Kenapa Orang Bodoh Selalu ‘Confident’ Pandai?

3,158

Pernahkah anda berhadapan dengan seseorang yang sering membicarakan tentang sesuatu yang mana sebenarnya, anda sendiri merupakan seorang yang mempunyai kelulusan dan tahap pengetahuan yang tinggi mengenai perkara yang dibincangkan, tetapi dia tidak.

Namun, gayanya yang begitu yakin dan sangat hebat ibarat dia mengetahui perkara tersebut lebih daripada anda dengan hujah-hujah balas yang tiada isi dan fakta akhirnya menyebabkan anda berasa sakit hati dan tidak ingin lagi bercakap dengannya.

Perkara yang dibincangkan ini meliputi segalanya yang berada di dunia ini, daripada aspek pemakanan, perubatan, sains, matematik, sejarah, politik, keselamatan dan lain-lain. Pendek kata, apa-apa yang berkait dengan ilmu pengetahuan ini boleh membuatkan seseorang merasai kesakitan hati apabila secara terang-terangan seseorang itu menunjukkan kebodohan dirinya kepada anda.

Baik, dari sudut psikologi, hal ini kita namakan sebagai The Dunning-Kruger Effect. Professor David Dunning dan Professor Justin Kruger merupakan dua orang pakar psikologi yang menjalankan kajian mengenai perkara ini dalam usaha untuk memahami mengapakah seseorang manusia yang tiada ilmu dan kemahiran dalam sesuatu bidang itu mempunyai tahap keyakinan yang amat tinggi.

Pada tahun 1999, seorang lelaki bernama McArthur Wheeler menyapu mukanya dengan jus lemon, kerana dia percaya, jus lemon merupakan salah satu bahan yang digunakan dalam ‘invinsible ink’, iaitu sejenis dakwat yang akan hilang selang beberapa minit selepas dakwat tersebut diletakkan atau ditulis di atas kertas. McArthur dengan selamba merompak 2 buah bank, dan amat yakin rakaman kamera litar tertutup beserta staf di bank tidak akan dapat mengecam wajahnya.

Selepas dia diberkas dengan mudah oleh pihak berkuasa, dia sememangnya masih tidak tahu strateginya itu sebenarnya merupakan strategi yang sangat tidak munasabah. Hanya setelah ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup, barulah dia sedar dan perasan bahawa dia sebenarnya tidaklah menjadi lutsinar selepas menyapukan jus lemon pada wajahnya.

Pada tahun 2003 dan seterusnya, kedua-dua professor ini menjalankan banyak jenis ujian yang berkait rapat demi membuktikan fenomena ini. Salah satu kertasnya yang bertajuk “Why do people fail to recognize their own incompetency”, pelbagai ujikaji yang dibuat selepas itu. Sememangnya mereka mendapati bahawa “Those who were incompetent will overestimate their performance while those who really are competent will underestimate their own skills and performance”.

Kita sendiri boleh melihat pada tahun 2003, terdapat seorang penyanyi yang memasuki ujibakat satu rancangan realiti televeisyen di Birtain yang bernama British Idol, di mana sewaktu berhadapan dengan juri, dia menyanyikan lagu Eye of the Tiger. Suaranya amat teruk, dan sudah tentu dia dikutuk dan ditolak pada peringkat awal lagi.

Namun, rata-rata penonton rancangan tersebut menjadikannya sebagai idola, bukan kerana suaranya, tetapi kerana kesungguhan dan keberaniannya untuk menyanyi walaupun sudah terang-terangan dia tidak mempunyai bakat dan kemahiran untuk menjadi seorang penyanyi.

Dia meneruskan nyanyiannya, di mana dia mendapat sokongan moral dan motivasi daripada masyarakat umum. Walau bagaimanapun, setelah dia menjadi terkenal, sudah tentu ramai orang mulai menyampah dan mula memberitahu dengan cara menulis komen di media sosia, mengecam suaranya yang menyakitkan telinga itu.

Dia menerima kritikan ini dengan begitu terkejut, kerana dia langsung tidak menyangka bahawa sebenarnya, orang bukan suka dengan suaranya, sebaliknya, orang ramai hanyalah menyukai keberaniannya semata-mata.

Kini, dia tidak lagi menyanyi, dan kita boleh lihat sendiri betapa teruknya seseorang itu yang menyangka dirinya amat hebat, competent dan mempunyai kemahiran sebenarnya langsung tidak sedar akan apa yang sebenarnya berlaku. Juga, satu frasa yang selalu digunakan iaitu “public have a tendency to champion underdogs”.

Dalam kajian ini, Professor Dunning dan Professor Kruger menerbitkan satu carta, di mana anda sendiri boleh melihat pada axis-x, yang mewakili pengetahuan dan pengalaman, dan di axis-y adalah tahap keyakinan seseorang. Mereka yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang sederhana mempunyai tahap keyakinan yang rendah, dan hanya akan meningkat setelah mereka mempunyai lebih banyak pengetahuan dan pengalaman.

Masalahnya adalah di awal carta ini, yang kita boleh lihat dengan pengetahuan yang sangat sedikit, tahap keyakinannya amat tinggi, sehingga melepasi mereka yang mempunyai pengtahuan dan pengalaman yang sederhana dan sedikit tinggi. Mengikut kepada puncak carta ini, iaitu di “peak of mount stupid’, mereka mempunyai 2 masalah iaitu, mereka tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang selari dengan tahap keyakinan mereka, dan kedua, mereka tidak tahu apa yang mereka tidak tahu.

Sebuah rancangan televisyen yang dihoskan oleh Jimmy Kimmel, dalam satu sketsanya bertajuk Lie Witness menunjukkan bahawa betapa besarnya kesan Dunning-Kruger ini yang dialami oleh semua peringkat masyarakat tanpa mengira profession, pekerjaan dan umur.

Dalam sketsa ini, mereka sering menemubual orang awam dengan cara meminta pandangan dan pendapat mengenai seseorang penyanyi yang memang tidak wujud di dunia. Walau bagaimanapun, anda akan terkejut melihat beberapa orang yang boleh menerangkan dan memberi pendapat dengan begitu yakin dan panjang sekali mengenai sesuatu yang tidak wujud.

Hal ini dinamakan sebagai ‘illusory superiority’, iaitu seseorang yang berkhayal dan menyangka bahawa dirinya hebat, dan lebih pandai daripada orang lain serta mahukan pendapat mereka didengari oleh lebih ramai manusia dengan tujuan, menunjukkan dirinya amat hebat dan sebenarnya inginkan perhatian daripada orang ramai semata-mata.

Seseorang yang pakar juga terlibat sama dalam kesan ini, contohnya seperti seorang saintis dalam bidang angkasa boleh menunjukkan kesan ini apabila dia bercakap mengenai subjek tatabahasa dan penulisan contohnya. DIa memang mempunyai ilmu yang tinggi dalam sains angkasa, tetapi dia tidak mempunyai ilmu dalam bidang tatabahasa dan penulisan, yang mana menunjukkan kesannya kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Jadi, bagaimana kita hendak mengatasi masalah seperti ini? Cara yang terbaik adalah dengan mendapatkan kritikan dan teguran daripada orang yang betul. Contohnya, sekiranya anda menulis artikel mengenai perubatan, adalah baik sekiranya anda menerima kritikan dan komen daripada seseorang yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang sekurang-kurangnya sama atau lebih daripada anda, seperti daripada seorang doktor lain mahupun doktor pakar.

Kritikkan dan teguran daripada orang yang mempunyai ilmu dan pengalaman yang lebih rendah daripada anda akan menyebabkan pengakhiran yang tidak baik, yang mana keyakinan anda mungkin menjadi rendah akibat menerima teguran daripada orang sebegini yang sememangnya kita ketahui mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

Sememangnya, simpulan bahasa tin kosong amat tepat untuk digunakan dalam keadaan ini yang membawa maksud orang yang banyak bercakap atau mengutuk tetapi tidak mempunyai ilmu. Kita juga diajar untuk tidak mendengar mahupun menerima apa-apa daripada orang yang tidak berilmu memandangkan kadangkala, pemahaman kita boleh menjadi tidak betul kerana dipengaruhi oleh “tin-tin kosong ini”.

Tin kosong yang berbunyi dengan kuat ini apabila isinya sedikit juga menerangkan bahawa mengapa seseorang yang berada di media sosial, seperti mereka yang merakam video dengan niat untuk menjatuhkan orang lain akan bercakap atau menulis dengan nada yang begitu kuat dan lantang kerana mereka mahukan orang lain memberi perhatian kepadanya, menunjukkan kehebatan dan betapa banyaknya ilmu di dalam dadanya serta pada masa yang sama memburukkan orang yang dikecamnya itu.

Justeru, kerana ini fitrah seseorang yang bernama manusia, kita seharusnya mempunyai rasa hormat terhadap satu sama lain dan tidak menyangka sentiasa bahawa orang yang mempunyai tahap keyakinan yang tinggi itu tidak semestinya mempunyai ilmu yang tinggi juga. Juga, berdebat dengan seseorang yang mempunyai tahap ilmu (bukan keyakinan) yang rendah hanya akan menarik anda ke tahapnya, dan saya amat yakin, tiada persetujuan akan berjaya dicapai dalam keadaan sebegini.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.