Kepentingan Ekonomi di Lautan Artik

216

Lautan Artik yang berada di Kutub Utara kian mendapat perhatian dunia disebabkan terdapatnya kepentingan ekonomi lautan itu yang bukan sahaja penting kepada negara yang terletak di Garisan Artik malahan negara lain seperti China, Korea Selatan dan Jepun. Terdapat lapan buah negara yang berada di Garisan Artik iaitu Rusia, Kanada, Denmark (Greenland), Amerika Syarikat (Alaska), Iceland, Norway, Sweden dan Finland. Walau bagaimanapun hanya lima buah negara iaitu Kanada, Denmark, Norway, Rusia dan Amerika Syarikat yang mempunyai sempadan dan hak untuk menuntut beberapa bahagian Lautan Artik. Oleh sebab itu, lima buah negara tersebut terlibat dalam pertikaian wilayah kerana wujudnya pertindihan zon ekonomi eksklusif.

Pertindihan ini berlaku kerana Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) telah memberikan setiap negara 200 batu nautika zon ekonomi eksklusif yang bermula dari garis pantai sesebuah negara pesisir. Kewujudan zon ekonomi eksklusif ini penting kepada negara-negara pesisir untuk mengeksploitasi kekayaan sumber yang ada di Lautan Artik. Oleh sebab itu, negara seperti Denmark menuntut 900 000 kilometer persegi Lautan Artik yang terletak di utara Greenland berdasarkan kepada Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu pada 15 Disember 2014. Namun, tuntutan ini telah bertindih dengan kawasan Rusia dan Kanada. Kewujudan zon ekonomi eksklusif ini juga membolehkan Norway mencari gali minyak dan gas di 102 blok yang terdiri daripada 93 blok di Laut Barent dan 9 blok di Laut Norwegian.

Kekayaan utama Lautan Artik dan laut-laut yang wujud di Kutub Utara ialah minyak dan gas asli. Menurut United States Geological Survey, kawasan utara Garisan Artik mempunyai kekayaan sumber minyak dan gas asli yang dianggarkan mempunyai jumlah simpanan yang setara dengan 412 bilion tong minyak. Manakala terdapat tujuh lembangan di Artik iaitu Siberia Barat, Alaska Artik, Barent Timur, Greenland Timur, Yenisey-Khatanga, Amerasian dan Greenland Barat-Kanada Timur yang kaya dengan minyak dan gas asli dianggarkan mempunyai jumlah simpanan yang setara dengan 360 bilion tong minyak. Kebanyakan negara hanya tertumpu kepada cari gali minyak dan gas asli yang berdekatan pesisiran pantai kerana cari gali minyak dan gas asli di luar pesisir menelan kos yang sangat tinggi.

Terdapat beberapa faktor kerja-kerja cari gali minyak dan gas asli di Artik menelan kos yang amat tinggi terutama di luar pesisir antaranya ialah keadaan cuaca sejuk melampau amat memerlukan kelengkapan cari gali minyak dan gas asli yang direka khas untuk berdepan suhu yang terlalu sejuk. Keadaan daratan Artik memerlukan persediaan tapak-tapak khas yang dapat menampung struktur dan kelengkapan cari gali agar tidak tenggelam. Hal ini kerana daratan Artik terbentuk daripada air laut yang beku. Manakala ketulan-ketulan ais di Lautan Artik juga mampu merosakkan fasiliti luar pesisir, di samping menjejaskan proses penghantaran kakitangan, bahan-bahan, kelengkapan dan minyak untuk tempoh masa yang lama.

Selain itu, akses pengangkutan yang terhad dan laluan bekalan yang panjang akan mengurangkan pilihan jenis pengangkutan sekali gus akan meningkatkan kos pengangkutan. Tambahan pula, gaji yang tinggi diperlukan bagi menarik minat pekerja atau kakitangan untuk bekerja di kawasan Artik yang terpencil dan tidak boleh didiami. Walaupun kos yang tinggi perlu ditanggung namun ia tidak menghalang usaha pengeksploitasian sumber yang ada di Lautan Artik. Kekayaan sumber terutama minyak dan gas asli menjadi tarikan utama yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja kerana ia mampu menjamin kelangsungan sektor tenaga negara-negara pesisir.

Berdasarkan rekod sejarah, penerokaan minyak di kawasan Artik telah bermula sejak 1920-an di Wilayah Barat Laut Kanada. Kemudian menjelang 1960-an, medan hidrokarbon mula dijumpai di Yamalo-Nenet (Rusia), North Slope di Brook Range (Alaska) dan Delta Mackenzie (Kanada). Beberapa dekad kemudian, wilayah Artik Rusia, Alaska, Norway dan Kanada telah menghasilkan berbilion meter padu minyak dan gas. Kini, terdapat lebih 400 telaga minyak dan gas yang berdekatan pantai telah ditemui di utara Garisan Artik. Daripada jumlah telaga tersebut, lebih 2/3 telaga pengeluaran minyak dan gas terletak di Rusia terutama sekali di Siberia Barat. Antara kawasan minyak terbesar di dunia yang terletak di Rusia ialah Kawasan Autonomi Khanty-Mansiysk. Lebih 57 peratus minyak Rusia diekstrak dari kawasan autonomi tersebut yang mempunyai 500 telaga minyak dan gas serta berjumlah 20 bilion tan.

Selain itu, terdapat 11 telaga minyak dan gas luar pesisir yang telah ditemui Rusia di Laut Barent. Telaga minyak dan gas di Laut Barent dapat dibahagikan kepada beberapa kawasan seperti Prirazlomnoe, Dolginskoye, Varandeyskoye & Medynskoye yang kaya dengan minyak dan Murmanskoye, Ludlovskoye & Kildinskoye Utara yang kaya dengan gas. Manakala kawasan Shtokman, Pomorskoye dan Ledovoye kaya dengan gas asli berbentuk cecair. Akhir sekali, kawasan Gulyaevskoye Utara kaya dengan minyak dan gas berbentuk cecair. Seterusnya di Laut Kara pula, terdapat dua telaga gas berbentuk cecair di luar pesisir yang ditemui Rusia iaitu Leningradskoye dan Rusanovskoye. Manakala terdapat 180 telaga minyak dan gas telah ditemui di wilayah Timan-Pechora, Rusia. Telaga minyak dan gas di wilayah Timan-Pechora dianggarkan mampu mengeluarkan lebih 1000 tan sehari.

Simpanan minyak kawasan Artik milik Amerika Syarikat pula dianggarkan berjumlah 15 juta tong. Manakala simpanan gas berjumlah 2 trilion meter padu. Kanada pula memiliki 49 telaga minyak dan gas di Delta Sungai Mackenzie dan 15 telaga lagi terletak di beberapa buah pulau di kawasan Artik Kanada. Kawasan Artik bukan sahaja kaya dengan sumber minyak dan gas malahan sumber mineral yang lain seperti emas, uranium dan berlian. Kawasan Artik Rusia kaya dengan sumber mineral seperti nikel, kuprum, batu arang, emas, uranium, tungsten dan berlian. Manakala kawasan Artik Amerika Utara pula mempunyai sedikit sumber uranium, kuprum, nikel, besi, gas asli dan minyak. Rusia mempunyai kawasan perlombongan yang terancang terutama sekali di bahagian utara negaranya. Wilayah Siberia yang kaya dengan galian seperti nikel, emas, perak, zink, batu arang, berlian, gipsum dan molibdenum menjadi antara kawasan perlombongan utama Rusia di bahagian utara.

Harga minyak dunia yang tidak menentu, kos penerokaan sumber asli yang tinggi dan sekatan yang dikenakan terhadap Rusia sejak tahun 2014, tidak menghalang Rusia mencari gali minyak di Lautan Artik. Sekatan yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat terhadap Rusia sejak tahun 2014 terutama sekali cari gali minyak di luar pesisir telah memberikan kesan kepada usaha cari gali dan pengeluaran minyak di pelantar Artik Rusia. Hal ini kerana syarikat dari Eropah mahupun Amerika Syarikat tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam cari gali dan pengeluaran minyak di mana-mana kawasan yang terletak di pelantar Rusia di Artik. Malahan Eropah dan Amerika Syarikat juga mengehadkan eksport teknologi penggerudian laut dalam ke Rusia yang amat penting kepada cari gali minyak dan gas asli di pentas benua Artik.

Namun sekatan yang dikenakan itu tidak menghalang Rusia untuk terus menjalankan usaha cari gali dan pengeluaran minyak di Artik. Hal ini kerana dua buah syarikat minyak Rusia iaitu Rosneft dan Gazprom telah dibenarkan oleh pihak kerajaannya untuk mencari gali minyak di luar pesisir Artik. Oleh itu, pada bulan April 2017, syarikat minyak Rosneft telah mendapat lesen untuk mencari gali minyak di Khatangsky di Laut Laptev dan Artik Timur pada bulan Jun 2017. Pada awal Oktober 2017, pihak Rosneft telah mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat simpanan minyak berjumlah 289 juta tan atau 2.184 bilion tong di dua kawasan tersebut. Syarikat Rosneft memegang 28 lesen cari gali minyak di pelantar Artik Rusia yang dianggarkan mempunyai simpanan minyak 34 bilion tan atau 249.22 bilion tong. Secara keseluruhan, Rosneft memegang 55 lesen cari gali minyak dan gas di seluruh pentas benua Rusia. Sejak tahun 2012, Rosneft telah melabur $1.74 bilion atau 100 juta rubles untuk cari gali di Artik. Bagi tempoh 2017 hingga 2021 pula, sejumlah $4.354 bilion atau 250 bilion rubles telah dilaburkan oleh Rosneft untuk tujuan yang sama.

Manakala, Syarikat Gazprom pula mencari gali minyak di Prirazlomnoye, Laut Pechora. Kawasan Prirazlomnoye yang mengeluarkan 5.5 juta tan minyak atau 40.3 juta tong setahun dianggarkan mempunyai simpanan minyak 70 juta tan atau 513 juta tong. Secara keseluruhan, Gazprom memegang 41 lesen cari gali minyak dan gas bagi seluruh pentas benua Rusia. Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev mengatakan bahawa kerajaan Rusia akan membiayai pembangunan pentas benua Artik dan ekonomi kawasan tempatan dengan jumlah pelaburan melebihi $2.787 bilion atau 160 bilion rubles menjelang tahun 2025. Tambah beliau lagi, program pembangunan Artik berdasarkan pada tiga prinsip iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur laut dan pembangunan pentas benua dengan teknologi dan kelengkapan moden. Bagi memulakan program pembangunan Artik untuk tempoh 2021 hingga 2025, kerajaan Rusia akan membiayai $414.5 juta atau 23.8 bilion rubles. Pembiayaan tersebut untuk membangunkan teknologi dan kelengkapan cari gali minyak dan gas, jentera industri untuk penerokaan dan pembangunan di Artik. Pentas Artik juga dijangka akan mengeluarkan antara 20 hingga 30 peratus minyak Rusia menjelang tahun 2050.

Manakala menurut Menteri Tenaga Rusia, Aleksandr Novak, Rusia kini mengeluarkan lebih 93 juta tan minyak setahun di zon Artik atau 17 peratus jumlah keseluruhan pengeluaran minyak Rusia. Menjelang tahun 2030 pula, pentas benua Artik Rusia dijangka akan menghasilkan lebih 2.2 juta tong minyak sehari. Kenyataan Medvedev membuktikan bahawa Rusia akan tetap menjalankan usaha cari gali minyak di Artik walaupun harga minyak dunia mengalami turun naik dan sekatan dikenakan terhadap Rusia. Cari gali minyak dan gas asli penting kerana Rusia merupakan antara negara pengeksport utama minyak dan gas dunia. Hal ini terbukti apabila jumlah eksport gas Rusia ke Eropah pada tahun 2017 ialah 193.9 bilion meter padu. Manakala eksport minyak Rusia pada tahun 2016 pula ialah 253.6 juta tan. Jumlah eksport minyak Rusia bagi tempoh lima bulan pertama pada tahun 2017 pula ialah 109.2 juta tan. Hal ini jelas membuktikan bahawa cari gali minyak dan gas di Artik amat penting kepada kelangsungan pengeksportan minyak dan gas Rusia.

Lautan Artik juga menjadi lebih penting untuk laluan perdagangan dan sektor tenaga dunia apabila air batu di Kutub Utara mencair. Pencairan air batu akibat perubahan iklim dunia akan membolehkan kapal-kapal besar melalui Lautan Artik sekali gus dapat memendekkan lagi masa perjalanan dari timur ke barat. Laluan perjalanan melalui Kutub Utara juga akan meningkatkan lagi interaksi ekonomi timur-barat. Pada masa ini, laluan kapal yang melalui Lautan Artik hanya boleh dilalui pada musim panas. Jika air batu di Lautan Artik kian mencair dan berkurangan ia akan boleh dilalui sepanjang tahun menjelang tahun 2030. Negara Eropah yang akan mendapat manfaat daripada laluan perkapalan baharu ialah negara-negara yang mempunyai akses pelabuhan di Laut Utara dan Baltik seperti Austria, Belgium, Republik Czech, Denmark, Estonia, Finland, Jerman, Ireland, Latvia, Belanda, Poland, Slovakia, Sweden, Britain dan Norway. Manakala negara Asia pula seperti China, Korea Selatan dan Jepun turut mendapat manfaat daripada laluan perkapalan di Lautan Artik.

Gambar 1: Kapal-kapal khususnya kapal dagang akan boleh melalui Lautan Artik atau Kutub Utara sekiranya air batu mencair. Walaupun ia memendekkan perjalanan antara Timur-Barat, namun pencairan air batu di Kutub Utara akan meningkatkan paras air laut dunia. Peningkatan paras air laut akan menenggelamkan negara berpulau di Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, pulau-pulau yang lain dan kawasan tanah rendah.

Jika laluan perkapalan yang melalui Lautan Artik dibuka sepanjang tahun, ia akan memberikan kesan kepada laluan perkapalan Terusan Suez dan Panama sekali gus menjejaskan ekonomi negara-negara yang masih menggunakan laluan tradisional tersebut, menurut beberapa pakar ekonomi. Perdagangan yang melibatkan impot dan eksport beberapa negara Eropah timur dan selatan seperti Bulgaria, Croatia, Hungary, Itali, Romania dan Slovenia akan mengalami kejatuhan. Malahan pembukaan laluan Lautan Artik sepanjang tahun akan memberikan tekanan ekonomi terhadap Mesir dan Singapura yang amat bergantung kepada laluan perkapalan selatan. Hal ini bermakna, Selat Melaka dan Laut China Selatan juga akan menjadi kurang penting jika Lautan Artik mula menjadi laluan utama perkapalan dunia.

Walaupun terdapat pelbagai pakar ekonomi yang meramalkan bahawa Lautan Artik menjadi semakin penting dan sibuk menjelang tahun 2050, namun laluan perkapalan tradisional seperti Terusan Suez dan Panama akan tetap menjadi laluan perkapalan yang dilalui. Hal ini kerana negara-negara di hemisfera selatan seperti di benua Amerika Selatan, Afrika dan Oceania serta rantau Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara masih melalui laluan perkapalan tersebut. Namun tidak dinafikan bahawa Lautan Artik akan dapat memendekkan masa perjalanan dari timur ke barat dan dapat mengurangkan kos perjalanan kapal memandangkan laluan perjalanan semakin pendek.

Oleh itu, kepentingan ekonomi di Lautan Artik bukan sahaja signifikan kepada negara-negara di Garisan Artik malahan negara-negara lain yang turut mendapat manfaat terutama sekali laluan perkapalan di bahagian utara seperti China, Jepun dan Korea Selatan. Kewujudan kepentingan ekonomi ini juga secara tidak langsung telah menjadikan Lautan Artik penting dari aspek strategik, memandangkan Rusia dan Amerika Syarikat yang mempunyai kepentingan ekonomi di Lautan Artik turut terlibat dalam persaingan kuasa di seluruh dunia. Dalam hal ini, pihak Moscow bercadang untuk menempatkan sistem pertahanan udara bagi memperkukuhkan pertahanan kawasan Artik Rusia. Menurut Komander Armada Utara Rusia, Laksamana Nikolai Yevmenov berkata bahawa unit-unit pertahanan udara baharu akan ditempatkan di perkampungan Yakut di Tiksi. Penempatan unit-unit pertahanan udara yang baharu itu bertujuan untuk mempertahankan ruang udara Laluan Laut Utara. Armada Utara juga akan diperkukuhkan lagi dengan penempatan sistem peluru berpandu pertahanan pantai seperti sistem pertahanan pantai Bastion. Pada November 2018 yang lalu, angkatan tentera darat Rusia telah menerima kumpulan pertama sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak dekat Tor-M2DT yang berupaya mengesan lebih 40 sasaran udara bergerak pada jarak 15km dan altitud 12km. Tidak dinafikan bahawa pada masa akan datang, Lautan Artik juga akan menerima nasib yang sama seperti Laut China Selatan kerana menjadi gelanggang persaingan kuasa Amerika Syarikat & Rusia dan punca ketegangan hubungan antara pelbagai negara yang terletak di kawasan terbabit akibat peningkatan kehadiran tentera.

Gambar 2: Kewujudan pangkalan tentera Rusia yang sedia ada dan baru dibina di sekitar kawasan Artik menunjukkan komitmen Moscow dalam memperkukuhkan pertahanan negaranya disebelah utara. Ia juga membuktikan bahawa Rusia semakin meningkatkan kehadiran tenteranya di Kutub Utara.

RUJUKAN:

Laman Sesawang

Bender, J. & Kelley, B. M. 2014. Militaries Know That The Arctic Is Melting — Here’s How They’re Taking Advantage. https://www.businessinsider.com/the-competition-for-arctic-resources-2014-6?IR=T&r=MY [28 Jun 2019].

Buchanan, E. 2019. Not All Is Quiet On the Arctic Front. https://www.themoscowtimes.com/2019/03/25/not-all-is-quiet-on-the-arctic-front-a64904 [28 Jun 2019].

Forsyth, J. M. 2019. Why Alaska and the Arctic are Critical to the National Security of the United States. https://www.armyupress.army.mil/Journals/Military-Review/English-Edition-Archives/January-February-2018/Why-Alaska-and-the-Arctic-are-Critical-to-the-National-Security-of-the-United-States/ [28 Jun 2019].

Millstein, S. 2016. Who owns the Arctic? And who doesn’t? https://timeline.com/who-owns-the-arctic-2b9513b3b2a3 [29 Jun 2019].

Moscow Times. 2018. Russian Army Receives First Batch of Missile Systems Designed for Arctic. https://www.themoscowtimes.com/2018/11/26/russian-army-receives-first-batch-missile-systems-designed-for-arctic-a63591 [28 Jun 2019].

Moscow Times. 2019. Russia Will Deploy New Missiles to Defend Arctic, Admiral Says. https://www.themoscowtimes.com/2019/03/13/russia-will-deploy-new-missiles-to-defend-arctic-admiral-says-a64789 [28 Jun 2019].

Shea, N. 2019. Scenes from the new Cold War unfolding at the top of the world. https://www.nationalgeographic.com/environment/2018/10/new-cold-war-brews-as-arctic-ice-melts/ [28 Jun 2019].

Walton, M. 2009. Countries in tug-of-war over Arctic resources. http://edition.cnn.com/2009/TECH/science/01/02/arctic.rights.dispute/index.html [29 Jun 2019].

Artikel disumbangkan oleh Zulfiqar Mohd Yusof untuk The Patriots. 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.