Sekarang bukan zaman 1950-an, yang mana negara-negara sedang giat membebaskan diri daripada penjajahan kolonialisme. Dengan penularan kebebasan di serata dunia, Palestin kekal sebagai sebuah wilayah beraspirasikan negara yang seolah-olah tidak kesampaian. Lebih pedih lagi, Palestin juga tidak wujud sebagai negeri dalam Israel. Status Palestin dalam dunia politik hanyalah sebuah negara dalam negara yang menghalang pelbagai manfaat.

Namun secara zahir, politik Palestin jauh lebih stabil berbanding Libya yang mempunyai dua bidangkuasa pentadbiran iaitu Kerajaan Tobruk dan Kerajaan Keselamatan Negara. Bosnia pula merupakan negara ditadbir bidangkuasa presiden yang dianggotai tiga penguasa. Jadi peperangan dan persengketaan tidak seharusnya menghalang fungsi negara bagi Palestin. Namun jelas dan nyata, politik Palestin terhad dan tersekat daripada melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Meskipun tidak berfungsi sebagai negara, pihak antarabangsa dilihat sudah bersedia untuk menyambut Palestin. Pada 13 Oktober 2014, Parlimen British telah mengundi untuk menganggap Palestin sebagai sebuah negara dijirankan Israel. Keputusan undian ini walau bagaimanapun tidaklah binding untuk menggerakkan kerajaan United Kingdom. Malah Sweden pun pernah dilihat bersedia untuk mengiktiraf Palestin. Sungguhpun begitu, kedua-dua negara ini sudah tidak lagi gah dalam perjuangan Palestin.

Konvensyen Montevideo menetapkan empat kriteria utama untuk mengiktiraf sebuah negara: (1) populasi mutlak; (2) kerajaan sah; (3) sempadan ditetapkan; dan (4) kebolehan untuk berhubung dengan negara lain. Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan kurang berhubung dengan Korea Utara. Namun Malaysia masih diiktiraf sebagai negara berdaulat. Bermakna empat kriteria ini hanyalah panduan semata-mata. Palestin sudahpun mendapat pengiktirafan daripada 130 negara dalam PBB. Namun kemasukannya sebagai ahli penuh masih lagi tersekat dalam peringat pemerhati semata-mata sejak 1974 dan negara bukan ahli pada tahun 2012.

Untuk menjadi ahli penuh, Palestin memerlukan pengesahan majoriti daripada Majlis Keselamatan PBB. Sehingga hari ini negara tersebut gagal untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 9 undian dalam kalangan 15 negara tersebut. Usaha untuk menggerakkan undian pada November 2014 pun tidak mendatangkan kejayaan, dengan realiti cengkaman Israel berterusan selama berdekad-dekad lamanya. Resolusi PBB bagi November 2016 pun tidak membuahkan hasil oleh kerana diplomasi Israel yang sangat meyakinkan dunia luar.

Sungguhpun kriteria-kriteria Konvensyen Montevideo kekal sebagai panduan kosong, Israel menggunakannya untuk merendahkan hak Palestin kearah kemasyhuran ahli penuh. Gabungan Tebing Barat dan Gaza dibawah Rami Hamdallah telah melengkapkan Palestin sebagai sebuah kerajaan sah yang menguasai populasi mutlak. Namun Palestin dihujahkan mempunyai dua angkatan keselamatan berbeza, tiada sempadan sah, tiada ibu negara diisytiharkan dan Perjanjian Oslo menghalang dasar luar negara Palestin.

Apabila negara-negara lain hanya berpaut kepada panduan, Palestin dilihat terjerut dengan kewajiban pula. Pelbagai usaha daripada diplomasi ke lobi telah dirancakkan supaya Palestin kekal sebagai negara dalam negara. Sementara Palestin gemilang dalam perihal diplomasi dengan negara serata dunia, solusi dua negara hanya dibolehkan melalui persetujuan bersama Israel sahaja.

Sempadan Clinton – Dekat Tetapi Jauh

Namun – jika PBB boleh menegarakan Israel, takkan susah sangat untuk membentukkan Palestin?

Persoalan ini telah ditanya ramai. Pembentukan Israel hanya relevan pada 1947 kerana British memohon jalan untuk keluar setelah teruk dibelasah dalam Perang Dunia Kedua. London tidak ingin lagi menanggung beban Mandat Palestin di Timur Tengah. Dan sejak 1917 lagi, British telah berkomited untuk membentuk negara tanahair Yahudi yang menyebabkan Pengisytiharan Balfour. PBB menerima permohonan British dan membahagikan bekas wilayah Uthmaniyah tersebut kepada Yahudi dan Arab.

Arab tidak menerima solusi ini dan mencetuskan peperangan. Dibawah undang-undang antarabangsa, Arab telah menolak tawaran negara walaupun di tanahair bangsa sendiri. Setelah sekian lama berjuang, kedua-dua negara mendapat peluang keaman semasa pemerintahan Bill Clinton. Dalam perancangan keamanan bernama Sempadan Clinton ini, Palestin akan membentuk sebuah kerajaan di Gaza dan 95% daripada Tebing Barat termasuk Jerusalem Timur. 5% bahagian Tebing Barat merupakan penempatan haram Yahudi yang akan disahkan. Dan penerimaan tanah ini akan dibalas dengan pemberian daripada Israel pula.

Israel akan mendapat Tembok Barat yang merupakan sebahagian daripada Kuil Yahudi Kedua dan juga barangkali tempat dimana Nabi Muhammad (SAW) menambat Buraq. Sementara Palestin dan Israel berkongsi Haram ash-Sharif yang mempunyai Masjid al-Aqsa dibawah piagam antarabangsa. Jerusalem Timur pula dibahagikan berdasarkan garisan etnik pula.

Palestin dibawah Yasser Arafat telah menolak tawaran ini (Elgindy, 2018). Antara masalah berbangkit berkait dengan pelarian Arab. Sempadan Clinton mewajibkan bahawa rakyat Palestin perlu membatalkan hak kembali ke tanah asal iaitu Israel. Sementara itu, Israel pula wajib mengiktiraf kerosakan dibuat keatas rakyat Palestin pada tahun 1948. Palestin pula wajib menerima semua pelarian yang ingin menetap di wilayah mereka.

Walaupun Israel bersetuju, terdapat suatu ironi disebaliknya. Persetujuan Israel sebenarnya mempunyai bantahan terhadap perkongsian Haram ash-Sharif. Israel juga menuntut jalan dari Jerusalem Timur dan Ariel ke Sungai Jordan. Perkara ini tidak dipersetujui kerana membelahkan Tebing Barat.

Walaupun Sempadan Clinton gagal, tidak boleh dinafikan bahawa harapan kearah kemerdekaan tetap ada bagi rakyat Palestin. Tiada apa yang kekal selamanya.

RUJUKAN:

How Palestine Might Become a State. https://www.economist.com/the-economist-explains/2014/10/13/how-palestine-might-become-a-state

How the peace process killed the two-state solution. https://www.brookings.edu/research/how-the-peace-process-killed-the-two-state-solution/

Palestinian Reconcilliation Has a Long Way To Go. https://www.economist.com/middle-east-and-africa/2014/06/07/an-awkward-new-government


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.