan besar dalam membataskan sistem perdagangan bebas dan membolehkan bajet ketenteraannya bertambah sebanyak mungkin.

Genghis Khan mula mengawal bahagian utara Jalan Sutera semasa awal penaklvkan nya, beliau menyebarkan kuasa dan pengaruhnya ke selatan. Dengan memvsnahkan dan mengawal pusat perdagangan bangsa Arab dan Turkik, Mongol dengan mudah menguasai majoriti laluan tersebut.

Di antara kota-kota yang telah dimvsnahkan sepenuhnya oleh pencerobohan Mongol adalah kota Merv di bawah Empayar Parsi Achaemenid, di mana seluruh penduduknya seramai kira-kira 700,000 orang telah dihapuskan pada 1221 oleh Tolui, salah seorang anak lelaki Genghis.

Sejarawan Parsi, Juvayni menggambarkan penaklvkan kota itu dengan frasa berikut:

“Ramai orang terbvnuh menjelang waktu malam sehingga gunung-ganang menjadi bukit-bukit, dan dataran itu dibanjiri dengan d4rah para pahlawan.”

Walau bagaimanapun, selepas tempoh penaklvkan yang penuh berd4rah itu, sempadan Empayar Mongol akhirnya telah dikukuhkan dan proses peluasan wilayah nya dihentikan.

Apabila Genghis Khan meninggal pada tahun 1227, dia mewariskan sebuah empayar yang luas terbentang dari Semenanjung Korea ke Poland, dan dari utara Russia ke Afghanistan dan sebahagian Parsi, bahkan menawan hampir keseluruhan Jalan Sutera.

Genghis Khan diisytiharkan sebagai Khagan untuk semua kaum Mongol. Ilustrasi dari manuskrip Jami ‘al-tawarikh abad ke-15

Itu adalah yang kali pertama dan kali terakhir di mana hampir keseluruhan laluan itu berada di bawah satu kuasa empayar tunggal, yang terbentang lebih dari sejauh 4,350 batu (7,000 kilometer).

Apa yang menyusul seterusnya adalah satu tempoh yang dikenali dalam sejarah sebagai Zaman Pax Mongolica. Hubungan perdamaian relatif dimulakan di Eurasia sebagai salah satu kesan langsung dari kempen ketenteraan dan kekuasaan politik Mongol, yang membolehkan laluan perdagangan itu kembali berfungsi seperti di zaman kegemilangannya sebelum itu.

Pandangan jarak dekat Atlas Catalan yang menggambarkan perjalanan Marco Polo ke Timur semasa Pax Mongolica

Pembukaan semula laluan ini menandakan zaman kegemilangan Jalan Sutera bermula lagi untuk kali ketiga, di mana untuk kali pertama ia berlaku semasa zaman Dinasti Han dan kali kedua bermula pada zaman Dinasti Tang semasa abad ke-7.

Selama dua tempoh sebelumnya, sutera merupakan bahan eksport yang paling utama, faktor ini lah yang mempengaruhi laluan itu mendapat namanya, tetapi Mongol turut membawa beberapa barangan lain yang mendapat permintaan yang tinggi dari Eropah.

Di antaranya ialah mutiara, permata, rempah ratus, logam berkualiti tinggi, ubat-ubatan, seramik, permaidani, pelbagai fabrik, dan perabot kayu.

Sistem dunia abad ke-13

Walaupun perdagangan adalah fungsi utama Jalan Sutera, ia turut memiliki peranan yang kuat dalam mengekalkan kawalan ke atas Empayar Mongol yang sangat luas.

Untuk menjaga aliran maklumat supaya sentiasa sampai kepada pihak intelejen Mongol sekaligus menjaga perjalanan barang dagangan, Mongol telah membina sejumlah besar karavanserai, sejenis pusat penginapan/persinggahan di pinggir jalan yang di taja oleh kerajaan, ia turut dibekalkan pondok kawalan keselamatan dan jambatan.

Mungkin kita boleh samakan sistem karavanserai dengan sistem Rehat & Rawat (RnR) di sepanjang lebuhraya moden Malaysia.

Salah satu contoh karavanserai. Sultan Hanı Caravanseray ini dibina semasa zaman Kesultanan Rum Turki Seljuk

Memandangkan Mongol yang kuat menjadi pemerintah, Jalan Sutera tentulah menjadi laluan yang selamat untuk perjalanan pedagang. Perdagangan berkembang pesat, menambahkan lagi kekayaan para pewaris Genghis Khan yang telah membahagi empayar besar itu kepada empat pemerintahan yang berbeza – Dinasti Yuan, Golden Horde, Chagatai Khanate dan Ilkhanate.

Sukar dipercayai, namun, laluan itu didakwa menjadi laluan yang sangat terjamin keselamatannya sehingga satu sumber mendakwa seorang gadis yang sarat dengan perhiasan emas boleh melaluinya dan pulang tidak sebarang ancaman.

Pokok-pokok yang merendang telah ditanam dengan begitu banyak di sepanjang jalan untuk melindungi para pedagang dari kehangatan cahaya matahari. Ini menunjukkan betapa makmurnya keadaan pada waktu itu memandangkan keselesaan para pengembara sebenarnya bukanlah keperluan utama mereka semasa pemerintahan Mongolia.

Disaat beberapa kota, seperti Merv, Baghdad dan banyak lagi kota diratakan dan mvsnah sepenuhnya hingga tidak pernah lagi mampu bangkit ke zaman kegemilangan mereka dahulu, kota-kota seperti Samarkand di Uzbekistan moden telah dibangunkan semula, sekali lagi menjadi pusat perdagangan utama di wilayah mereka.

Selain daripada barangan, wang, dan maklumat yang menjadi pengguna utama laluan di sepanjang Jalan Sutera, arus kemasukan orang Eropah yang bersifat ingin tahu juga meningkat.

Marco Polo

Malahan, ketika abad ke-14 lah zaman di mana pengembara dan penulis kronikel sejarah terkenal seperti Marco Polo pernah mengembara melalui Jalan Sutera hingga berjaya memasuki pusat pentadbiran utama Empayar Mongol.

Pertukaran budaya yang berlaku seiring dengan perdagangan mencipta satu bab yang baru dalam sejarah – sesuatu yang akan membantu ketamadunan yang berbeza di sisi yang berlainan dari benua Eurasia untuk memperkenalkan diri masing-masing melalui perbezaan kebudayaan, dan bukan lagi melalui peper4ngan, namun semua itu hanya bertahan sementara sahaja.

Dan dari zaman Pax Mongolica bermulanya kebudayaan-kebudayaan yang baharu membentuk pelbagai jenis suku kaum yang wujud bertebaran hasil asimilasi antara Mongol dengan Turkik, Parsi, India, China dan lain-lain lagi. Hari ini mereka semua ini boleh ditemui di kawasan Turkestan terutamanya di Uzbekistan dan Kazakhstan.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.