Semua maklum kontroversi yang menyelubungi Al-Jazeera membabitkan sebuah dokumentari yang disiarkan dalam rancangan terbitan mereka, 101 East baru-baru ini. Tetapi bagi pemain media antarabangsa yang berpangkalan di Doha, Qatar itu, bagi kontroversi sebegini dianggap perkara biasa walaupun ia kadang-kadang berlandaskan fakta mengarut dan dimusuhi oleh ramai pihak termasuk di Timur Tengah.

Jadi kenapa Al-Jazeera ditolak sekeras-kerasnya oleh pemimpin-pemimpin Arab terutama Arab Saudi? Sebelum kemunculan mereka, semua bentuk maklumat dikawal oleh pemerintah. Tetapi dengan Al-Jazeera, ia mengubah sepenuhnya permainan media dunia Arab termasuk membenarkan kritikan terhadap pemimpin-pemimpin Arab dan meneruskan agenda ‘soft power’ yang hendak ditonjolkan Doha.

Jika ditanya apa sebab Al-Jazeera dibenci bak lagu Aiman Tino, sebabnya terlampau banyak. Antara hujah yang dikemukakan ialah menyokong agenda pembangkang sesetengah negara, terlalu Islamik (untuk Al-Jazeera Arab) dan membawa berita yang bersifat keras dan kritikal terhadap rejim-rejim Timur Tengah.

Justeru, tidak hairanlah sesetengah mengambil pendekatan keras terhadap Al-Jazeera. Arab Saudi, Jordan dan Mesir menghalau biro-biro Al-Jazeera dari beroperasi di negara mereka. Kebencian Riyadh terhadap penyiar yang berpangkalan di Doha itu merupakan antara sebab utama sekatan udara, air dan darat dikenakan terhadap Qatar oleh empat negara iaitu Bahrain, Riyadh, Kaherah dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun 2017.

Tetapi bagi yang mengikuti perkembangan dunia Arab, semua maklum kuasa dan pengaruh yang boleh didapati menerusi media seperti disedari oleh Presiden Gamal Abdul Nasser. Dengan 350 juta orang berbahasa Arab di rantau berkenaan, ia merupakan satu perlumbaan.

Pada tahun 50-an dan 60-an, Gamal melancarkan stesen radio Sawt al-Arab. Stesen ini dilancarkan bagi menyebarkan lagi agenda Pan-Arab yang diperjuangkan beliau. Siapa sangka, stesen ini mendapat sambutan hangat ketika itu sehinggakan Riyadh yang memusuhinya memilih menghalang sebarang siaran Sawt al-Arab dari sampai ke Arab Saudi.

Kemudian pada tahun 90-an, anggota kerabat diraja Saudi mula membeli akhbar-akhbar Arab dan memastikan ia tersebar ke seluruh rantau itu. Arab Saudi juga membangunkan stesen televisyen satelit MBC dengan sasaran utama ialah kelompok penonton yang luas. Walaupun dua idea usaha ini kurang menjadi, ia sebenarnya memberi potensi kemunculan media pan-Arab bagi mana-mana individu yang mahukannya.

Salah seorang daripada mereka ialah Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani. Murka dengan sikap penyiar Arab pro-Saudi yang menyiarkan kritikan keras terhadapnya selepas diangkat menjadi Emir pada tahun 1995, Sheikh Hamad bertindak menubuhkan Al-Jazeera pada tahun 1996 dengan harapan dapat memecah monopoli media oleh Arab Saudi dan memberi perspektif berbeza yang dimahukan penonton.

Oleh sebab itulah pada era awal kemunculannya, Al-Jazeera mencari kandungan mana yang menarik perhatian penonton. Menurut penulis Shibley Telhami, penonton dunia Arab mahukan pandangan yang berbeza dalam banyak isu dan lebih banyak maklumat tentang isu yang menyentuh soal orang Arab dan orang Islam.

Antara kandungan yang disiarkan mereka ialah rakaman penduduk Palestin dis3rang rejim Zionis, membuat liputan di Knesset (Parlimen) Israel, penyiaran perdebatan secara langsung, video ucapan 0s4man bin L4d3n dan sidang media membabitkan pegawai-pegawai Barat termasuk Amerika Syarikat.

Dengan kandungan-kandungan sebegini, ia menjadi tumpuan penonton Timur Tengah. Pada tahun 2001, ia menjadi saluran televisyen utama Arab untuk bahagian berita (s3rangan 11 September dan s3rangan pihak Bersekutu di Afghanistan) dan 2006 menyaksikan Al-Jazeera menjadi pilihan utama 75% penonton.

Ya, ia menjadikan Al-Jazeera sebagai sebuah pemain media yang berjaya. Tetapi ia juga mengundang kritikan keras terutama dari luar negara. Selepas s3rangan 11 September, rakyat Amerika menuduh saluran televisyen berkenaan memarakkan lagi kemarahan dan ketakutan terhadap dasar luar Amerika Syarikat.

Semasa kekecohan Arab Spring pula, banyak negara Arab merasa panas hati dengan liputan Al-Jazeera yang dilihat merangsang kebangkitan rakyat terhadap rejim mereka. Pada tahun 2012 pula, China berasap dengan Al-Jazeera English kerana membuat liputan isu sensitif membabitkan Beijing sehingga mendorong mereka tidak memperbaharui pas wartawan Al-Jazeera dan mengarahkan biro berita mereka menutup operasi di China.

Kebencian sebegini menyaksikan Al-Jazeera menjadi musuh walau di mana saja mereka berada. Dan di sebalik usaha keras Doha mahu menjadikannya sebagai simbol ‘soft power’nya di pentas dunia, kelancangan sesetengah laporan boleh mengakibatkan Qatar kehilangan rakan atau sekutu penting. Bak kata pepatah, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

RUJUKAN:

Erickson, Amanda. (2017). Why Saudi Arabia hates Al Jazeera so much. The Washington Post. https://www.washingtonpost.com/news/worldviews/wp/2017/06/23/why-saudi-arabia-hates-al-jazeera-so-much/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.