Plot meletupkan bulan? Sekali pandang, ini rancangan megalomania bersifat fiksyen dari Cobra Commander hinggalah Dr Evil (watak francais Austin Powers). Tetapi ia merupakan satu cadangan asli yang pernah dikemukakan oleh seorang ahli akademik pada tahun 1990-an.

Plot meletupkan bulan ini dicadangkan oleh Profesor Alexander Abian dari Iowa State University pada 1991. Dengan meletupkan bulan, beliau melihat ia sebagai satu solusi elegan kepada semua permasalahan yang dihadapi manusia di dunia ini. Caranya ialah dengan mengorek lubang menerusi gerudi sebelum meletakkan bom nuklear di situ. Dari situ, bom akan diletupkan secara jarak jauh dari bumi.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman

Sekali pandang, plot sebegini mirip banyak cerita aksi fiksyen seperti Armageddon. Bom nuklear sentiasa dicanang sebagai solusi terbaik bila mahu meletupkan objek-objek berhampiran bumi (NEO). Ini kerana sesetengah NEO ini berpotensi mengancam keselamatan bumi seperti dipaparkan dalam Armageddon dan Deep Impact.

Hal ini diberi perhatian serius oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Rusia. Ini selepas insiden meteor Chelyabinsk yang berlaku pada 2013. Insiden meteor di selatan Ural,Rusia itu menghasilkan tenaga sama seperti 500,000 tan TNT dan mencetuskan gelombang kejutan yang mencederakan 1,500 orang penduduk. Ironinya, meteor Chelyabinsk juga bertanggungjawab kepada pembentukan bulan yang kita kenali hari ini.

Advertisements

Melihat impak NEO kepada dunia, ramai saintis melihat senjata nuklear sebagai pilihan terbaik untuk memusnahkan NEO. Sejak 2016, AS dan Rusia mengadakan perbincangan berkenaan kolaborasi inisiatif pertahanan planet nuklear. Bagaimanapun, susulan konflik Ukraine-Rusia yang masih berlangsung ketika ini, tidak diketahui sama ada proses diskusi melibatkan kedua-dua negara masih diteruskan atau tidak.

Sekarang, berbalik semula kepada idea Abian. Ahli akademik berdarah Armenia itu mendakwa dengan meletupkan bulan, ia dapat mengawal cuaca dan musim di bumi. Ini sekaligus dapat menghapuskan bencana alam seperti ribut taufan, banjir dan kebakaran hutan yang sentiasa mengancam kehidupan manusiawi.

Bagaimanapun, idea gila ini ditolak ramai ahli akademik termasuk saintis-saintis dari Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS atas beberapa sebab. Pertama, jika bom nuklear diletupkan seperti dicadangkan, ia tidak akan memberi kesan kepada kerak bulan.

Kedua, jika ia berhasil sekalipun, ia akan mengakibatkan pemanasan atmosfera bumi yang didorong oleh sisa-sisa serpihan bulan yang musnah. Ini akan mengancam hidupan di bumi sekaligus menolak dakwaan Abian yang bersifat jauh panggang dari api.

Ketiga, ia akan mengakibatkan perubahan cuaca yang lebih radikal di bumi. Kemusnahan akibat bencana alam sudah pasti akan berlipat kali ganda dan bilangan mangsa yang terbunuh atau kehilangan tempat tinggal juga bertambah. Tanpa bulan yang berperanan sebagai penstabil bumi, ia akan mengakibatkan planet tersebut kacau-bilau.

Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: bit.ly/GenesisIIZamir

Di sebalik penolakan keras ramai pihak terhadap idea itu, Abian masih bertegas ia sepatutnya dipertimbang atas nama manusiawi. Malah, beliau menyifatkan dirinya sama seperti Galileo yang ditolak gereja kerana memperjuangkan matahari sebagai pusat alam dan bukannya bumi. Abian meninggal dunia pada tahun 1999 semasa berusia 76 tahun.

Ini bukan kali pertama idea menggunakan senjata nuklear di bulan dibangkitkan. Semasa Perang Dingin, Tentera Udara AS berharap dapat meletupkan bom nuklear di bulan dengan harapan ia dapat menakutkan musuh AS ketika itu, Kesatuan Soviet. Dan sebulan lepas, satu laporan Agensi Pengenalpastian Ancaman Aeroangkasa Lanjutan (AATIP) AS pada 2007 mencadangkan penggunaan senjata itu sebagai cara mengorek terowong di bulan dan melombong nadir bumi di situ.

RUJUKAN

Indy100. (2022, 4 Mei). Professor wanted to the blow up the Moon with nukes – to improve weather on Earth.

Funnell, R. (2022, 15 April). The Professor Who Wanted To Blow Up The Moon To Solve All Of Life’s Problems. IFLScience.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply