Kenapa Pelarian Di Seluruh Dunia Selalu Buat Jenayah?

920

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Kebelakangan ini, penulis melihat telah banyak perbahasan tentang situasi pelarian Rohingya yang sering berlegar di media sosial seperti Facebook dan juga Twitter. Isu ini timbul bilamana TLDM telah melarang masuk bot pelarian Rohingya yang memasuki perairan Malaysia daripada mendarat untuk mengelakkan penularan wabak Covid 19 di negara kita.

Isu ini semakin panas bilamana netizen menyebarkan beberapa berita yang kurang enak didengar yang menceritakan perangai pelarian Rohingya berdasarkan pengalaman sebahagian rakyat Malaysia. Di antaranya ialah mereka ini tidak bertamadun dan sering membuat jenayah. Penulis tidak bersetuju untuk generalisasikan perbuatan sebahagian ke atas keseluruhan kaum itu sendiri kerana itu berlanggar dengan prinsip penulis.

Namun begitu, penulis tidak nafikan banyak di antara mereka yang berkelakuan sedemikian. Persoalannya, apakah punca terhadap permasalahan ini? Apakah hanya kaum Rohingya sahaja yang mempunyai masalah sedemikian? Apakah ia lebih kepada masalah genetik mereka? Atau apakah ada faktor yang lain yang menyebabkan mereka berkelakuan sedemikian?

Penulis ingin membahaskan di antara dua faktor utama atas permasalahan tersebut iaitu kurangnya pendidikan dan juga faktor kemiskinan yang tinggi. Terdapat pelbagai kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik dalam bidang sains sosial yang memberi kesimpulan bahawa dua faktor ini menyumbang terhadap peningkatan kadar jenayah.

Menurut pengkaji-pengkaji, daripada Indonesia, mengunakan data 2013 sehingga 2017, iaitu Fithriati Armin dan juga Idris, mereka mendapati wujudnya hubungan yang signifikan di antara pendidikan, kemiskinan, jurang pendapatan, dan juga kadar jenayah. Mereka mendapati ketiga-tiga faktor tersebut mempengaruhi kadar jenayah di Indonesia.

Berdasarkan kajian, mereka juga menulis bahawa orang yang berpendidikan tinggi mempunyai keupayaan rasional yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang tidak berpendidikan atau rendah peringkat pendidikannya. Ini memberi gambaran bahawa golongan berpendidikan kurang kecenderungan membuat jenayah berbanding golongan yang tiada pendidikan.

Berkenaan dengan faktor kemiskinan, pengkaji-pengkaji tersebut turut menyatakan golongan miskin lebih cenderung untuk melakukan jenayah. Ini kerana mereka mempunyai limitasi ekonomi yang sangat terhad. Dalam erti kata yang lain, pilihan pekerjaan mereka lebih terhad berbanding golongan kaya atau pertengahan.

Oleh itu, sebahagian daripada mereka sanggup kerja pekerjaan yang berisiko tinggi atau melakukan akitiviti jenayah kerana aktiviti sedemikian kerana mereka beranggapan aktiviti tersebut menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi berbanding pekerjaan yang sah.

Selain Indonesia, pengkaji-pengkaji daripada Pakistan turut menjalan kajian yang berkaitan dengan ketiga-tiga pemboleh ubah ini. Menurut kajian Prof. Dr. Naimatullah Shah, Dr. Bahadur Ali Soomro dan Abdul Jaleel Mirjat, mereka juga berpendapat kemiskinan dan juga pengangguran memberi impak terhadap kelakuan jenayah di Pakistan.

Berdasarkan kajian mereka, mereka beranggapan kemiskinan mengalakkan aktiviti jenayah kerana kemiskinan bolehmenimbulkan kekecewaan, kemurungan dan pengasingan di kalangan belia dan sebab-sebab lain serta menjadi sebab kecuaian ibu bapa untuk menjaga anak mereka terjerumus di dalam aktiviti jenayah.

Tambahan pula, bagi mereka, jika masalah kemiskinan terjadi secara berterusan, orang miskin mempunyai kecendurungan untuk membuat sesuatu yang terdesak untuk hidup, salah satunya adalah melakukan jenayah.

Di samping itu, satu kajian yang telah dijalankan di Sweden juga mempunyai kesimpulan yang hampir serupa terhadap pemboleh ubah pendidikan dan juga kadar jenayah. Menurut Åslund Olof dan rakan pengkajiannya, mereka membuat kesimpulan penambahan masa pembelajaran dan juga dan juga pendedahan lebih terhadap pendidikan secara amnya berjaya mengurangkan kadar jenayah di Sweden. Mereka berpendapat, keupayaan para pelajar untuk membuat jenayah terutamanya kes-kes juvana berkurang kerana masa mereka diisi oleh masa persekolahan.

Oleh itu berdasarkan kajian-kajian di atas dan juga kajian-kajian lain yang penulis telah baca, penulis dapat simpulkan sifat sebahagian pelarian Rohingya itu adalah disebabkan faktor kemiskinan dan juga kurang pendidikan di kalangan mereka serta ditambah pula dengan faktor-faktor yang lain. Orang yang terdesak akan cenderung untuk melakukan perbuatan yang terdesak.

Pelarian Rohingya telah dinafikan hak kerakyatan mereka selama 37 tahun, hampir 4 dekad lamanya. Mereka telah dinafikan hak pendidikan mereka dan juga hak untuk mencari pekerjaan serta mereka mengalami trauma daripada pembvnuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh askar Myanmar dan juga 3 generasi mereka telah ditekan oleh kerajaan Myanmar.

Jadi tidak hairanlah kenapa suasana hidup mereka membentuk sikap mereka yang kita lihat jelik di Malaysia hari ini. Sudah tentu ini akan memberi satu impak yang negatif terhadap sosio kehidupan mereka. Maka tidak hairanlah sebahagian daripada mereka melakukan perkara yang kurang enak di mata kita.

RUJUKAN

Armin, F. (2020, March). Analysis of the Effects of Education, Unemployment, Poverty, and Income Inequality on Crime in Indonesia. In 4th Padang International Conference on Education, Economics, Business and Accounting (PICEEBA-2 2019) (pp. 368-374). Atlantis Press.

Åslund, O., Grönqvist, H., Hall, C., & Vlachos, J. (2018). Education and criminal behavior: Insights from an expansion of upper secondary school. Labour Economics, 52, 178-192.

Nitta, Yuichi (25 August 2017). “Myanmar urged to grant Rohingya citizenship”. Nikkei Asian Review.

Shah, N., Soomro, B. A., & Mirjat, A. J. (2019). An Investigation of the Impact of Poverty and Unemployment on Criminal Behaviour among Youths: An Empirical Approach. Pakistan Journal of Criminology, 11(1), 54-67.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.