Air merupakan sumber yang terpenting kepada manusia yang mendiami muka bumi ini. Air amat penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia dan juga sesebuah negara. Tanpa air manusia bukan sahaja terancam malahan sesebuah negara juga akan terancam apabila wujud perebutan bagi mendapatkan sumber air yang akhirnya boleh menjurus kepada peperangan. Krisis atau kekurangan sumber air yang berlaku di sesetengah negara atau rantau yang akhirnya membawa kepada konflik bersenjata pernah tercatat dalam sejarah umat manusia. Hal ini membuktikan bahawa kekurangan atau krisis air bukan sahaja mampu mencetuskan ancaman kepada manusia malahan aktor negara.

Walaupun hampir 3/4 atau 70% daripada permukaan bumi ini adalah kawasan berair namun sumber air yang sangat bernilai dan menjadi rebutan ialah air tawar dan bukannya air masin. Jumlah bekalan air tawar agak terhad berbanding dengan air masin. Sehubung­an dengan itu, pada masa ini, hampir dua bilion penduduk merentasi 40 negara telah terjejas dengan fenomena kekurangan air. Hal ini bermakna sumber air tawar sama pentingnya dengan sumber asli atau galian seperti minyak dan gas yang telah menjadi pemangkin kepada tercetusnya konflik antara negara di dunia ini. Kekurangan atau krisis air juga dibimbangi akan menjadi salah satu faktor penting kepada tercetusnya peperangan antara negara pada masa hadapan.

Air sememangnya penting bagi kelangsungan hidup manusia. Kelangsungan hidup manusia ini dapat dilihat daripada dua perspektif iaitu perspektif dalaman iaitu berkaitan kesihatan manusia dan perspektif luaran iaitu kepentingan air terhadap kehidupan seharian manusia seperti pertanian, perladangan dan sebagainya. Menurut perspektif kesihatan manusia, air penting untuk menyelaraskan suhu badan. Selain itu air amat diperlukan untuk membekalkan nutrien kepada organ tubuh badan, bertindak sebagai cecair yang membawa oksigen kepada sel dalam tubuh, menjadi agen pembuang bahan toksik dan bertindak sebagai pelincir kepada sendi dan organ manusia. Tanpa air yang mencukupi kesihatan manusia akan terjejas. Perkara ini tidak menjadi masalah di negara yang dilimpahi dengan sumber air. Namun ia menjadi masalah yang amat besar kepada negara yang mengalami kekurangan air terutama sekali bekalan air bersih. Oleh sebab itu, kekurangan sumber air mampu mengancam keselamatan manusia atau insan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan diri manusia itu.

Kemudian perspektif yang seterusnya ialah kepentingan air terhadap kehidupan seharian manusia seperti pertanian, perladangan dan sebagainya. Manusia memerlukan air tawar bagi kegunaan harian dan aktiviti pertanian serta perusahaan. Sektor pertanian adalah pengguna air terbanyak pada kadar 62% diikuti oleh perusahaan 21% dan domestik 17%. Bagi negara yang mempunyai kadar penurunan hujan yang stabil dan tinggi maka ia bukanlah satu masalah seperti negara Malaysia. Namun bagi sesetengah rantau atau benua seperti Afrika dan Timur Tengah, kadar penurunan hujan amat rendah. Tambahan pula berlaku kemarau yang agak lama seperti di Afrika telah membawa kepada kekurangan sumber air yang akhirnya membawa kepada krisis air dan dibimbangi berlaku konflik bersenjata berkaitan air. Kadar penurunan hujan yang rendah dan kemarau berpanjangan mempunyai kaitan dengan perubahan iklim dunia.

Perubahan iklim dunia telah menyebabkan keadaan cuaca di dunia ini semakin tidak menentu. Terdapat kawasan yang mengalami kadar penurunan hujan yang sangat tinggi dan ada kawasan yang mengalami kadar penurunan hujan yang sangat rendah. Berlaku juga fenomena panas melampau dan ada juga kawasan yang mengalami suhu sejuk yang melampau. Oleh itu, perubahan iklim dunia menjadi faktor yang paling utama dalam membicarakan tentang kekurangan atau krisis air di sesebuah benua, rantau atau negara. Di benua Afrika terutama sekali bagi negara-negara yang berkongsi Tasik Chad seperti Nigeria, Cameroon, Niger dan Chad, mengalami masalah kekurangan air akibat berkurangnya kadar penurunan hujan dan berlaku kemarau yang berpanjangan. Perkara ini telah menyebabkan air sungai yang mengairi tasik tersebut kian mengering. Oleh sebab itu juga Tasik Chad semakin mengering. Pengeringan air sungai dan tasik amat memberikan kesan negatif kepada penduduk yang bergantung kepada air sungai dan tasik tersebut. Hal ini dikatakan demikian kerana rata-rata penduduk yang tinggal di sekitar sungai dan Tasik Chad merupakan nelayan, petani dan penternak haiwan. Kesemua pekerjaan penduduk tersebut amat bergantung kepada sumber air. Kesan daripada pengeringan air sungai dan tasik ialah penghijrahan secara besar-besaran penduduk yang selama ini tinggal di kawasan tersebut ke kawasan yang mempunyai sumber bekalan air bersih.

Penghijrahan inilah yang akhirnya telah mencetuskan konflik antara negara kerana berlaku pencerobohan sempadan sesebuah negara oleh penduduk dari negara lain. Penghijrahan ini telah mencetuskan pertempuran antara penduduk asal dengan penduduk yang berhijrah ke kawasan baharu bagi mendapatkan bekalan air. Pihak tentera juga turut campur tangan dalam perkara ini yang akhirnya membawa kepada konflik antara negara. Sekitar tahun 1982 sehingga 1985 telah berlaku beberapa insiden di sekitar Tasik Chad antaranya ialah perebutan air antara pihak Cameroon dengan Nigeria yang akhirnya telah menggangu aktiviti penangkapan ikan oleh para nelayan, tentera Chad telah menghalau nelayan-nelayan dari Nigeria dan konflik antara negara berkaitan air yang menyaksikan 9 warganegara Nigeria dan 72 warganegara Chad terbunuh. Hal ini jelas membuktikan bahawa perebutan air akibat berlakunya kekurangan sumber air boleh membawa manusia dan negara ke kancah peperangan.

Manakala antara tahun 1989 sehingga 1992 telah berlaku beberapa insiden lagi di sekitar Tasik Chad antaranya ialah berlaku pertempuran antara penduduk Nigeria dengan penduduk Niger akibat perebutan untuk mendapatkan sumber air tasik, serangan terhadap kampung di Bol yang telah mengorbankan 25 orang penduduk di Tasik Chad dan berlaku pertembungan antara penduduk kampung yang tinggal di bahagian hulu Sungai Komadugu Yobe dengan penduduk kampung yang tinggal di bahagian hilir Sungai Komadugu Yobe. Insiden ini membuktikan bahawa air amat penting kepada kelangsungan hidup manusia terutama sekali di kawasan yang mengalami kekurangan sumber air sehingga ia mampu mencetuskan konflik berdarah.

Terdapat pelbagai lagi contoh yang berkaitan dengan konflik air yang berlaku di serata dunia antaranya di Lembah Sungai Jordan, Lembah Sungai Tigris dan Euphrates, Lembah Sungai Nil dan kawasan sungai di rantau Asia Selatan. Terdapat beberapa negara yang berada di kawasan Lembah Sungai Jordan iaitu Lebanon, Jordan, Syria, Palestin (Tebing Barat) dan Israel. Ketiadaan sebarang perjanjian antara negara-negara yang berkongsi air sungai Jordan dan Yarmuk telah membawa kepada persaingan dalam merebut sumber bekalan air di kawsan lembah sungai tersebut. Perebutan air berrlaku antara Syria dengan Israel dan Palestin dengan Israel. Hal ini menunjukkan bahawa air merupakan satu sumber yang bukan sahaja mampu menjamin kelangsungan hidup manusia malah kelangsungan sesebuah negara. Manakala perebutan air sungai di Lembah Sungai Indus pula membabitkan negara Pakistan dan India. Kebimbangan timbul apabila perebutan air sungai ini boleh mencetuskan pertempuran antara kedua-dua buah kuasa nuklear ini. Hal ini bermakna perebutan sumber air mampu menjadi faktor pemangkin kepada tercetusnya peperangan di masa hadapan.

Malaysia juga pernah mengalami krisis air seperti di Kedah (1982), Melaka (1991), Selangor (1998) yang telah menjejaskan lebih kurang 1.8 juta penduduk untuk tempoh enam bulan. Kemudian krisis yang sama juga berlaku pada tahun 2002, 2007, 2012, 2013 dan 2014 di Selangor, Perlis (2002), Negeri Sembilan dan Johor (2005). Namun krisis air yang berlaku di Malaysia bukanlah faktor perubahan iklim semata-mata kerana ia juga melibatkan perancangan atau pengurusan air oleh manusia. Krisis air yang berlaku di Malaysia tidak sampai ke tahap mencetuskan konflik berdarah akibat perebutan untuk mendapatkan sumber bekalan air. Perkara sedemikian tidak mustahil akan berlaku pada suatu hari nanti jika rakyat Malaysia masih terus mengamalkan sikap membazir air. Rakyat Malaysia seharusnya bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh tuhan yang maha esa kerana negara ini masih dilimpahi dengan air, tidak seperti di benua Afrika. Bagi penduduk di rantau terbabit air amat berharga bak sejongkong emas yang menjadi rebutan sehingga mereka sanggup bermandi darah demi medapatkan sumber air.

Rujukan

Artikel Jurnal

Gleick, H. P. 1993. Water and conflict: Fresh water resources and international security. International Security 18 (1): 79 – 112.

Okpara, T. U, Stringer, C. L, Dougill, J. A & Mohammed D. Bila. 2015. Conflicts about water in Lake Chad: Are environmental, vulnerability and security issues linked? Progress in Development Studies 15 (4): 308 – 325.

Laman Sesawang

BH Online. 2016. Air sebagai sumber kehidupan. http://www.bharian.com.my/node/115197 [17 Mac 2018].

Byanyima, W. & Egeland, J. 2017. Lake Chad Basin: World’s most neglected crisis rages on as the humanitarian scale-up in the region continues, governments and donors are urged to do their part. http://www.aljazeera.com/indepth/opinion/2017/02/lake-chad-basin-world-neglected-crisis-rages-170222104058402.html [17 Mac 2018].

Grossman, Z. 2004. Water wars and international conflict. http://academic.evergreen.edu/g/grossmaz/oforiaa/ [17 Mac 2018].

Goldenberg, S. 2014. Why global water shortages pose threat of terror and war. https://www.theguardian.com/environment/2014/feb/09/global-water-shortages-threat-terror-war [18 Mac 2018].

Jerome, S. 2015. A Brief history of water conflict. https://www.wateronline.com/doc/a-brief-history-of-water-conflict-0001 [18 Mac 2018].

One World News. 2016. South Asian water conflict ‘poses global threat’. http://oneworld.org/2016/10/23/south-asian-water-conflict-pose-global-threat/ [18 Mac 2018].

Rahman. 2014. Kepentingan air dalam kehidupan. http://www.beritakampus.usm.my/index.php/berita/rencana/1799-kepentingan-air-dalam-kehidupan [18 Mac 2018].

Wan Izatul Asma Wan Talaat. 2016. Kepentingan air dalam Kehidupan. http://www.utusan.com.my/rencana/kepentingan-air-dalam-kehidupan-1.208802 [17 Mac 2018].

Artikel ditulis oleh Zulfiqar Mohd Yusof untuk The Patriots. 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.