Kenapa Teritip Boleh Muncul Di Kapal?

1,491

Pernah tak anda terlihat teritip yang terkumpul di bawah kapal mahupun tiang tiang di persisiran pantai? Dalam kebanyakan kes, itu sebenarnya ialah indikator kekotoran yang berpunca daripada organisme yang terkumpul. Teritip tu tak duduk saja saja pada tiang dan kapal. Mereka tengah makan bakteria yang terkumpul di situ. Itulah maksud bio fouling – pencemaran biologi.

Untuk memahami pencemaran biologi ini, kita kena mula dari perkara awal dahulu. Pertamanya, mana datang bakteria ini? Dari laut la, dah tu mana lagi nak dapat. Ok, lawak hambar. Sebagaimana udara dan tanah, laut atau kawasan berair juga dipenuhi dengan bakteria.

Namun, bakteria yang terpaung di udara boleh melekat pada permukaan sesuatu selepas jatuh dan bakteria tanah pula… sudah memang melekat pada permukaan tanah. Bakteria air pun boleh, tapi disebabkan air yang sentiasa bergerak menyukarkan mereka untuk melekat, maka hal ini jadi payah.

Oleh itu, bakteria air ini akan menghasilkan sejenis bahan kimia berpolimer yang akan mewujudkan tempat mendarat mereka. Bahan ini sifatnya merekat dan melekat, jadi selain daripada melekat pada permukaan benda, bahan kimia ini juga boleh melekatkan bakteria tu padanya daripada dibawa arus air. Bahan polimer ni kita sebut dalam terma biologi sebagai biofilm. Kalau tak faham lagi, pernah tak anda pijak batu licin di sungai? Tak pun permukaan longkang kotor? Ya, benda licin itulah biofilm.

Lama kelamaan, koloni bakteria dan jumlah biofilm makin meningkat. Bakteria lain akan masuk tumpang untuk membesar sekali sampailah habis seluruh permukaan itu dibaluti biofilm. Ini adalah separuh daripada komponen pencemaran biologi. Aktiviti mikroorganisme.

Andai kata anda ni suka makan bakteria, dan anda ternampak satu tiang ni penuh dengan bakteria? Apa yang anda nak buat? Sudah tentulah makan kan? Alang alang banyak sumber makanan ni baik buat rumah di sekitar kawasan tu, betul tak? Sekarang masuklah lagi separuh daripada komponen pencemaran biologi. Aktiviti makroorganisme.

Larva larva teritip akan melekat pada biofilm ini untuk memakan bakteria yang ada di situ. Jadi, penuhlah tiang itu dengan teritip. Penum Kerang, kepah dan tiram yang ada diet yang sama pun selalunya berada dekat dengan tiang ni. Tumpang makan, begitu.

Kalau proses ni melemahkan struktur tiang, macam mana jurutera dan pelaut zaman dahulu selesaikan masalah ini? Kalau ikut catatan Plutarch, orang kuat Alexander the Great pernah bising pasal masalah ini:

Apabila rumpai dan bahan kotor melekat pada sisi kapal, pergerakan kapal akan menjadi perlahan dan air menjadi payah untuk berlalu keluar. Sebab itu mereka )pelaut) selalunya akan menyapu pelapis khas untuk menghalang benda ini berlaku.”

Kalau kita ikut norma pelaut zaman tersebut hingga sebelum abad ke 18, bahan pelapis yang digunakan merangkumi tar, lilin dan minyak paus. Kapal ini akan dibawa ke pelabuhan kering untuk melumuri bahan bahan ini.

Menjelang abad ke 18, pelayar British menggunapakai plat tembaga pada permukaan bawah kapal untuk mencegah permukaan teritip. Puncanya senang sahaja. Tembaga apabila bertemu dengan air akan menghasilkan filem beracun. Jadi, bakteria tak boleh hidup. Bila bakteria tiada, teritip pun tiada.

Kalau anda tak percaya tembaga boleh bunuh kuman, cuba letakkan syiling 20 sen terkotor yang anda pernah jumpa dan biar terperam dalam petri dish yang penuh dengan bakteria. Memang mati bakteria di bawah syiling tu. Ada sesetengah penapis air pun guna teknologi ni, tapi sebab takut beracun sangat, mereka guna logam perak untuk ganti tembaga.

Sebelum aku tamatkan artikel ringkas ni, aku nak masukkan fakta aneh tentang teritip di bawah kapal. Sekiranya anda buat onar atas kapal, atau memberontak, atau kena tangkap dengan lanun dan mereka nak seksa anda, antara hukuman yang dikenakan ialah menyiat nyiat badan anda pada permukaan bawah kapal yang dipenuhi teritip. Kalau nasib baik, anda lemas dulu sebelum kena siat.

RUJUKAN:

Donlan, R. M. “Biofilm and Device-Associated Infections.” Emerging Infectious Diseases7.2 (2001)

R. Oliveira; et al. (2001), “Hydrophobicity in Bacterial Adhesion”, Biofilm community interactions: chance or necessity? (PDF), BioLine, ISBN 978-0952043294

Woods Hole Oceanographic Institute (1952), “The History and Prevention of Foulng”, Marine Fouling and its Prevention (PDF), United States department of the Navy, Bureau of Ships

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.