Kenapa Malaysia Tak Ada Kincir Angin?

4,874

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Kenapa kita tak pakai kincir angin? Sedangkan keadaan negara kita ini ada kuantiti angin yang kuat. Kita boleh gunakan kincir angin untuk hasilkan tenaga dan digunakan secara meluas. Itulah soalan kawan aku kepada aku.

Jawapan aku boleh bagi dekat dia masa tu ialah kita ada sistem hidroelekrik untuk penghasilan tenaga. Kita ada kuantiti taburan hujan yang mencukupi untuk memastikan empangan mengandungi air untuk menghasilkan tenaga.

Aku dah balik bertenang dekat rumah, aku terfikir semula soalan tu.

Kapasiti dan Kuantiti Empangan

Malaysia ada 103 buah empangan, 16 daripadanya berfungsi sebagai penjaanan tenaga hidroelektrik. Dominasi empangan bekalan air bersih, ada 61 buah semuanya di seluruh Malaysia.

Empangan ada banyak jenis, antaranya:

1. Hidroelektrik
2. Saliran dan pengairan, juga berfungsi tambatan banjir
3. Pertanian
4. Bekalan air bersih
5. Rekreasi

Untuk empangan rekreasi tu ada dua, di Putrajaya dan Ayer Keroh, Melaka. Genting ada satu empangan persendirian.

Pada bulan Mac tahun 2017, TNB keluarkan kenyataan tentang semua empangan di Perak dalam keadaan baik dan beroperasi seperti biasa. Bulan Mac kebiasaannya mencatatkan cuaca panas dan kering untuk negeri-negeri utara.

“Empangan Temengor ketika ini berada pada paras 242.95 meter, berbanding paras minimum 238 meter dan kritikal 237 meter manakala Empangan Chenderoh pula berada pada paras 60.01 meter, berbanding paras minima 59 meter dan kritikal 57.9 meter.”

Empangan Chenderoh ni boleh bekalkan tenaga elektrik sehingga ke Kampar dan Tanjung Tualang. Salah sebab satu pembinaan ini dulu juga untuk bekalkan tenaga ke kawasan perlombongan Kinta.

Empangan terbesar di Malaysia ialah Empangan Bakun di Sarawak, diikuti Empangan Pergau di Kelantan dan Empangan Temenggor di Perak.

Taburan Hujan Malaysia

Hujan dekat negara kita memang dalam kekerapan yang tinggi. Dalam seminggu, mesti ada satu hari hujan. Walaupun masa tu musim panas, masih ada hujan untuk beberapa kawasan.

Masuk musim monsun tak payah cerita lah kan, hari-hari hujan.

Kadar taburan hujan berdasarkan rekod jabatan meteorologi, paling kritikal ialah purata 30mm dan paling tinggi 900mm.

Jadi tiada masalah untuk empangan dekat negara kita. Kuantiti dan paras air di empangan tidak berkemungkinan berkurang. Kalau empangan kekurangan air, penjanaan tenaga hidroelektrik akan terganggu.

Kalau musim hujan pula, paras air dalam empangan akan melebihi. Untuk mengelakkan berlakunya kerosakan pada dinding empangan, air akan dilepaskan sedikit demi sedikit.

Angin dan bentuk muka bumi

Angin di Malaysia ni dalam purata yang rendah. Tak mampu untuk menggerakkan bilah kincir angin secara berterusan. Tambahan lagi, bentuk muka bumi Malaysia yang berbukit bukau ni menghalang pergerakan angin.

Tapi masa hujan lebat tu, angin kuat. Tak boleh juga?

Hujan ribut dengan angin kuat tu bukan setiap hari berlaku. Jadi bilah kincir angin tidak mampu digerakkan secara berterusan.

Kelajuan angin sekurang-kurangnya sekitar 3.5-7 meter sesaat (sekitar 20-30 kilometer sejam) sepanjang tahun untuk menggerakkan bilah kincir angin dan menjana kuasa elektrik.

Kincir Angin

Sistem ini terkenal di negara Belanda. Di sana, ada satu kampung bernama Kinderdijk. Terdapat puluhan kincir angin di kampung ni dan saban hari menerima lawatan pelancong untuk melihat kincir angin dengan lebih dekat.

Purata kekuatan angin setiap hari di Belanda ialah 15-22 kilometer sejam. Belanda juga mempunyai bentuk muka bumi yang rendah. Kawasan paling rendah direkod ialah 6.7 meter dari aras laut. Bukit tertinggi di Belanda pun baru 322 meter dari aras laut.

Siapa kata Malaysia tak ada kincir angin?

Ada dua buah kincir angin di Pulau Perhentian, Terengganu. Disiapkan pada tahun 2006, kincir angin ni digunakan untuk membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk pulau tu.

Kawasan kincir angin ni kawasan larangan iaitu bawah seliaan TNB. Tangga dan laluan kayu yang lawa tu dibina untuk kegunaan pekerja. Berlaku apa-apa kemalangan di kawasan tu, TNB tak mahu bertanggungjawab sebab anda dikira penceroboh. Huhu.

Kita ada empangan hidroelektrik untuk membekalkan tenaga. Kenapa kita perlu berbelanja untuk pembinaan kincir angin. Empangan sedia ada sudah cukup untuk menampung bekalan tenaga elektrik di Malaysia.

Melainkan kalau suatu hari nanti taburan hujan di Malaysia berkurang, kalau paras sungai dan empangan di Malaysia menurun secara kritikal. Masa itu kita perlukan inisiatif baru untuk pembekalan tenaga. Sekarang pun sudah ada pembangunan untuk pembinaan tenaga solar secara skala besar.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.