Kenapa Kopi Buat Rasa Nak Terkencing?

1,129

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Ini adalah soalan lazim bagi peminum kopi. Kenapa bila kita minum kopi, dalam sejam macam tu kita akan rasa nak terkencing walaupun minum sedikit? Dan yang paling penting, kenapa bau kopi dalam kencing tu kuat? Apa kaitan kopi dengan kencing?

Untuk itu, kita kena faham dulu komponen kimia terkenal dalam kopi. Kafein. Tahu tak kafein ni sebenarnya sejenis dadah? Untuk sesuatu itu digelar dadah, komponen kimia itu sepatutnya mempunyai kebolehan untuk masuk campur sistem badan atau sel.

Kafein ialah sejenis bahan psikoaktif yang boleh menganggu sistem kimia otak. Kafein, sebagaimana dadah yang lain, juga boleh menyebabkan ketagihan, cuma ia dadah yang lemah dan boleh dipecahkan hati kita dengan cepat. Apabila ia dipecahkan oleh badan, ia menghasilkan bahan kimia lain seperti polyphenols yang kemudiannya dikumuhkan melalui kencing. Bahan kimia inilah yang buat bau kopi dalam kencing tu.

Selalunya dadah ini bertindak dengan menjadi pengganti atau pengacau bahan biokimia dalam badan kita. Kafein bertindak sebagai dadah dengan menampal dirinya pada reseptor kimia adenosine pada sel saraf. Benda ini terjadi kerana bentuk kimia kafein dan adenosine ni lebih kurang. Dua dua boleh melekat pada reseptor tersebut.

Sebagaimana yang pernah aku cerita dalam artikel adrenalin, setiap sel dalam badan kita mempunyai reseptor untuk tampalan kimia hormon. Tampalan adrenalin pada reseptor otot buat kita jadi kuat. Tampalan kafein pada reseptor saraf buat kimia adenosin tak boleh nak tampal pada reseptor saraf. Adenosine ni lah kimia yang buat kita mengantuk. Sebab itu bila kita minum kopi kita dapat tahan mengantuk.

Tapi, itu tak menjelaskan kenapa kita rasa nak kencing sebab minum kopi. Jadi, kafein ni ada fungsi kimia yang lain ke? Untuk itu, kita kena tengok sistem buah pinggang kita. Jumlah pengeluaran air kencing kita dikawal oleh hormon bernama ADH (anti diuretic hormone). Selalunya apabila kandungan air dalam darah sedikit, ADH akan dirembeskan, melekat pada reseptor sel buah pinggang dan air yang ditapis keluar oleh buah pinggang akan diserap kembali ke dalam darah.

Walau bagaimanapun, kafein menghalang penghasilan ADH ini, menyebabkan air berterusan ditapis keluar oleh buah pinggang menjadi air kencing. Fenomena ini kita panggil sebagai diuresis. Juga, kafein menyebabkan garam dalam pundi kencing tak mampu diserap kembali ke dalam darah. Apabila kandungan garam menjadi tinggi dalam air kencing, air dalam darah akan menjadi semakin galak diserap oleh buah pinggang untuk menstabilkan kepekatan garam dalam pundi kencing. Fenomena ini kita panggil sebagai natriuresis dan mekanismenya sama macam nak buat ikan masin. Apabila garam ditabur pada permukaan ikan, air dalam ikan akan keluar daripada sel sel untuk menstabilkan kepekatan garam di luar. Air akan sentiasa bergerak ke arah tempat yang pekat dengan garam dan bahan terlarut.

Disebabkan ini, air kencing kita menjadi banyak dan berbau kopi.

RUJUKAN:

Benowitz, N. L. (1990). Clinical pharmacology of caffeine. Annual review of medicine41(1), 277-288.

Fenton, R. A., Poulsen, S. B., de la Mora Chavez, S., Soleimani, M., Busslinger, M., Dominguez Rieg, J. A., & Rieg, T. (2015). Caffeine-induced diuresis and natriuresis is independent of renal tubular NHE3. American journal of physiology. Renal physiology308(12), F1409–F1420. doi:10.1152/ajprenal.00129.2015

Fredholm, B. B., Bättig, K., Holmén, J., Nehlig, A., & Zvartau, E. E. (1999). Actions of caffeine in the brain with special reference to factors that contribute to its widespread use. Pharmacological reviews51(1), 83-133.

Marieb E (2014). Anatomy & physiology. Glenview, IL: Pearson Education, Inc. ISBN 978-0-321-86158-0.

Zhang, Y., Coca, A., Casa, D. J., Antonio, J., Green, J. M., & Bishop, P. A. (2015). Caffeine and diuresis during rest and exercise: A meta-analysis. Journal of science and medicine in sport18(5), 569–574. doi:10.1016/j.jsams.2014.07.017

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.