Pernah tak terfikir kenapa kita panggil orang putih dengan panggilan Mat Salleh? Gelaran Mat Salleh ini merupakan gelaran turun temurun yang kita gunakan kepada orang Caucasian. Namun, daripada mana dan sejak bilakah gelaran ini digunakan.

Rhys William seorang mat salleh yang fasih berbahasa melayu dan sudah terasimilasi dengan rakyat Malaysia pernah menaikkan satu ciapan di Twitter yang mempersoalkan mengapa orang Malaysia khususnya Melayu memanggil orang putih dengan panggilan Mat Salleh. Beberapa jawapan dikemukakan oleh netizen Malaysia namun ianya sekadar seloroh.

Apa yang pasti gelaran Mat Salleh dalam konteks hari ini bukanlah diberikan untuk menghina atau pun bermaksud sesuatu yang buruk. Oleh itu, mereka tidak akan berasa tersinggung(offended) malah beberapa orang putih yang telah menetap lama di Malaysia menggelarkan diri mereka sendiri dengan panggilan mat atau minah salleh.

Rhys William menggunakan nama mat salleh untuk mengasaskan blog matsallehcarimakan.com. Cassidy Anderson seorang Youtuber Australia yang menetap di Malaysia sering kali memanggil dirinya Minah Salleh. Seorang lagi Youtuber yang berasal dari Scotland mempunyai sebuah channel ‘Mat Salleh TV’ yang mempunyai subscriber melebihi sejuta orang.

Tiada siapa yang mengetahui asal usul sebenar panggilan Mat Salleh. Namun, terdapat beberapa teori berkenaan asal usul gelaran Mat Salleh ini.

  • Bahasa

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘salih’ membawa maksud ganjil, aneh dan lain daripada kebiasaan. Salih juga merupakan perkataan sinonim bagi balar iaitu bermaksud putih kemerah-merahan atau dalam bahasa modennya adalah albino. Mat pula merupakan panggilan kepada seorang lelaki. Semasa orang Eropah datang ke Tanah Melayu, penduduk tempatan berasa aneh dengan rupa dan kulit mereka yang putih kemerahan lantas disebabkan itu orang putih dipanggil Mat Salih yang membawa maksud seorang lelaki yang mempunyai kulit aneh yang berwarna putih kemerahan.

  • Mud Sulley

Dikatakan sewaktu penjajahan British dahulu, terdapat sebuah kapal laut British yang dalam perjalanan ke Australia singgah di Tanah Melayu untuk mengisi bekalan makanan dan minuman. Kapten kapal tersebut bernama Mud Sulley yang merupakan seorang kaki botol. Penasihat British pada ketika itu menjemput kapten Mud Sulley untuk menghadiri majlis makan malam bersama Sultan Selangor di istana.

Kedua-dua Kapten Mud Sulley dan Penasihat British duduk makan semeja dengan Sultan Selangor. Ketika bersantap, Penasihat tersebut bertanyakan kepada Sultan “Tuanku, mengapa orang-orang melayu bersantap menggunakan tangan?”.

Sultan segera menjawab “Beta dan sekalian orang melayu tidak menggunakan sudu dan garfu kerana sudu dan garfu telah masuk ke dalam mulut bermacam-macam jenis manusia. Kadangkala ianya turut disuap ke dalam mulut anjing. Tangan beta ini hanya masuk ke dalam mulut beta sahaja. Lagi pula beta yakin bahawa tangan beta ini bersih. Orang yang makan tidak menggunakan tangan mungkin mempunyai tangan yang kotor.” Penasihat British tersebut pun terus terdiam.

Kapten Mud Sulley yang tidak memahami bahasa Melayu berasa tidak selesa kerana tidak mengetahui intipati perbualan. Sesudah makan, Kapten Mud Sulley berasa tidak berpuas hati kerana tidak dihidangkan arak lalu berkata kepada Sultan yang memahami bahasa Inggeris “what kind of dinner is this without rum or wine?” Sultan berasa murka dan menghalau keduanya keluar dari istana.

Sejak dari itu, Sultan memanggil orang putih dengan nama Mud Sulley. Panggilan tersebut turut digunakan rakyat jelata dan digeneralisasikan kepada semua orang yang berkulit putih. Mud Sulley disebut oleh lidah melayu sebagai Mat Saleh.

Namun begitu, kisah ini tidak dapat dibuktikan kebenarannya kerana tidak terdapat mana-mana hikayat atau manuskrip yang ditulis mengenai kisah ini. Nama penasihat British dan Sultan ketika itu juga tidak diketahui. Jika kisah ini benar, berkemungkinan gelaran Mat Salleh ini mungkin berasal sekitar tahun 1874 sehingga 1941.

Frank Swettenham dilantik sebagai penasihat Selangor pada 1874 sebelum digantikan dengan residen Selangor yang rasmi iaitu J.G. Davidson. Sistem residen berakhir apabila Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1941.

  • Mad Sailor

Suatu ketika dahulu ketika orang putih datang ke Tanah Melayu, ramai di antara mereka merupakan kelasi kapal dan mereka sangat suka minum arak sehingga mabuk. Apabila mereka mabuk mereka akan berkelakuan gila dan berbuat bising di kawasan sekitar. Apabila ditanya oleh penduduk setempat tentang siapakah mereka, mereka akan menjawab dalam keadaan khayal dan mabuk bahawa mereka adalah ‘Mad Sailor’.

Penduduk tempatan menggelar mereka dengan Mad Sailor yang lama kelamaan panggilan tersebut bertukar menjadi Mat Salleh. Teori ini sangat rapuh kerana kisah ini seolah-olah direka oleh penglipurlara dan orang-orang terdahulu tanpa pangkal sejarah yang tepat dan asas yang kukuh.

  • Mark La Salle

Pada awal abad ke 20 terdapat banyak sekolah-sekolah Inggeris berkonsep missionary diitubuhkan di Selangor, Pulau Pinang dan Melaka. Sekolah-sekolah ini terkenal hingga kini seperti Victoria Institution, Free School, Convent, dan beberapa sekolah yang diambil nama berdasarkan beberapa paderi seperti St John, St Mary, St Theresa, St Micheals, St Francis dan banyak lagi.

Antaranya adalah sekolah La Salle di Klang. Pada awalnya sekolah tersebut hanya mengambil pelajar daripada golongan anak-anak pegawai Inggeris dan melayu elit sahaja kerana bahasa pengantarnya adalah bahasa Inggeris. Namun pada pertengahan abad ke 20, pengambilan pelajar dibuka kepada umum.

Syarat-syarat kemasukan sangatlah ketat tetapi terdapat seorang anak melayu bawahan yang terpilih untuk belajar di sekolah itu. Dia telah menerima satu surat yang bertulis

Congratulations, you have been selected to be a student in La Salle Secondary School, Klang.” Surat itu ditandatangani oleh pengasasnya iaitu Mark La Salle.

Gembira dengan tawaran tersebut si anak memberitahu kepada si bapa bahawa dia diterima masuk ke sekolah Mark La Salle. Gembira dengan pencapaian anaknya si bapa terus mencanang kepada orang kampung bahawa anaknya diterima masuk sekolah Mark La Salle. Pada suatu hari orang kampung yang tidak mengenali sekolah itu bertanya kepada si bapa bahawa sekolah Mat Salle itu apa.

Mereka menyebut Mat Salle kerana tidak dapat menangkap sebutan Mark La Salle. Si bapa pun memberitahu bahawa sekolah Mat Salle itu adalah sekolah orang putih. Maka lekatlah gelaran Mat Salleh kepada orang putih.

Namun begitu, penulis berpendapat bahawa teori ini tiada bahagiannya yang benar kerana Sekolah Menengah La Salle di Klang diasaskan oleh Reverend Father L. Guittart pada 1940. Nama asal sekolah ini ialah sekolah St. Bernadette sebelum ditukarkan kepada Institusi La Salle pada 1950 dan diletakkan di bawah pentadbiran De La Salle Brothers yang diasaskan oleh Jean-Baptiste De La Salle seorang mubaligh Kristian berasal Perancis.

Senarai nama pengetua sekolah ini juga tiada yang bernama Mark La Salle. Bermula daripada legasi 9 pengetua mubaligh Kristian bersilih ganti sejak 1940 sehingga sekolah ini mempunyai pengetua daripada pelbagai bangsa dan agama seperti Puan K.Sadasivam yang berbangsa India pada 1993, Puan Hajah Adliyah binti Ramly pada 2010 dan Encik Woon Boon Yiat pada tahun 2017 sehingga kini dan tiada langsung nama Mark La Salle.

  • Mat Salleh

Kisah ini penulis peroleh daripada pensyarah penulis sendiri iaitu Dr. Khalid bin Ludin. Beliau banyak bercerita kisah neneknya semasa mengharungi zaman penjajahan. Suatu ketika di dalam kelas beliau bercerita bahawa beliau pernah bertanya kepada nenek beliau yang berumur 90 tahun tentang mengapa orang Melayu memanggil orang putih Mat Salleh.

Mat Salleh sebenarnya adalah nama bagi seorang tokoh sejarah dalam perjuangan menentang penjajahan British di Sabah pada tahun 1897. Nama sebenar beliau ialah Datu Paduka Mohammad Salleh bin Datu Balu. Beliau berketurunan Bajau-Sulu kelahiran Inanam, Sabah. Kisah mengenai Mat Salleh ada diceritakan di dalam buku teks Sejarah sekolah menengah.

Mat Salleh bangkit menentang British disebabkan sistem cukai yang terlalu tinggi. Mat Salleh merupakan seorang yang sangat berani kerana melakukan penyerangan dan membinasakan pejabat Residensi British dan beberapa pejabat Pentadbiran Kompeni. Serangan balas daripada British ke atas kubu Mat Salleh juga berjaya dipatahkan satu demi satu. Dikatakan bahawa orang British amat takut dan gerun dengan Mat Salleh.

Disebabkan itu orang-orang melayu jika ternampak askar British ataupun mana-mana orang putih, mereka akan menjerit “Mat Salleh! Mat Salleh!” demi menakut-nakutkan mereka dan mengusir mereka. Lama kelamaan teriakan Mat Salleh menjadi adat ke atas orang putih dan nama Mat Salleh kekal menjadi gelaran mereka sehingga ke hari ini.

Walau apa pun, teori hanyalah sekadar teori. Tiada jawapan sebenar dan hujah yang konkrit ke atas mengapa orang putih digelar Mat Salleh. Asal-usul dan sebab gelaran Mat Salleh masih tidak diketahui secara pasti hingga ke hari ini akan bila, di mana dan mengapa ianya muncul. Mungkin 50 hingga ke 100 tahun akan datang generasi kita pula akan keliru memikirkan mengapa pishang membawa maksud bosan, payung membawa maksud belanja, dan ‘mak kau hijau’ menjadi ayat untuk menghina dan mengejek seseorang. Siapa tahu.

RUJUKAN

  1. Citra Wira Rakyat dalam Lagenda Mat Salleh. Low Kok On. Tesis Ijazah Sarjana Sastera. Universiti Sains Malaysia. Januari 1999.
  2. Pusat Rujukan Laman Persuratan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 3 April 2020. http://prpm.dbp.gov.my/
  1. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Selangor. Sejarah Negeri Selangor. Dicapai pada 3 April 2020.https://www.selangor.gov.my/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Knowledge is not power. Knowledge is knowledge, power is power. But knowledge is the key to power. Without a proper fortune you shall perish. Pelajar Sarjana Muda Syariah & Undang-undang. Mengagungkan pelbagai cabang ilmu, tapi tak semua. Mempunyai visi tersendiri dalam menyubur masyarakat dengan ilmu. Seorang Potterhead.

Comments are closed.