Kenapa Tangan Pesakit Ini Bertukar Menjadi Pokok?

946

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Epidermodysplasia verruciformis (EV) yang turut dikenali sebagai sindrom treeman, merupakan sejenis penyakit kulit keturunan autosom resesif yang sangat jarang berlaku. Penyakit tersebut turut dikaitkan dengan risiko kanser kulit yang tinggi.

Sebelum dihuraikan topik ini dengan lebih mendalam, kena tahu serba sedikit tentang genetik, DNA dan kromosom.

Genetik secara umumnya berkait rapat dengan gen atau “maklumat” berkenaan sesuatu ciri atau sifat yang diwarisi daripada ibu bapa atau dipindahkan dari satu generasi, ke satu generasi yang seterusnya.

Gen tersebut terkandung di dalam DNA. Pernah dengar tak ungkapan “DNA is the blueprint of life”?

Jadi, dalam erti kata lain, DNA merupakan senarai arahan “how to” bagi tubuh badan untuk menghasilkan sel, protein dan sebagainya.

Seterusnya, adalah kromosom. Kromosom merupakan struktur di dalam nukleus setiap sel yang diperbuat daripada DNA yang dimampatkan.

Manusia mempunyai 46 kromosom yang diwarisi daripada ibu dan bapa, yakni 23 daripada ibu dan 23 daripada bapa.

Seterusnya, adalah kromosom. Kromosom merupakan struktur di dalam nukleus setiap sel yang diperbuat daripada DNA yang dimampatkan.

Manusia mempunyai 46 kromosom yang diwarisi daripada ibu dan bapa, yakni 23 daripada ibu dan 23 daripada bapa.

Kromosom pula ada dua jenis, iaitu autosom dan alosom. Dalam jumlah 23 pasang kromosom tersebut, 22 pasang daripadanya adalah kromosom yang dikenali sebagai autosom, manakala 1 pasang adalah kromosom seks.

Kromosom seks pula adalah kromosom yang menentukan seks atau jantina sesuatu organisma. Terdapat dua jenis kromosom seks, iaitu kromosom X dan Y. Jika lelaki atau jantan, kromosom seksnya adalah XY, manakala perempuan atau betina XX.

Daripada huraian di atas, dapat difahami bahawa sekiranya terdapat mutasi, kehilangan, atau penambahan pada mana-mana kromosom (*baca maklumat gen) tersebut, tubuh badan tidak dapat berfungsi dengan baik (*baca berpenyakit).

Analogi mudah macam ni… sesebuah kilang mempunyai 25 langkah bagi menghasilkan sebuah kereta dengan tertib.

Tetapi, disebabkan kepincangan mesin (*baca mutasi dsb), langkah no.17 iaitu pemasangan enjin tidak dilaksanakan. Boleh ke kereta tu berfungsi? Sudah tentu la tak kan…

Berbalik kepada topik asal, Epidermodysplasia verruciformis (EV) merupakan penyakit kulit yang membuatkan seseorang individu atau penghidap penyakit ini sangat terdedah kepada jangkitan papilomavirus manusia atau human papillomavirus (HPV).

Oleh sebab jangkitan daripada HPV tersebut, ketumbuhan dan ketuat keras menyerupai kulit kayu mula tumbuh secara tidak terkawal, terutamanya pada bahagian tangan dan kaki pesakit.

Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa terdapat beberapa jenis lesi (lesion) atau ketuat yang boleh terbentuk pada kulit pesakit EV. Sebahagian daripada ketuat berbentuk leper, kebiasaannya disebabkan oleh jangkitan HPV3 dan HPV10.

Sebahagian ketuat turut berbentuk leper, tetapi ia bersisik dengan kelihatan seperti tompok merah-coklat. Ketuat jenis ini dikaitkan dengan pelbagai jenis jangkitan beta-HPV (12, 14, 15, 17), namun kebiasaannya oleh HPV5 dan HPV8.

Daripada huraian di atas, dapat difahami bahawa adalah lazim untuk seseorang pesakit atau penghidap EV mempunyai jangkitan pelbagai jenis HPV.

Tetapi yang menariknya, lebih daripada 80% populasi manusia mempunyai virus tersebut pada tubuh badan, tetapi jangkitan tidak mempamerkan simptom atau gejala (ketuat, ketumbuhan dan dsb dengan ekstrem).

Jadi kenapa majoriti daripada populasi tidak menghidap EV?

Hal ini demikian kerana, penghidap EV mempunyai mutasi pada gen yang dikenali sebagai EVER1 atau EVER2 yang terletak di kromosom 17 atau lebih tepat lagi 17q25.3.

Gen itu merupakan arahan bagaimana cara tubuh badan menghasilkan protein EVER.

Protein EVER mempunyai peranan penting dalam tubuh badan, iaitu membentuk gabungan atau kompleks dengan protein pengangkut zink (ZnT-1) di dalam retikulum endoplasma sel keratinosit manusia.

Telah dihipotesiskan bahawa, kompleks protein EVER + protein pengangkut zink merupakan pertahanan tubuh badan terhadap jangkitan HPV.

Oleh sebab kompleks tersebut mengawal selia keseimbangan kofaktor Zn2+ di dalam sel keratinosit, justeru menghalang proses replikasi HPV.

Bagaimana replikasi HPV dihalang? Umum diketahui bahawa virus hidupan yang simple. Virus boleh dibayangkan seperti seorang budak yang cuma bawak sebuah buku yang bagitahu mana nak pergi dan apa nak buat, tapi dia tak bawak duit. Jadi duit tu dapat dari mana? Dia curi.

Dalam kes EV, HPV perlukan akses kepada zink bagi membolehkan proses replikasi dan penyusunan semula gen virus itu berlaku dalam sel. Tetapi kompleks protein EVER + protein pengangkut zink ibarat seorang pak guard yang mengawal jumlah pengunjung (zink) dalam mall (sel).

Oleh itu, mutasi sama ada pada gen EVER1 atau EVER2 akan menghalang pembentukan kompleks EVER+ZnT-1, menjurus kepada ketidakseimbangan zink yang membantu proses replikasi HPV.

Seterusnya, kajian turut mendapati bahawa HPV bersama-sama dengan pendedahan terhadap sinar ultralembayung (UV) mengakibatkan sel-sel kulit rosak menjurus kepada karsinoma keratinosit, kanser kulit.

Hasil daripada kajian turut menunjukkan HPV berinteraksi dengan protein tumor termasuklah p53.

Protein p53 berperanan memperbaiki sel dengan DNA yang rosak, dan sekiranya tidak dapat diperbaiki, sel itu diprogramkan untuk dibunuh (apoptosis).

Oleh itu, interaksi HPV dan p53 menyebabkan proses memperbaiki dan pembunuhan sel yang rosak dihalang.

Hal tersebut menyebabkan sel yang rosak akibat pendedahan terhadap sinar ultralembayung semakin bertambah dan akhirnya berubah menjadi malignan atau menjadi semakin teruk.

Setakat itu sahaja lah serba sedikit penerangan tentang Epidermodysplasia verruciformis..

Oh ya, tahu tak, pelbagai jenis haiwan juga boleh dijangkiti virus papiloma? Contohnya seperti zirafah dan anjing ini..

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.