Dalam tempoh 1,200 tahun Semenanjung Korea ditadbir oleh sistem beraja, terdapat satu gelaran untuk wilayah berkenaan: China Kecil (Little China). Salah satu bukti ini ialah Raja Korea dari zaman Silla hingga Joseon menerima gelaran mereka daripada maharaja-maharaja China. Dan ia dapat dilihat dengan menelusuri sejarah silam semenanjung itu.

Sebelum zaman Silla, terdapat tiga buah kerajaan di Semenanjung Korea. Tiga kerajaan tersebut ialah Silla, Goguryeo dan Baekje. Sejarawan-sejarawan Korea menggelar era ini sebagai Samguk Sidae atau Zaman Tiga Kerajaan.

Imej Goryeo, Baekje dan Silla sebelum kerajaan Silla menghapuskan kedua-duanya pada 668 Masihi.

Semasa era ini, ketiga-tiganya saling bersaing bagi meraih kekuasaan di semenanjung berkenaan. Di sebalik persaingan antara ketiga-tiganya, ketiga-tiga kerajaan menerima banyak pengaruh China dari pelbagai aspek seperti pakaian, budaya dan agama.

Advertisements

Tetapi persaingan Silla, Goryeo dan Baekje berubah apabila pemerintah Silla abad ketujuh, Raja Muyeol membentuk pakatan dengan Maharaja Dinasti Tang ketika itu, Gaozong. Pakatan ini membolehkan Silla menewaskan Baekje pada 660 dan Goryeo (668). Dengan musnahnya Baekje dan Goryeo, Silla muncul sebagai satu-satunya kerajaan di Semenanjung Korea.

Disebabkan bantuan Dinasti Tang, Silla mempunyai sebab kuat terhutang budi dengan mereka. Sebagai pengiktirafan kedudukan Maharaja China lebih tinggi daripada pemerintah Silla, China digelar sebagai suzerain (negara tuan) dengan kerajaan itu bergelar negeri lindungan (vassal-state).

Sedikit ingatan kepada para pembaca. Vassal-state berbeza dengan negara yang dijajah. Dari segi status kemerdekaan, negeri tersebut masih mengekalkan kemerdekaan mereka. Tetapi pada masa sama, mereka mengiktiraf China sebagai negara yang lebih tinggi martabatnya. Atas sebab itulah, gelaran maharaja (제/帝/je) hanya dipakai oleh pemerintah China dengan pemerintah Korea terus kekal menggunakan gelaran raja (왕/王/wang).

Disebabkan status Silla sebagai sebuah negeri lindungan, sebarang tindak-tanduknya perlu mendapat pengiktirafan China. Misalnya, semasa era Raja Munmu, baginda sentiasa menimbulkan kemurkaan Maharaja Gaozong kerana sentiasa menyerang wilayah Korea yang dikawal Dinasti Tang dan berpakat dengan pemberontak yang menentang mereka.

Akibatnya, Gaozong memilih mengangkat adinda Raja Munmu, Kim Inmun sebagai raja Silla yang baru. Bagi mengelak kedudukan baginda dicabar, Raja Munmu membuat permohonan maaf secara formal dan menawarkan ufti kepada Dinasti Tang. Susulan itu, Maharaja Gaozong mengarahkan titah menabalkan Kim Inmun sebagai raja Silla ditarik balik.

Mungkin ada menyangka hubungan suzerain-vassal China-Korea berakhir dengan kejatuhan kerajaan Silla pada abad ke-10 Masihi. Hakikatnya, ia tetap diteruskan oleh pengganti kerajaan Silla, kerajaan Goguryeo (918-1392) dan kemudiannya kerajaan Joseon (1392-1897).

Perbezaan warna pakaian pengasas Dinasti Ming, Zhu Yuanzhang dan pengasas kerajaan Joseon, Yi Seonggye yang melambangkan hubungan suzerain-vassal China-Korea.

Disebabkan status suzerain-vassal ini, ada banyak pantang yang perlu dipatuhi. Misalnya, dari segi warna pakaian raja Joseon, baginda tidak boleh memakai jubah berwarna kuning yang dikhususkan untuk maharaja Dinasti Ming. Begitu juga dengan warna istana di mana warna kuning dan emas dilarang digunakan pada istana Joseon.

Dari segi pakaian istiadat (면복/冕服/myeonbok), reka bentuk pakaian kedua-dua negara sama. Cuma dari segi bilangan mutiara, pakaian istiadat Dinasti Ming mempunyai 12 rantai mutiara dengan Joseon (sembilan rantai mutiara). Corak pada pakaian juga berbeza dengan sembilan corak pada pakaian Joseon dan 12 untuk pakaian Ming.

Imej pembesar Dinasti Ming (kiri) dan kerajaan Joseon.

Disebabkan status suzerain-vassal, ia turut mempengaruhi aspek kebudayan Joseon. Pakaian pembesar kedua-dua kerajaan sama dari segi rekaan. Latar belakang pendidikan berasaskan Konfusianisme juga digunakan sebagai cara memilih pembesar yang berkebolehan dari kedua-dua kerajaan.

Mungkin bagi generasi hari ini, ia memperlihatkan kerajaan ketika itu sebagai kerajaan kelas kedua. Tetapi bagi golongan elit Joseon, mereka melihat negara mereka sebagai China Kecil. Ini kerana dengan mengamalkan budaya China, ia menampakkan mereka lebih bertamadun. Malah, mereka melihat negara lain yang gagal melaksanakan kebudayaan China sebagai orang tak bertamadun.

Atas sebab inilah, apabila Raja Sejong (1397-1450) memperkenalkan tulisan Hangeul, ia dibantah sekeras-kerasnya oleh para pembesar Joseon. Pada mereka, ini merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana tulisan yang diperkenalkan itu tidak sehebat tulisan Cina (Hanja).

Namun begitu, semuanya berubah apabila orang Manchu menubuhkan Dinasti Qing pada pertengahan abad ke-17. Kerajaan Joseon melihat orang Manchu sebagai orang tidak bertamadun. Tetapi disebabkan mereka menguasai pemerintahan China di Beijing, mahu tak mahu, terpaksalah kerajaan Joseon menelan ubat pahit dan mengekalkan hubungan suzerain-vassal China-Korea.

Raja Gojong sebelum bergelar Maharaja Gwangmu selepas mengasaskan Empayar Korea.

Oleh sebab itulah, sebaik mengetahui China tewas dalam Perang China-Jepun Pertama pada 1895, kerajaan Joseon segera memutuskan hubungan dengan mereka. Raja Gojong kemudiannya mendirikan Daehan Jeguk (대한제국/大韓帝國) atau Empayar Korea pada tahun 1897. Dengan pengisytihran itu, baginda turut memakai gelaran maharaja (제/je) yang sama taraf dengan maharaja China.

Pendudukan Jepun di Semenanjung Korea pada 1910 menyemarakkan semangat anti-penjajahan yang dibina berasaskan identiti satu bangsa atau Hanminjok. Sumber: Topical Press Agency/Getty Images

Selepas Daehan Jeguk ditubuhkan, ia menandakan permulaan identiti baharu bangsa Korea yang bukan lagi subset kepada China. Apabila Semenanjung Korea diduduki Jepun pada 1910, orang Korea bangkit melawan. Semangat anti-penjajahan ini didorong oleh kesedaran sebagai satu bangsa bernama “Hanminjok” (한민족/韓民族).

Apabila Semenanjung Korea bebas daripada pendudukan Jepun selepas tamat Perang Dunia Kedua (WWII), Daehan Minguk (대한민국/大韓民國) atau Republik Korea didirikan. Namun begitu, di sebelah utara, rejim komunis masih memakai nama Joseon dan menamakan diri sebagai Joseon Minjujuui Inmin Gonghwaguk (Republik Rakyat Demokratik Korea).

Sehingga hari ini, sebahagian besar budaya orang Korea berasal dari China. Ini disebabkan tempoh Semenanjung Korea yang lama sebagai China Kecil. Menariknya, ada sesetengah budaya masyarakat China yang hilang terus disemarakkan oleh orang Korea hari ini.

Contoh upacara gwallye (관례/冠禮) dan gyerye (계례/笄禮).

Contoh budaya Korea yang dipengaruhi China ialah gwallye (관례/冠禮) dan gyerye (계례/笄禮). Gwallye dan gyerye merujuk kepada upacara lelaki dan perempuan melangkah ke alam dewasa. Mereka akan memakai topi (lelaki) atau sanggul (wanita) sebagai tanda upacara itu telah lengkap.

Tetapi satu elemen yang dimansuhkan oleh golongan nasionalis ialah tulisan Hanja atau tulisan China. Alasan mereka ialah jika ia diperkenalkan semula, ia akan menghakis identiti Hanminjok yang dibentuk pada abad ke-20.

Tetapi langkah ini mengakibatkan orang Korea tidak lagi mengetahui, membaca atau menulis Hanja kecuali nama mereka. Hal ini kadang-kadang menjadi subjek beberapa permainan lucu rancangan aneka ragam Korea seperti Running Man. (rujuk minit 17:45 hingga 19:05).

Dari satu segi, ia sememangnya melucukan. Tetapi dengan menafikan Hanja, orang Korea tidak lagi mengetahui sejarah mereka sendiri. Contoh paling mudah, papan tanda Hanja di pintu gerbang Gwanghwamun (istana Joseon). Namun begitu, tidak ramai tahu semasa ia siap dibina semula pada tahun 60-an, papan tandanya menggunakan tulisan Hangeul. Atas nasihat pakar, ia diubah kepada Hanja.

Perbezaan papan tanda Hanja (kanan) dan Hangeul yang dipasang di pintu gerbang Gwanghwamun.

Isu ini bukan sesuatu yang unik kepada Korea sahaja. Hakikatnya, ia dialami oleh mana-mana negara yang berubah dari negara tamadun kepada negara bangsa.


Anda sebenarnya sedang membaca salah satu daripada selingan bab di dalam KITAB TAMADUN CINA, buku terbaru kami.  Nak tahu lebih lanjut, dapatkan Kitab Tamadun China di sini.

Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Leave A Reply