Kenapa Manusia Alah Pada Kucing?

384

Mengapakah sesetengah daripada kita mempunyai alahan kepada kucing? Mengikut statistik, sebanyak 7% daripada populasi di Malaysia mempunyai alahan kepada kucing. Kita tidak mempunyai statistik untuk alahan kepada anjing, tetapi, jika kita ikutkan kepada kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, mereka mempunyai populasi sebanyak 10% yang mempunyai alahan kepada kucing, dan 5% kepada mereka yang mempunyai alahan kepada anjing.

Peratusan Pesakit Alahan yang Didiagnos oleh Doktor – AIAP

Jadi, apakah puncanya alahan ini terjadi? Adakah ianya disebabkan oleh bulunya yang beterbangan ditiup bayu laut di keheningan malam? Sebelum itu, kita perlu mengetahui terlebih dahulu, bagaimanakah alahan ini berlaku secara ringkas..

Setiap benda yang boleh mencetuskan alahan mempunyai struktur yang dipanggil antigen. Apabila benda ini masuk kedalam badan buat kali kedua, antibodi yang terbina ada pendedahan kepada antigen ini pada kali pertama mula bertindak secara berlebihan.

Mekanisma Alahan – NIAID

Kesan ini disamping dengan penghasilan histamine oleh Mast Cell dan Basophil akan menyebabkan pelbagai reaksi kepada tubuh badan seperti kemerah-merahan pada kulit, selsema, berair mata, bersin dengan kerap dan yang paling teruk adalah gejala semput akibat penyempitan saluran pernafasan berlaku menyebabkan wheezing dan gejala ini amat berbahaya kerana ianya boleh menyebabkan kematian.

Senang ceritalah, alahan ini berlaku apabila antigen yang masuk ini dianggap sebagai sesuatu yang amat berbahaya dan memerlukan pelbagai serangan kepadanya, menyebabkan kenaikan pada sel yang dipanggil eosinofil. Jika anda nak tahu, ubat-ubatan seperti piriton itu merupakan sejenis ubat antihistamine, yang menurunkan kadar histamine di dalam darah agar mereka tidak bertindak berlebih-lebihan terhadap sesuatu yang tidak berbahaya.

Gejala-gejala Alahan – Letzhealthy

Pada badan kucing, setakat yang diketahui, terdapat beberapa protein yang boleh menyebabkan alahan ini iaitu;

  1. Fel d 1 – protein ini dihasilkan oleh bahagian kelenjar peluh seekor kucing dan nama lainnya adalah secretoglobin
  2. Fel d 4 – protein ini dihasilkan ol;eh bahagian kelenjar submandibular, iaitu kelenjar yang menghasilkan air liur kucing. Nama lainnya adalah lipocalin
  3. Fel d 2 dan Fel d 3 – protein bernama albumin dan cystatin ini memainkan peranan kecil sahaja di dalam alahan terhadap kucing

Kajian mendapati, 63% daripada golongan yang mempunyai alahan kepada kucing mempunyai alahan disebabkan oleh Fel d 4 protein ini. Protein ini melekat di bahagian kulit kucing dan apabila lapisan kulit mati ini terjatuh dan tersebar di dalam sesuatu kawasan, mana-mana penyentuhan terhadapnya atau termasuk di dalam saluran pernafasan boleh mencetuskan reaksi alahan ini.

Gambar dari Cattime

Sudah tentu, alahan ini bukanlah sesuatu yang boleh dibawa main. Sekiranya salah seorang ahli keluarga anda mempunyai alahan terhadap kucing, anda tidak bolehlah memelihara kucing di dlaam rumah kerana perbuatan tersebut mempunyai potensi untuk menyebabkan si dia mendapat gelaran arwah, walaupun arwah dulu baik orangnya. Sudah tentu, penggunaan karpet tidak digalakkan memandangkan kawasan ini sering memerangkap kulit-kulit mati kucing ini.

Ada orang berkata, pembelaan kucing seperti spesis Sphynx yang tidak mempunyai bulu itu tidak boleh menyebabkan alahan. Sudah tentu tanggapan tersebut salah. Manusia yang tidak begitu banyak bulu juga mempunyai lapisan kulit mati yang sangat banyak, sama seperti kucing. Alahan ini pada kulit tersebut, yang disebabkan oleh protein yang terhasil daripada jilatan kucing ini (Fel d 4). Sudah tentu, pemakaian topeng muka, penapis udara dan tidak membenarkan kucing masuk dan tidur bersama anda merupakan salah satu langkah berjaga-jaga, namun, apakah pula tanggungjawab kucing tersebut dalam mengelakkan manusia menanggung alahan kepadanya?

Mandikan Kucing bukan sekadar menjadikannya berbau wangi

Maksud saya, apakah maksud pemilik kucing untuk mengelakkan alahan ini kepada sesiapa yang mempunyai alahan dalam usaha tidak membunuhnya? Kajian mendapati, memandikan kucing selama 3 minit menggunakan syampu kucing dan air paip menurunkan jumlah protein Fel d 1 secara signifikan (tiada kajian mengenai Fel d 4 dan memandikan kucing). Akan tetapi, jumlahnya hanya turun sementara waktu sahaja, dan akan kembali meningkat seminggu kemudian. (Pautan nombor 2)

Diet kucing juga memainkan peranan penting. Kajian mendapati, diet kucing yang mempunyai kandungan Omega-3 Fatty Acids ini mampu mengurangkan jumlah kulit mati dan keguguran bulu yang dialami oleh kucing. Pastikan anda memilih makanan kucing yang mempunyai kandungan ini disamping kandungan-kandungan nutrien dan zat yang lain.

Kucing Jantan vs Betina Vs Jantan Mandul – Cat-World

Kemudian, anda perlu rajin memberus bulu kucing ini menggunakan sikat kucing untuk mengurangkan bilangan bulu yang tecabut bersama kulit mati ini di awang-awangan. Satu kajian lain mendapati kucing betina mempunyai risiko alahan yang lebih rendah memandangkan protein Fel d 1 yang dihasilkan lebih rendah berbanding kucing jantan.

Kucing jantan yang dimandulkan pula mempunyai kandungan protein Fel d 1 di atas kulit mereka lebih sedikit berbanding yang tidak mandul. Tidak ketahui puncanya mengapakah kucing jantan yang tidak mandul ini mempunyai banyak Fel d 1 yang terhasil daripada peluh mereka. Mungkin mereka sering kepanasan tanpa sebab yang tertentu.

Juga, kucing yang diletakkan di dalam rumah mempunyai risiko yang lebih rendah membawa pelbagai jenis bahan yang boleh menyebabkan alahan kepada seseorang seperti debunga pokok, kekotoran mahupun Debunga Wangi oleh Lefthanded. Kucing yang berada di luar rumah sering dilekati dengan pelbagai bahan-bahan pencetus alahan ini. Hal ini amat merunsingkan kerana untuk sesetengha orang yang mempunyai penyakit asthma, 30% daripada mereka boleh dicetuskan serangan asthma disebabkan oleh kucing, walaupun seseorang yang mempunyai asthma itu tidak mempunyai alahan yang spesifik terhadap kucing.

Ingin saya pesan di sini, alahan bukannya sejenis penyakit yang boleh baik lebih banyak anda dedahkan kepada pencetusnya. Semakin banyak pendedahan, semakin teruk seseorang itu boleh jadi. Ianya bukan sesuatu yang boleh diaplikasikan konsep whatever doesn’t kill you makes you stronger, tetapi, it will kill you by triggering a reaction dan pesakit akan mendapat komplikasi kronik penyakit ini mahupun komplikasi kronik pengambilan ubat-ubatan alahan.


Kucing Milik Penulis 🙂

Jadi, begitulah dia kisahnya mengapa seseorang boleh menjadi alahan kepada kucing. Alahan kepada bau tahi kucing tak dikira sebagai alahan, itu hanyalah pencetus sensor olfaktori di hidung anda yang menyebabkan anda berasa nak muntah. Ingatlah, tanggungjawab menjaga seekor kucing ini sebenarnya agak besar, dan lebih daripada sekadar memberi makanan dan minuman semata-mata.

Untuk artikel mengenai kucing yang lain, sila ke pautan 4, 5 dan 6. Terima kasih atas sokongan anda semua. 

  1. Statistik dan kajian mengenai alahan di Malaysia https://journals.plos.org/plosone/article?id=10.1371/journal.pone.0124905#sec016
  2. Kajian tentang Fel d 1 dan kesan memandikan kucing https://www.jacionline.org/article/S0091-6749(97)70242-2/fulltext
  3. Kajian tentang perbezaan jantina kucing dan kandungan Fel d 1 protein https://www.jacionline.org/article/S0091-6749(96)70238-5/fulltext
  4. Artikel mengenai lidah kucing https://www.thepatriots.asia/kenapa-lidah-kucing-rasa-macam-kertas-pasir/
  5. Kucing terberat di dunia https://www.thepatriots.asia/10-kucing-terberat-dunia/
  6. Kucing termahal di dunia https://www.thepatriots.asia/10-baka-baka-kucing-termahal-dunia/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.