Pernahkah anda membaca sebuah buku atau karya kreatif lain dan mendapati ada sensasi “indah” atau “sedap” yang dirasai ketika menelaahnya? “Sensasi” ini sukar digambar dengan tulisan tetapi ia ada. Di beberapa bahagian dalam karya yang apabila dibaca, cukup untuk mencetuskan emosi yang tertentu. Sedih, gembira, marah, bahagia, insaf, dan pelbagai lagi emosi lain yang mengulir di dalam diri ketika proses pembacaan. Semuanya dicetuskan tanpa kita sendiri sedari.

Karya kreatif sarat dengan unsur estetika. Estetika merupakan keindahan yang dicetuskan dengan susunan kata-kata yang diksi dan tepat sesuai dengan penceritaan. Unsur keindahan inilah yang mampu mempengaruhi perasaan manusia yang membaca sesebuah karya sastera. Unsur estetika ini boleh menerbitkan pelbagai emosi mengikut narasi yang diselusuri dan dihadam oleh pembaca. Tetapi, adakah proses  ini boleh diterangkan, dengan logik yang terbaik?

Memperkenalkan teori sastera yang menjelaskan mengenai rasa indah dan seronok hingga menyebabkan anda mengatakan “Weh, bestlah novel ni” ataupun “Sedap jugak baca novel ini”. Teori rasa-fenomenologi, yang dipelopori oleh seorang kritikawan tempatan iaitu Dr. Sohaimi Abdul Aziz.

Dr. Sohaimi Abdul Aziz (Sumber: m.utusan.com.my)

Apa yang dilakukan oleh Dr. Sohaimi ini adalah menggabungkan dua teori menjadi teori baharu yang cukup berkesan dalam menerangkan peranan karya dan pembaca sendiri dalam melahirkan variasi emosi ketika membaca karya kreatif. Beliau menggabungkan teori rasa-dhavni, teori daripada India yang menerangkan tentang perubahan emosi tetap dalam diri pembaca kepada emosi estetik. Teori ini digandingkan dengan teori barat iaitu teori estetika fenomenologi yang mencakupi telahan bahawa pengalaman estetik itu sebagai sebagai satu fenomena yang lahir berdasarkan persepsi pembaca terhadap struktur karya.

Tidak banyak teori sastera yang menerangkan tentang peranan karya dalam melahirkan emosi dalam diri pembaca. Dalam teori ini, pengalaman estetik yang dialami oleh pembaca adalah berdasarkan proses menurut persepsi pembaca sendiri. Apa yang menarik, proses yang melibatkan emosi pembaca ini berlaku secara bawah sedar ketika pembacaan.

PENGKONKRITAN ESTETIK

Dalam fasa pengkonkritan estetik, proses menakjubkan berlaku yang melibatkan pembaca sendiri dan karya yang dibaca dan saling berkaitan antara keduanya. Proses transformasi karya sastera dan emosi pembaca yang berlaku di dalam diri pembaca, dikenali sebagai proses konkritisasi. Ia bermula dengan karya sastera yang ditelaah yang bermula sebagai karya mentah kerana belum diterokai oleh pembaca sebelum diubah menjadi objek estetik. Perubahan karya kreatif kepada objek estetik terjadi secara sendirinya dalam minda pembaca sendiri.

Proses 1: perubahan karya kepada objek estetik

Proses kedua pula melibatkan emosi dalam diri pembaca itu sendiri. Emosi di dalam diri pembaca dikenali sebagai emosi tetap. Transformasi emosi tetap dalam diri pembaca kepada emosi estetik dengan bantuan objek estetik, iaitu karya yang dibaca. Nampak seperti suatu proses yang kompleks, karya mentah kepada objek estetik dan emosi tetap kepada emosi estetik, namun ia berlaku di bawah sedar dan kedua-dua proses ini berlaku serentak tanpa disedari pembaca!

Proses 2: Perubahan emosi tetap kepada emosi estetik

Gabungan dua proses dan transformasi inilah yang menyebabkan rasa indah, seronok, sedap, nyaman, gembira, dan pelbagai lagi emosi yang dialami oleh pembaca sepanjang pembacaan karya. Dua transformasi yang menguasai pembaca ini dikuatkan lagi dengan penggunaan simbol dan surat di dalam karya. Peristiwa dan kejadian yang diceritakan menjadi pemangkin kepada perubahan emosi tetap ini.

Kesimpulan

Apa yang boleh disimpulkaan di sini adalah, peranan pembaca adalah cukup besar dalam memastikan karya yang dibaca boleh berfungsi. Berfungsi di sini bermaksud, ia boleh memberikan kesan yang signifikan selepas proses pembacaan. Sekali lagi, karya hanyalah sebagai pencetus kepada sensasi yang sering dialami ketika membaca karya yang baik.

Aplikasi teori ini bukan sekadar kepada karya bertulis seperti novel dan sajak, malah boleh diterapkan kepada drama dan teater. Karya seni tampak? Asalkan yang melibatkan proses tafsiran estetika, ia boleh digunakan tanpa batasan.

Semoga dengan artikel ini mampu memberikan sedikit pemahaman terhadap mekanisme pemahaman sesuatu karya dalam diri. Selepas ini, aka nada lebih banyak artikel yang membincangkan perihal Sastera Melayu, bagi membetulkan stereotaip orang kita terhadap bidang Sastera yang sebenarnya menarik untuk diterokai.

Rujukan

Sohaimi Abdul Aziz. 2014. Rasa Fenomenologi: Kritikan Resepsi Pembaca dan Pengalaman Estetik. Dlm. Sohaimi Abdul Aziz. Teori dan Kritikan Sastera: Edisi Kedua, hlmn: 25-33. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Sohaimi Abdul Aziz. 1998. Rasa-FenomenologiPenerapan Terhadap Karya A. Samad Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Siti Rohayah Attan. Teori rasa-fenomenologi berjaya bahaskan soal estetik. http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm. [15 Jun 2017]

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Alumni Persuratan Melayu UKM. Eksekutif Halal (diiktiraf Majlis Profesional Halal JAKIM). Membawa pembaca untuk menduga dunia fiksi Melayu moden yang sarat dengan liku dan penuh hikmah. Warga Kuala Lumpur yang berdarah asli Kelantan.

Leave A Reply