Kenapa Menguap Boleh Berjangkit?

487

Menguap adalah satu jenis perbuatan yang dilakukan oleh semua haiwan vertebra. Semua manusia pernah menguap kerana para doktor perasan bahawa perbuatan ini bermula sejak pada trimester kedua tumbesaran seseorang itu di dalam rahim ibunya. Janin yang menguap ini masih kita tidak ketahui apakah implikasi dan tujuan perbuatan tersebut.

Perbuatan ini berfungsi sebagai pelbagai cara yang berlainan mengikut spesis. Tikus menguap untuk menunjukkan giginya yang tajam apabila spesis ini berasa terancam. Penguin pula menguap sebagai satu cara dan adat sebelum mereka mengawan dan ular pula sering dilihat menguap demi memperbetulkan kedudukan rahang nya, terutama sekali selepas ular ini menelan mangsanya, yang biasanya amat besar.

Akan tetapi, apakah fungsi menguap kepada manusia? Pada awalnya, kita percaya perbuatan ini akan meningkatkan kadar oksigen di dalam badan memandangkan kita mengambil udara yang benyak semasa menguap. Walau bagaimanapun, satu kajian yang dibuat gagal membuktikan perkara ini.

Sebenarnya manusia menguap apabila mereka berasa letih, tidak cukup tidur mahupun berfikir terlalu banyak. Keletihan dan tidak cukup tidur ini kita ketahui akan menyebabkan bahagian otak memerlukan tenaga yang lebih banyak daripada biasa. Keadaan ini akan menyebabkan bahagian otak kita mengalami peningkatan dalam suhunya.

Sesuatu yang kita boleh analogikan adalah sekiranya kita menggunakan komputer dengan banyak task dan proses yang akan menyebabkan bahagian dalaman komputer tersebut, khususnya pada motherboard mengalami peningkatan suhu.

Jadi, komputer ada kipas atau liquid-cooling sistem, akan tetapi, manusia ada perbuatan menguap ini. Apabila kita menguap, kita akan mengambil banyak udara di sekeliling kita yang akan masuk melalui mulut untuk tujuan ini. Udara tersebut akan memberi kesan penyejukkan yang boleh membantu bahagian otak yang sedang panas. Anda perasan tak, sekiranya anda menguap, pengambilan udara ini adalah melalui mulut, bukan melalui hidung. Tapi mengapa?

Bahagian dalam hidung kita mempunyai banyak salur darah dan pada kebiasaanya, semasa kita menarik nafas menggunakan hidung, bahagian salur darah ini akan menyebakan kenaikan suhu pada udara yang kita sedut. Jadi, sekiranya seseorang itu menguap dan menarik nafas melalui hidung, maka proses dan tujuan asal untuk penyejukkan bahagian otak ini tidak dapat berlaku (kerana sedikit hangat akibat salur darah yang berada di dalam hidung).

Bahagian otak kita sebenarnya mempunyai suhu yang optimum baginya untuk berfungsi. Sekiranya terlalu panas, maka, badan kita akan menghantar mesej ke bahagian otak untuk menguap. Hal inilah yang menjelaskan mengapa sekiranya ikan diletakkan di dalam air yang sedikit suam, ikan-ikan tersebut akan mempunyai refleks untuk menguap. Ya! Ikan juga menguap.

Seterusnya, kita lihat sedikit, bagaimana menguap ini boleh ‘menjangkiti’ orang lain dalam proses yang dikenali sebagai contagious yawn. Kejadian ini masih lagi tidak difahami sepenuhnya oleh para doktor yang membuat kajian mengenainya, namun, terdapat beberapa hipotesis dan teori bagaimana proses ini terjadi.

1. Menguap ini akan berlaku ibarat satu refleks apabila kita melihat seseorang itu menguap, mendengar bunyi seseorang menguap mahupun membaca artikel yang tertulis perkataan menguap (Cuba jujur, dalam proses pembacaan artikel ini, berapa kali korang dah menguap? :-P). Hal ini kita gelar sebagai kesan domino dan fixed action pattern yang boleh berpindah daripada satu individu kepada individu yang lain.

2. Chameleon effect, iaitu keadaan kita sesama manusia yang ingin membuat perkara yang sama terhadap apa yang kita lihat dan dengar. Satu eksperimen di mana seorang subjek disuruh duduk berhadapan dengan seorang saintis. Setelah dia melihat saintis ini duduk sambil menyilang kaki, tidak semena-mena dia akan menukar posisi duduknya dengan menyilangkan kakinya juga.

Hal ini adalah kerana wujudnya Mirror Neurons di bahagian otak kita yang akan cuba untuk meniru perbuatan orang lain. Hal ini disahkan dengan ujian yang dipanggil sebagai fMRI untuk melihat bahagian otak yang aktif semasa seseorang itu berhadapan dengan orang lain dan cuba meniru posisi badannya.

3. Empati. Empati ini bermaksud kita meletakkan diri kita di situasi seseorang yang lain. Teori ini dapat menjelaskan mengapa pada usia 4-5 tahun barulah seseorang itu akan mengalami contagious yawning. Hal ini adalah disebabkan oleh semasa pada usia itulah seseorang manusia akan dapat memahami emosi dan perbuatan orang lain. Satu lagi kajian juga menunjukkan seseorang itu akan mengalami contagious yawning sekiranya dia terlihat sahabat rapat mahupun ahli keluarga mereka yang terdekat menguap. Sudah tentu perasaan empati ini kita tujukan kepada seseorang yang kita kenal, bukan orang asing (stranger).

Akan tetapi, sekiranya anda perasan bahawa seseorang itu langsung tidak terkesan daripada melihat orang lain menguap, ada kemungkinan seseorang itu mempunyai kadar empati yang sangat rendah, seperti yang terjadi kepada seseorang yang mempunyai personality psychopath. Tetapi anda tidak boleh tahu sama ada anda akan terkesan dengan menguap ini ataupun tidak kerana perbuatan ini selalunya dilakukan secara subconscious dan tidak anda perasan kecuali anda mempunyai rakan-rakan yang perasan akan sifat anda itu.

Jadi, untuk menyebarkan perbuatan menguap ini kepada orang lain, buatlah pada seseorang yang kita kenali (stranger juga akan kadangkala terkena juga, cuma kekerapannya lebih rendah berbanding dengan orang yang mereka kenali). Oleh itu, sekiranya anda marah dan penat, maka, anda dipersilakan untuk menguap bagi menyejukkan sedikit bahagian otak anda yang overheat itu.

RUJUKAN:

The thermoregulatory theory of yawning: what we know from over 5 years of research. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3534187/

Yawning and its physiological significance. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3678674/

Why do we yawn?. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/m/pubmed/20382180/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.