Kenapa Kita Sering Generalisasikan Sebuah Perkara?

0
983
views

Hasty Generalization atau lebih dikenali sebagai Generalisasi secara tergesa-gesa merupakan satu falasi ataupun tindakan mengeneralisasi sesuatu perkara. Konsep ‘Hasty Generalization’ ini berlaku apabila anda melompat ke kesimpulan atau dakwaan yang tidak berasas dan kekurangan bukti.

Sumber gambar: https://www.slideshare.net/hoovermiller_aimee/logical-fallacies-powerpoint

Contohnya:

Jetpack Langkawi

1) Terdapat seorang lelaki rakyat Malaysia yang melakukan poligami. Oleh itu saya menyimpulkan bahawa semua lelaki rakyat Malaysia melakukan poligami.

2) Orang ini merupakan Bangsa A, dia telah melontarkan kata-kata kasar terhadap saya dan kaum saya. Kesimpulannya semua orang daripada Bangsa A adalah rasis, kurang ajar, tiada etika dan bodoh.

3) Seorang Muslim telah dipercayai menyertai kumpulan ISIS, iaitu kumpulan pengganas antarabangsa. Oleh itu saya menyimpulkan bahawa semua orang Islam adalah pengganas.

Perkara seperti ini sering berlaku dan kita selalu melihatnya di media sosial. Walaupun kesimpulan tersebut nampak agak lemah, komen atau dakwaan seperti ini sebenarnya boleh membawa masalah kepada masyarakat terutamanya kepada masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Sudah ada banyak kes generalisasi yang tergesa-gesa ini. Terutamanya yang melibatkan kaum. Kawan-kawan saya pernah mengadu kepada saya tentang perkara ini di mana terdapat tweet ataupun posting facebook yang sengaja melaga-lagakan satu kaum dengan satu kaum lain. Salah satu contoh ialah tindakan Portal akhbar online yang suka menggunakan tajuk yang memprovokasi sentimen dan masalah perkauman.

Semasa bulan Ramadhan, satu keluarga berbangsa Melayu telah bertindak mengamuk dan salah seorang daripada mereka membaling selipar dia, ini semua berlaku kerana isu tempat letak kereta.Disebabkan hangatnya dan viral kisah ini, serta kerana tajuk yang provokatif, ramai netizen mula menghentam orang Melayu dan Islam.

Satu lagi kes ialah semasa seorang “polis bantuan” telah mengherdik seorang wanita yang sedang duduk di dalam masjid untuk mengelakkan hujan lebat. Video tersebut telah dimuat naikkan ke Facebook, dan kemudian di Twitter. Dan seperti biasa mulalah sesi hentam menghentam. Bukan sahaja bangsa Melayu dihentam, agama Islam turut menerima padah.

Kes yang terbaru pula ialah di mana seorang lelaki dari Sabah yang datang ke sebuah kedai gunting rambut berasa marah kerana penggunting rambut yang menggunting rambutnya tidak tahu di mana terletaknya Sandakan. Dia terus menyimpulkan bahawa semua orang Semenanjung tidak tahu di mana terletaknya Sabah lalu melibatkan isu politik.

Walhal, terdapat ramai rakyat Malaysia di Semenanjung yang memang tahu lokasi Sandakan. Kenapa tidak cakap pasal itu? Dan kenapa tiba-tiba satu penggunting rambut yang tidak celik geografi mewakili semua orang Semenanjung?

Dan dalam beribu-ribu kawan dia yang tahu Sandakan kat mana, dia highlight seorang tukang gunting yang tak tahu Sandakan kat mana. Terdapat orang yang tahu sejarah Negeri Sabah, yang suka Sabah ramai, tapi dia pilih untuk tulis pasal seorang tukang gunting yang entah-entah tak wujud langsung.

Saya juga hairan, kenapa yang negatif dan buruk sahaja yang mendapat perhatian? Kenapa perkara positif dan baik tidak ditularkan?

Contohnya, kalau ada seorang ulama yang membantu seorang anak yang kesesatan di dalam masjid kenapa pula tiada komen positif? Jika ada orang buat kebaikan tidak kiralah Melayu, Cina, India atau lain-lain kenapa kebaikan mereka tidak ditular atau tidak se-popular berita yang negatif?

Ada yang beri alasan, bahawa mereka menghentam untuk mengkritik. Namun begitu, bagaimana menghentam bangsa dan agama seseorang individu dipanggil mengkritik? Apa kaitan kesalahannya dia sebagai seorang individu dengan agama dan bangsanya?

Walaupun kebanyakan kita berniat baik dan ingin mengkritik, kita perlulah tahu adab-adab mengkritik dan cara-cara untuk mengkritik dengan baik. Kita hendaklah mengkritik secara berhikmah. Jika kita tidak menturuti adab-adab tersebut, padah besarnya bukan sahaja kepada individu tetapi kepada komuniti kita juga.

Kesimpulannya, kita tidak sepatutnya melompat ke kesimpulan atau membuat dakwaan yang tidak berasas dan dibuat secara tergesa-gesa kerana ini akan membawa kepada ‘Hasty Generalization’, yang merupakan falasi. Seterusnya, sebagai rakyat yang hidup pada abad ke-21, kita hendaklah memberi ‘Constructive critiscm’ atau kritikan konstruktif secara berhikmah.

Kita sedang menuju ke Wawasan 2020 dan juga bakal menginjak TN50, oleh itu kita mesti menjadi rakyat modal insan kelas pertama. Akhir sekali, apabila mengkritik, janganlah kita membawa subjek yang tidak ada kaitan dengan kesalahan individu tersebut seperti bangsa dan agama. Pesalah lakunya ialah seorang individu, bukannya bangsa dan agamanya.

Sekian sahaja daripada saya. Ini merupakan pandangan peribadi saya, sebarang kesulitan harap dapat dimaafkan.

Bacaan lanjut:

Nordquist. R ‘Hasty Generalization (Fallacy)
Logical Fallacies: Examples of Hasty Generalizations’, ThoughCo. 30 June 2017 [online] https://www.thoughtco.com/hasty-generalization-fallacy-1690…

http://onegoodmove.org/fallacy/hasty.htm

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.