Moving Forward As One

Kenapa Pluto Bukan Planet?

3,383

Percival Lowell mungkin tidak popular seperti Neil Armstrong dan Buzz Aldrin yang mendarat di Bulan pada 20 Julai 1969. Beliau tidak sempat melihat pelancaran kapal yang membawa Yuri Gagarin ke angkasa.

Malah beliau sendiri sudah pergi buat selamanya sebelum kelahiran Gagarin lagi. Tetapi kalau bukan kerana Lowell, mungkin ilmu astronomi lambat berkembang.

Lowell merupakan seorang ahli perniagaan yang meminati alam angkasa. Sejak di Universiti Harvard lagi, Lowell sudah arif tentang astronomi.

Hipotesis tentang nebula ialah sebuah topik sangat rumit untuk 1870-an. Tetapi beliau dengan tenang memberi ucapan yang begitu lengkap.

Selepas menamatkan pengajian universiti, beliau tidak menceburi bidang astronomi.

Sebaliknya beliau mengusahakan pengeluaran benang selama enam tahun (Sheehan, 1996).

Percival Lowell

Kemudian beliau menceburi bidang diplomasi, bekerja di Korea, Jepun dan akhirnya kembali ke Amerika Syarikat dengan azam untuk mengkaji planet Marikh.

Untuk memenuhi keperluan ini, beliau membangunkan sebuah balai cerap sendiri di Arizona pada tahun 1894 (Littman, 1985).

Tempat dipilih Lowell terletak 2.1 kilometer tinggi, tanpa awan dan jauh daripada cahaya bandar.

Semasa mencerap Zuhrah pada tahun 1914

23 tahun Lowell meluangkan masa di sini, mencerap Marikh, mencatat tentang Zuhrah dan menyelidik sehabis mungkin dalam sebuah misi penyelidikan demi minat.

Kalau bukan kerana Per-ang Dunia Pertama, mungkin Lowell hidup lebih lama. Beliau mengimarahkan fahaman pasifisme, yang benci pepe-rang-an. Sepanjang pe-rang, usaha astronominya agak terkekang.

Akhirnya Lowell jatuh sak-it dan mening-gal dunia pada 12 November 1916.

Planet X

Pada tahun 1906, Percival Lowell menggunakan balai cerapnya untuk mencari planet kesembilan. Sains sedang menunggu planet ini. Sudah lama sejak Neptun dimasukkan dalam sistem suria ini.

Jadi Lowell berpakat dengan seorang pakar astronomi bernama William H. Pickering.

Mereka menggunakan koordinat bintang yang memungkinkan kewujudan sebuah planet selepas Neptun.

Daripada 1909 hingga 1916, mereka mencari dan dua kali terserempak Planet X pada 19 Mac dan 7 April 1915.

Gambar diambil pada tarikh tersebut menunjukkan Planet X, tetapi mereka tidak sedar (Littman, 1990).

Situasi sama dihadapi Balai Cerap Yerkes yang mempunyai 14 gambar tanpa menyedari Planet X, seawal 20 Ogos 1909 (Buchwald, et al., 2000).

Lowell takkan tahu sampai sudah. Dan balunya membuka kes mahkamah yang berlarutan selama 10 tahun untuk mengekalkan legasinya.

Pencarian Planet X hanya diteruskan pada tahun 1929, apabila pengarah balai memberikan tugasan ini kepada seorang pemuda 23 tahun bernama Clyde Tombaugh yang baru mula bekerja.

Clyde Tombaugh

Teknologi ketika itu mungkin tidak begitu berbeza. Tombaugh walau bagaimanapun bijak menggunakan teknik penggambaran.

Beliau bersekang mata sepanjang malam, mengambil banyak gambar langit terbuka. Teknik ini memerlukan suatu alat khas dipanggil pembanding objek (blink comparator).

Beliau menyusun semua gambar mengikut masa untuk melihat objek yang bergerak.

Hampir setahun Tombaugh mencari, dan akhirnya pada 18 Februari 1930, menemui objek bergerak pada gambar-gambar 21, 23 dan 29 Januari (Croswell, 1997). Tombaugh memenuhi impian Lowell.

Lebih daripada 1,000 cadangan nama diterima Balai Cerap Lowell. Balu Lowell mencadangkan Zeus, kemudian Percival dan akhirnya namanya sendiri, Constance yang ditolak (Mager, 2011).

Akhir sekali, seorang pelajar 11 tahun mencadangkan Pluto, sempena dewa Rom (Rincon, 2006).

Diturun Pangkat

Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) diasaskan pada 28 Julai 1919 untuk memelihara sains astronomi.

Pengetahuan astronomi yang semakin bertambah menghasilkan sebuah sistem kelihatan bersepadu.

Semakin lama, orang mengenali perbezaan antara objek angkasa, seperti planet lengkap, planet kerdil, bulan, asteroid, komet dan sebagainya.

Perbincangan mengenai status Pluto mula timbul pada Ogos 2006, apabila legitimasinya sebagai planet dipersoalkan.

Menurut IAU, sebuah objek perlu menepati tiga prasyarat untuk menjadi planet: (1) mesti mengelilingi Matahari, (2) berjisim cukup untuk ada graviti sendiri, yang mempengaruhi bentuk sferanya dan (3) kawasan sekeliling planet mesti bersih.

Pluto memang mengelilingi Matahari dengan jisim yang mencukupi. Walau bagaimanapun, Pluto tidak menepati prasyarat ketiga (Margot, 2015).

Jadi Pluto lebih wajar diklasifikasikan sebagai planet kerdil kerana tidak mendominasi ruangan sekeliling.

Hasrat Percival Lowell nampaknya belum tercapai, kerana planet selepas Neptun masih belum ditemui.

RUJUKAN:

Buchwald, G., et al. (2000). Pluto is discovered back in time. Amateur-Professional Partnerships in Astronomy. 220. Halaman 335.

Croswell, K. (1997). Planet Quest: The Epic Discovery of Alien Solar Systems. The Free Press. Halaman 52.

Littman, M. (1985). Planets Beyond Discovering the Outer Solar System. Courier. Halaman 62-63.

Littman, M. (1990). Planets Beyond: Discovering the Otuer Solar System. Wiley. Halaman 70.

Mager, B. (2011, November 29). The Search Continues. Discovery of Pluto.

Margot, J. (2015). A quantitative criterion for defining planets. The Astronomical Journals. 150 (6): 185.

Rincon, P. (2006, Januari 13). The girl who named a planet. BBC News.

Sheehan, W. (2007). The Planet Mars: A History of Observation and Discovery. University of Arizona Press. Bab 7.

Ruangan komen telah ditutup.