Kenapa Lidah Kucing Rasa Macam Kertas Pasir?

1,182

Pernahkah anda djilat oleh kucing peliharaan anda? Jika ya, pasti anda merasai struktur dan teksturnya ibarat kertas pasir. Mengapakah hal ini berlaku? Adakah ianya disebabkan oleh kucing ini yang berdiet karnivor dan lidah ini berfungsi sebagai satu sistem untuk mengisar makanan?

Struktur lidah kucing – Encyclopedia Britannica

Baik, sebelum itu, satu lagi persoalan iaitu, adakah anda pernah dicakar kucing? Jika anda nak tahu, struktur asas kuku kucing dan struktur lidahnya diperbuat daripada bahan yang sama, iaitu keratin. Lidah seorang manusia juga, jika anda besarkan dan zoom dengan lebih dekat, anda akan dapati ada struktur-struktur kecil yang timbul, yang dipanggil sebagai papila. Papila ini ibarat berbentuk melengkung, menghala ke dalam mulut kucing.

Struktur lidah kucing dari jarak dekat – Alexis Noel

Struktur papila di lidah kucing ini dipanggil filiform papila, yang mempunyai beberapa fungsi. Jika anda perasan, anda akan dapati kucing ini selalu menjilat dan membersihkan badannya (grooming), tak kiralah dia menjilat kakinya, perutnya, ekornya, bahagian duburnya dan sebenarnya, lebih kurang 60 peratus daripada waktu dia berjaga adalah dikhaskan untuk grooming.

Perbezaan saiz lidah

Hal ini adalah kerana kucing merupakan haiwan bersifat pemangsa (predator) dan daripada asasnya, mengikut kepada keturunan asalnya, sebelum haiwan ini di pelihara dalam proses yang dipanggil ‘domesticated’, kucing memburu untuk mendapatkan makanannya.

Jadi, untuk menghilangkan bau badannya bagi mengelakkan mangsa dapat menghidu kehadiran kucing ini, proses grooming ini dilakukan. Dengan tiada bau badannya, haiwan ini dapat menghendap mangsa yang ingin diburuinya dengan jarak dekat sebelum menerkam mangsa-mangsa mereka ini.

Lidah kucing – abc.net

Kedua, jika anda lihat bentuk papila ini, ianya sama seperti bentuk kukunya, kecuali ianya lebih kecil. Haiwan ini mempunyai bulu yang banyak, oleh itu, untuk memastikan bulunya ini sentiasa terjaga dengan rapi, proses grooming ini dilakukan. Seorang penyelidik daripada Georgia Institute of Technology membuat model sikat mengikut bentuk papila ini, dan mendapati sikat ini lebih mudah dibersihkan daripada bulu-bulu kucing yang terlekat.

Akan tetapi, bulu-bulu kucing yang melekat ini kadangkala boleh menyebabkan kucing-kucing yang kecil dan berumur di bawah 6 bulan secara tidak sengaja tertelan bulu ini. Hal ini adalah sama seperti bezoar, yang mana sejenis masalah perubatan di kalangan penghidap Rapunzel Syndrome (pautan – https://www.thepatriots.asia/sindrom-rapunzel/)

Ketiga, struktur lidah ini membenarkan kucing untuk memegang mangsa yang baru ditangkapnya, seperti tikus. Sudah tentu, struktur lidah ini berfungsi untuk mangsa-mangsa yang kecil, dan ketajaman lidah ini ditambah dengan kekuatan otot rahang membolehkannya mendapatkan genggaman dan pegangan yang kuat sekiranya mereka dalam mod memburu.

Cat’s paw

Walau bagaimanapun, struktur lidah ini tidak berperanan untuk untuk mengisar makanan seperti yang kita fikirkan sebelum ini. Kucing tidak memerlukannya untuk menghancurkan makanan, sebaliknya, semasa mereka menjilat, struktur papila yang kosong ditengahnya ini membolehkan penyebaran air liur mereka ke tempat lain dengan lebih mudah.

Kucing tidak mempunyai kelenjar peluh yang banyak pada badannya. Taburannya adalah paling banyak di bahagian ‘paw pads’nya. Bulu kucing yang tebal mempunyai 2 lapisan, lapisan paling luar adalah dikhaskan untuk melindungi kucing daripada elemen luar, dan lapisan bawahnya untuk mengawal suhu. Tanpa struktur papila ini, jilatan kucing tidak akan sampai di bahagian bawah bahagian bulu ini. Kepentingan penyebaran air liur kucing ini ke bahagian ini adalah berfungsi sebagaimana peluh dalam manusia berfungsi, iaitu melalui penyejatan.  

Kucing minumair – Mirror.co

Fungsi kelima dan terakhir lidah kucing ini adalah memudahkan mereka untuk meminum air. Spesies Felis catus ini mempunyai bukaan mulut yang sangat luas sehingga ke telinga, menyebabkan mereka tidak boleh mencipta keadaan vakum sepertimana manusia menyedut air menggunakan straw.

Mekanisma mereka meminum air ini sedikit berbeza dengan anjing. Mereka tidak membengkokkan lidah mereka seperti penyauk bagi meminum air, tetapi, sebaliknya berlaku. Mereka membengkokkan keluar dan dengan tindakan papila ini, satu column air akan terbentuk, dan mereka menangkapnya menggunakan lidah ketika column air tersebut di udara.  

TIGR Hairbrush – Alexis Noel

Melalui pemerhatian inilah bagaimana sebuah syarikat menghasilkan sejenis hairbrush untuk kucing yang dipanggil sebagai TIGR Brush, yang diinspirasikan oleh bentuk dan struktur asas haiwan ini secara semulajadi. TIGR ini adalah akronim untuk Tongue-Inspired GRooming seperti yang dilaporkan oleh satu laman web Vice (pautan dibawah). Ini juga boleh membantu para doktor haiwan untuk membenarkan ubat-ubatan jenis krim sapu diletakkan secara langsung kepada kulit.   

Oleh yang demikian, sekiranya anda mendapati kucing anda sedang sibuk membersihkan badannya, anda perlulah ketahui, kucing ini jauh lebih suci daripada suci dalam debu. Juga, anda perlu tahu, walaupun mulut mereka ibarat bau hati seorang makcik bawang sejati, haiwan ini merupakan salah satu haiwan yang terbersih di dunia daripada segi personal hygiene mereka.

Penulis bersama 2 ekor kucingnya

Notakaki – Betapa hebatnya setiap bahagian dan struktur anggota haiwan ini yang menjadi ciptaan Allah. Sememangnya, satu bahagian haiwan ini boleh dipelajari dan menjadi inspirasi untuk penciptaan lebih banyak alat danteknologi untuk manusia. Melihat akan kebersihannya, tidak hairanlah mengapa haiwan ini disayangi oleh Rasulullah saw.

RUJUKAN:

  1. Wikivet – https://en.wikivet.net/Tongue_-_Anatomy_%26_Physiology
  2. Cat’s tongue artikel – https://www.cat-world.com.au/cat-tongue.html
  3. Kucing dan mekanisma mereka berpeluh – https://www.cathealth.com/behavior/how-and-why/2180-how-do-cats-sweat
  4. TIGR Brush – https://www.vice.com/en_us/article/59v3j5/cat-tongues-inspire-hairbrush-that-could-help-beat-allergies

Why cat’s tongue are rough? – https://www.wonderopolis.org/wonder/why-are-cats-tongues-rough

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.