Kenapa Siam Dipanggil Sebagai Perut Hijau?

2,371

Dewasa ini, frasa ‘siam perut hijau’ ini sangat sinonim di kalangan orang utara. Kebiasaan ibu-ibu di sana selalu sebut perkataan ini bila cuba nak menggertak anak yang tak dengar cakap.

“Mimi, balik lekaih dah senja ni, satgi jumpa Siam perut hijau dia culik hang baru tau!”

Persoalannya, benar ke perut orang Siam berwarna hijau? Adakah mereka ini keturunan Hulk? dan apa hubungannya dengan “mak kau hijau?” Yang pasti tak ada kaitan di antara kedua-duanya.

Dalam konteks ini, ‘Siam perut hijau’ adalah frasa bagi menyifatkan suatu perbuatan tidak berhati perut yang dilakukan sekumpulan atau individu. Senang kata, perilaku yang zalim atau k3j4m boleh disamakan dengan ‘Siam perut hijau’.

Sejak bila frasa ini mula muncul dan bilakah ia digunakan secara meluas?

Jika menyentuh perihal sejarah era p3rang Kedah-Siam. Ada catatan seorang Pegawai British bernama Kapten Sherard Osborn di dalam bukunya bertajuk ‘The Blockade of Kedah 1838” menceritakan tentang betapa k3j4mnya askar Siam terhadap orang Melayu Kedah.

Ada cerita lain juga mengatakan apabila askar Siam memasuki kampung-kampung, penduduk kampung akan berasa takut dan mula bersembunyi kerana askar Siam akan makan apa sahaja termasuklah manusia.

Walaupun begitu, masih belum terjawab ‘misteri’ persoalan perut hijau tadi.

Pendapat peribadi saya, agak tak logik perut seseorang akan berubah warna kalau dia makan bangkai haiwan atau daging manusia sekalipun. Saya percaya ayat ini hanya sebuah metafora bagi mengambarkan sikap tidak-berperikemanusiaan.

Jika diteliti dengan lebih mendalam maksud frasa itu tak terhenti pada sikap Cannibalistic atau perbuatan ganas saja. Yang jelas, ‘hijau’ warna perut askar Siam merujuk pada Sak Yant iaitu jenis tatu yang dicacah pada bahagian badan askar Siam.

Sak Yant

Apa itu Sak Yant?

Sak (Tatu) dan Yant(Yantra) berasal daripada perkataan Sanskrit yang secara harfiah boleh membawa maksud alat tenunan. Ia merupakan tatu azimat dengan kuasa magis pelbagai khasiat.

Pada peringkat awal, Sak Yant diperkenalkan oleh orang Khmer, dari empayar Khmer sebelum ia mula tersebar ke seluruh Indo-China.  Inti pati motif Sak Yant mempunyai nilai elemen spiritual yang tinggi selain kepercayaan dan keagamaan yang bersangkutan dengan ajaran Buddha.

Secara tradisi, hanya golongan Ajarn atau Sami Buddha yang ada kelayakan atau hak untuk mencacah tatu pada badan si pemakai.

Selain itu, Bukan tugas mencacah saja, ia merangkumi dari segi bab pemilihan jenis tatu turut dipilih golongan Sami/Ajarn. Dulu Sak Yant tak boleh dibuat sesuka hati tanpa tujuan tertentu kerana Sak Yant diisi dengan jampi serapah untuk menghidupkan ‘kuasa magis’ disebalik dakwat tersebut.

Ada pelbagai jenis bentuk rajah dapat digunakan. Bermacam-macam jenis dan fungsi. ada dalam bentuk haiwan, geometrik serta dewa-dewa bersama tulisan frasa berbahasa Pali.

Dengan itu, fungsi Sak Yant dapat dijadikan sebagai ilmu kebal dalam pep3rangan. selain kegunaannya untuk memperolehi rezeki, karisma dan seumpananya.

Maka tidak hairan jika ada kisah diceritakan bahawa askar Siam menjadi ‘kebal’, sukar ditumpaskan bila mereka berada di tanah Siam, dan kekebalan itu semakin pudar setelah mereka menjejakan kaki ke Tanah Melayu.

Jenis- jenis Sak Yant

Lanjutan daripada itu. Mutakhir ini, Sak Yant tidak lagi menjadi ‘hak eksklusif’ milik orang-orang tertentu seperti Pejuang atau Sami, disamping itu Sak Yant telah mendapat sambutan luar termasuk yang dari bukan berbangsa Thai/Khmer atau beragama Buddha.

Angelina Jolie – Sak Yant

Dalam hal ini, tak lupa juga selebriti Hollywood seperti Angelina Jolie turut memiliki Sak Yant, termasuk bekas suaminya, Brad Pitt.

Jika diteliti jenis bentuk tatu yang dipakai Angelina Jolie (rajah di atas), banyak maksud tersirat serta fungsi. Disebelah kanan bahu dia memakai Sak Yant jenis Kraw Petch. Yantra ini membantu mendapat tuah, kekayaan, kejayaan dalam perniagaan. Sesiapa yang menerima Yant ini dilindungi dari masa-masa buruk dan kegagalan dalam hidup.

Dibahu disebelah kiri pula ialah Sak Yant jenis Hah Teaw. Jenis ini membantu meningkatkan karisma, melindungi diri dari sebarang bahaya.

Mungkin Angelina Jolie memerlukan mantra-mantra ini lantaran penglibatan beliau dalam misi kemanusiaan yang berisiko dan boleh mengancam nyawa. Ada banyak lagi jenis tatu seperti Yant Phutson, Suea Liaw Lang, Yant Vihad Pha Chad Sada yang masing-masing mempunya fungsi tersendiri.

Menyedar hakikat di atas, Sak Yant mungkin sudah di‘transformasi’ mengikut peredaran zaman. Tapi perlu ingat, ia masih mempunyai syarat-syarat lain bagi seseorang itu layak memilikinya.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.