Alam Melayu sememangnya kaya dengan kisah misteri, lagenda serta dongeng yang diceritakan sejak turun-temurun. Salah satu lagenda yang menarik untuk dibicarakan adalah tentang pantang larang terhadap sesetengah orang Melayu yang tidak boleh makan sejenis ikan.

Ikan tersebut adalah ikan kekacang. Tahu tak rupa ikan kekacang itu macam mana? Ikan kekacang adalah ikan air masin dan sangat mudah dijumpai di pasar-pasar basah di seluruh negara. Saya yakin anda pun pernah memakannya.

Namun, tahukah anda bahawa ada sesetengah orang terutamanya di negeri Kelantan tidak boleh makan ikan kekacang ini kerana itu merupakan pantang-larang mereka. Sekiranya mereka makan ikan ini, kulit mereka akan menjadi luka dan juga gelembung darah yang sakitnya Tuhan sahaja yang tahu.

Kebanyakan orang yang terkena sumpahan tidak boleh makan ikan kekacang ini adalah daripada orang negeri Kelantan dan nama mereka bermula dengan Nik dan Wan. Mengapa? Kita akan susuri kisahnya.

Sekitar tahun 1300 Masihi, terdapat seorang ulama yang juga nasabnya daripada Hussein Ibni Ali, cucunda Nabi Muhammad S.A.W telah belayar ke Nusantara bagi tujuan menyebarkan dakwah Islamiah di kawasan Nusantara ini.

Nama ulama tersebut adalah Syed Hussein Jamadil Kubra Ibni Syeikh Ahmad Jalal. Beliau tinggal di negara India ketika itu. Namun, beliau telah meninggalkan ahli keluarganya untuk datang ke Nusantara bagi menyebarkan dakwah Islamiah.

Syed Hussein Jamadil Kubra sebenarnya sangat terkenal di bumi Nusantara ini. Beliau merupakan datuk kepada salah seorang Wali Songo dan merupakan abang kepada Tuan Guru Adi Putera iaitu guru kepada Laksamana Hang Tuah.

Dikatakan ketika dalam pelayaran ke Nusantara, tiba-tiba berlaku ribut petir serta laut bergelora sehingga menyebabkan kapal yang mereka naiki itu karam. Sungguh berat ujian Allah itu sehinggakan Syed Hussein Jamadil Kubra hampir berputus asa.

Namun, Syed Hussein Jamadil Kubra tidak berhenti-henti berdoa dan tetap meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan daripada Allah S.W.T. Beliau juga bernazar akan mendirikan sebuah masjid seandainya beliau diselamatkan daripada ujian yang berat itu.

Berkat kesabaran serta doa Syed Hussein Jamadil Kubra yang tidak putus-putus itu, akhirnya Allah telah menghantarkan pertolongan kepada beliau. Beliau telah terselamat daripada ujian yang menimpanya.

Sekawan ikan kekacang tiba-tiba muncul dan memberikan bantuan kepada Syed Hussein Jamadil Kubra dengan cara memuatkan diri pada lubang pecahan pada kapal Syed Hussein Jamadil Kubra yang menyebabkan kapal itu karam. Bukan itu sahaja, sekawan lagi ikan kekacang berkumpul di bawah kapal Syed Hussein Jamadil Kubra lalu menolak kapalnya ke daratan.

Syed Hussein Jamadil Kubra akhirnya selamat sampai ke daratan iaitu di Kampung Laut, daerah Tumpat, Kelantan. Namun, sekali lagi Syed Hussein Jamadil Kubra didatangkan dengan ujian daripada Allah.

Kali ini, perut Syed Hussein Jamadil Kubra serta angkatannya yang lain berkeroncong kerana terlalu lapar. Bekalan makanan mereka telah jatuh ke dalam laut ketika kapal mereka karam sebentar tadi.

Sekali lagi Syed Hussein Jamadil Kubra berserah kepada Allah dan meminta pertolongan daripada Tuhan Yang Maha Kuasa. Berkat izin Allah, tiba-tiba Syed Hussein Jamadil Kubra bersama dengan angkatannya terlihat seekor tupai berwarna putih berlari ke arah rimbunan pokok buluh Betong dan memakan rebung buluh itu.

Melihatkan kejadian itu, Syed Hussein Jamadil Kubra bersyukur kerana Allah S.W.T telah mendatangkan petunjuk kepadanya dan juga angkatannya bahawa terdapat rezeki mereka di situ. Mereka pun menjamah rebung buluh Betong yang terdapat di situ.

Berdasarkan dua kejadian yang dianggap ajaib inilah maka Syed Hussein Jamadil Kubra telah bersumpah dan melarang sama sekali keturunannya daripada memakan ikan kekacang serta rebung buluh Betong. Sekiranya ada di antara keturunan beliau yang memakan ikan kekacang serta rebung buluh betung nescaya akan mudaratlah kesihatannya.

Syed Hussein Jamadil Kubra kemudiannya tinggal di negeri Kelantan dan membina sebuah masjid di Kampung Laut sesuai dengan nazar yang telah dilafazkan beliau ketika beliau berdoa supaya diselamatkan daripada ujian kapalnya karam.

Jadi begitulah jawapan kepada persoalan mengapa sesetengah orang Kelantan terutamanya yang bernama Nik dan Wan di hadapan tidak boleh makan ikan kekacang serta rebung buluh Betong. Namun demikian, ingatlah bahawa setiap yang terjadi itu adalah di atas keizinan Allah juga.

Artikel dikirimkan oleh Iskandar Zulfaqar untuk The Patriots.

RUJUKAN:

Celoteh. (2017) KETURUNAN KELANTAN TIDAK BOLEH MAKAN IKAN KEKACANG & REBUNG BULUH BETONG? INI SEBABNYA! Retrieved from: http://celotehsaje.com/keturunan-kelantan-tidak-boleh-makan-ikan-kekacang-rebung-buluh-betong-ini-sebabnya/

Fadli M. (2018) Ulamak Nusantara sebelum abad ke-15. Retrieved from:https://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/7092-ulamak-nusantara-sebelum-abad-ke-15

Nazmi. (2016) Menelusuri salasilah Ahlul-Bait. Retrieved from: https://www.bharian.com.my/node/116408

Zahirwan M. H., & Norhayati H. H. (2018) Perkembangan Islam Di Negeri Kelantan: Analisis Terhadap Manuskrip Sejarah Negeri Kelantan. Jurnal Al-Tamaddun, Bil. 13 (2), 2018, 133-147.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.