Kenapa Orang Cirit Birit Lepas Makan Ayam McD 3 Kali Ganda Pedas?

15,074

Baru-baru ini, kita mendapat berita bahawa salah satu restoran fastfood terkenal di dunia mengeluarkan satu jenis menu terbaru mereka, yang dikhaskan untuk pelanggannya di Malaysia di mana mengikut mereka, tahap kepedasan ayam goreng terbaru mereka itu mencapai 3 kali ganda daripada yang sebelumnya.

Seperti yang anda tahu, tahap kepedasan sesuatu jenis makanan adalah hasil daripada kesan satu molekul yang dipanggil sebagai capsaicin. Capsaicin dikategorikan sebagai satu kumpulan yang sama dengan biji vanila, dalam compound yang digelar sebagai vanilloid.

Di dalam badan kita, terdapat beberapa tempat yang kaya dengan satu jenis receptor yang dipanggil sebagai TRPV1. Receptor ini banyak terdapat di lidah manusia, di mana di sinilah molekul capsaicin akan melekat, dan menghasilkan kesan-kesan yang kita rasakan sebagai kepedasan dan kepedihan.

Melihat kepada strukturnya, molekul capsaicin ini bersifat hydrophobic (hydro -air, phobic – tak suka) pada ekornya yang panjang itu (hydrocarbon tail) dan itulah sebabnya mengapa minum air tidak akan menghilangkan rasa pedas di lidah, sebaliknya akan menyebarkan molekul ini ke tempat lain dan menyebabkan rasa kepedasannya semakin teruk.

Rasa kepedasan sesuatu jenis makanan disusun di dalam Scoville unit yang seperti ditunjukkan di dalam gambar di atas. Walaupun capsaicin banyak digunakan dalam bidang perubatan seperti dalam krim sapuan untuk pesakit artihritis, mahupun ubat berupa patch (seperti koyok), dan kebanyakkan data serta kajian masih lagi tidak mencukupi buktinya untuk menyatakan tentang keberkesanannya dalam bidang perubatan.

Apakah kesan pengambilan makanan yang mengandungi capsaicin yang terlalu tinggi ini? Dalam beberapa kajian dan laporan kes perubatan di seluruh dunia, terdapat banyak kes-kes yang mengakibatkan seseorang itu mengalami gejala daripada sakit perut, sesak nafas, laryngeal and pharyngeal oedema (pembengkakkan pada saluran pernafasan), kegagalan jantung sehinggalah ada yang maut akibat pendarahan dalam perut.

Disebabkan oleh kesannya yang seolah-olah mimik dengan kesakitan, bahagian sistem pencernaan kita akan seboleh-bolehnya cuba untuk mengeluarkan kandungan ini secepat mungkin. Di awal pemakanan, refleks pada bahagian perut kita akan mengalami pengecutan dalam usaha untuk mengeluarkannya melalui muntah. Gejala muntah ini meningkat dan menjadikannya semakin teruk terutama kepada individu yang sememangnya tidak tahan dengan kepedasan.

Mengikut salah satu kes di Amerika Syarikat (AS), seorang remaja maut selepas cuba membuat ‘internet challenge’ dengan memakan ghost pepper. Dia mulai muntah-muntah dengan teruk sejurus menelan cili tersebut, dan akhirnya mengakibatkan bahagian di antara perut dan esofagusnya koyak (keadaan ini dipanggil sebagai Mallory-Weiss tear) dan dia maut akibat pendarahan. Terdapat juga banyak kes-kes lain yang hampir menyebabkan kematian, seperti kes di bawah ini (kredit gambar – dailystar.co.uk)

Satu lagi kes adalah mengenai seorang lelaki yang memang mempunyai penyakit jantung, yang maut sejurus mencuba untuk makan masakan di restoran cina yang sememangnya terkenal dengan kepedasannya. Refleks akibat kepedihan meningkatkan tekanan darahnya dengan cepat kerana bahagian sympathetic nervous system (SNS) diaktifkan saat dia mengalami kesakitan pada bahagian perutnya, menyebabkan ritma degupan jantungnya menjadi hilang kawalan. Dia maut dengan diagnosis cardiac arrhythmia.

Banyak lagi kes-kes yang dikongsikan di laman web pubmed, seperti terdapat individu yang diserang angin ahmar akibat peningkatan tekanan darah tanpa kawalan akibat ‘kesakitan’ pada bahagian perutnya dan ada satu kes seorang remaja berusia belasan tahun yang tersedak saat dia mencuba ‘ALS Pepper Challenge’ dan mengakibatkan pembengkakkan pada saluran pernafasannya. Dia hampir maut akibat kejadian ini di mana dia dimasukkan ke ICU untuk beberapa hari dan memerlukan bantuan alatan pernafasan.

Juga, apabila kita makan makanan yang begitu pedas, selalunya kita akan merasakan perut kita yang memulas-mulas. Hal ini adalah kerana peningkatan dalam aktiviti peristalsis apabila bahagian dalam usus tersentuh dengan molekul capsaicin ini. Sudah tentu, pada peringkat akhir, makanan yang kita makan akan disimpan seketika di dalam rektum sebelum kita membuang air besar. Penyimpanan najis ini bersama dengan capsaicin akan mengakibatkan keradangan, dan boleh menyebabkan buasir.

Jadi, kecuali anda sememangnya dah biasa memakan makanan yang pedas, anda mungkin mempunyai daya ketahanan pada kepedasan sesuatu makanan itu dsi mana receptor anda menjadi lebih kebal dan lebih tahan terhadap kesan daripada capsaicin ini. Anda perlu mengetahui bahawa molekul ini dihasilkan dalam tumbuhan spesis capsicum sebagai satu cara untuk mengelakkan mamalia memakannya. Uniknya, burung tidak akan merasai kepedasan ini, menjadikannya sebagai satu jenis vektor untuk menyebarkan biji benih tumbuhan ini ke kawasan lain.

Sedikit informasi tambahan mengenai bagaimanakah susu boleh meneutralkan rasa pedas di dalam mulut seseorang itu (daripada artikel sebelum ini). Susu pmempunyai molekul yang bernama casein. Casein bersifat lipophilic (lipo – lemak, philic – suka) yang mana mampu mengikat struktur ‘ekor’ molekul capsaicin ini, dan akan menyebabkannya tertanggal daripada ikatannya terhadap receptor TRPV1, dan kesannya mampu mengurangkan kepedasan di dalam mulut kita. Kesan ini sama dengan kesan bagaimana sabun pencuci pinggan mangkuk boleh meneutralkan kesan-kesan minyak dan gris pada pinggan mangkuk.

Anda perlu tahu juga hanya susu yang berasal daripada mamalia sahaja mengandungi casein. Susu daripada tumbuhan seperti susu soya tidak mengandungi casein. Juga, untuk sesetengah orang yang suka makan pedas, adalkalanya receptor TRPV1 mereka akan menjadi lebih tahan dan ‘resistant’ terhadap kepedasan, yang mana itulah sebabnya mengapa wujud seseorang yang mampu makan seseuatu yang begitu pedas dengan selamba, walhal orang lain yang mencuba makanan yang sama hampir-hampir sahaja bergelar arwah.

Untuk pengetahuan anda, capsaicin ini sebenarnya mempunyai potensi yang amat tinggi kerana dalam beberapa kajian yang dibuat, molekul ini dikatakan mampu untuk meningkatkan metabolisma badan serta mempunyai kesan analgesia (tahan sakit).

Justeru, pengambilan cili ini bukanlah tidak boleh diambil langsung, tetapi, seperti biasa, setiap makanan perlu diambil dengan kadar sederhana. Sekiranya anda sememangnya tidak tahan pedas, saya nasihatkan untuk tidak mencuba sesuatu makanan sememangnya diketahui terlalu pedas kerana risiko dan bahanya terhadap kesihatan anda.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.