https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Kenapa Kita Nampak Rupa Manusia Di Awan?

910

Pada tahun 1994, Diana Duyser dari Florida mengalami satu kejadian yang luar biasa. Selepas menggigit sekeping roti yang baru di bakar, dia melihat wajah ‘Virgin Mary’ memandang tepat ke arahnya.

Dia terkejut dengan penemuan itu dan meletakkan roti tersebut ke dalam piring.

Sebelum daripada itu pada Oktober 1977, Maria Morales Rubio dari Mexico mengalami perkara yang seakan sama apabila mendapati tortilla yang baru di bakarnya untuk sarapan pada pagi itu membentuk imej seperti muka Jesus.

Ceritanya itu menjadi begiru sensasi pada ketika itu sehinggakan orang ramai berpusu-pusu datang untuk melihat sendiri tortilla ajaib tersebut.

Bagaimana pula dengan kita?

Pernahkah kita berjalan-jalan pada satu hari yang terang, kemudian kita melihat bentuk manusia pada awan?

Atau ketika berjalan di tepi hutan, dan kita melihat corak haiwan pada susunan daun-daun pokok yang dilihat dari jauh?

Atau pernahkah anda mendengar nama Tasik Dayang Bunting di Langkawi? Yang mana namanya itu diberikan kerana bentuknya seakan orang yang sedang bunting tengah tidur jika dilihat dari jauh.

Mengapakah perkara ini boleh berlaku?

Otak manusia sebenarnya sudah terbiasa dengan bentuk dan corak. Setiap hari otak kita melihat dan menafsirkan bentuk dan corak.

Dan perkara ini amat penting kerana dengan melihat bentuklah kita dapat membezakan muka antara individu A dan individu B.

Jika tidak dapat dibezakan,maka otak akan menafsirkan setiap muka semua manusia sebagai sama sahaja.

Namun ia juga dapat bertindak di ‘luar batasan’. Sekiranya ia tidak dapat mengenal pasti sebarang bentuk, maka bentuk yang biasa kelihatan akan sengaja diwujudkan.

Semakin kabur isyarat yang diterima, semakin mudah pula fenomena tersebut di tafsirkan sebagai ‘mesej yang tersembunyi’.

Fenomena seperti yang saya ceritakan diatas dipanggil Cognitive Bias iaitu apabila seseorang memberikan terjemahan sendiri terhadap apa yang mereka lihat, dan biasanya ia bersifat terlalu personal dan subjektif.

Lebih teruk lagi apabila ianya dikaitkan dengan elemen agama, keajaiban, azimat dan kerberkatan.

Contoh lain juga termasuklah apabila seseorang mendakwa melihat nama “Allah” pada buah-buahan, atau pada potongan daging korban.

Perkara ini sebenarnya tidak menjadi ukuran kebenaran sesuatu agama kerana banyak juga simbol agama lain dijumpai pada haiwan atau buah-buahan.

Adakah jika terdapat simbol “cross” pada lembu menjadikan Kristian agama yang benar? Sekali lagi fallacy berlaku.

Thomas Gilovich

Imej-imej tersebut yang kita lihat sebenarnya hanyalah imej rawak yang cuba ditafsirkan oleh otak sebagai sesuatu yang berkaitan. Thomas Gilovich, seorang Professor dari Cornell University menamakan ia sebagai clustering illussion.

Ia adalah satu kecenderungan kita untuk melihat satu kumpulan data-data yang disusun secara rawak sebagai satu corak baru yang bermakna.

Beliau memberikan contoh bahawa apabila sebiji dadu dibaling sebanyak 3 kali, terdapat kemugkinan “Enam Titik” akan kelihatan pada semua balingan tersebut.

Orang akan mengatakan “Wah, kita bernasib baik kerana mendapat “Enam Titik” 3 kali berturut-turut”.

Padahal, perkara tersebut sebenarnya hanya rawak, dan tidak boleh dikawal langsung. Tetapi kita sukar menerima hakikat perkara tersebut hanya berlaku secara kebetulan.

Virin Mary toast.

Berbalik kepada roti Diana Duyser itu tadi, beliau meletakkan “roti ajaib” tersebut pada lelongan eBay setelah mendakwa ia mula membawa tuah kepadanya.

Anda percaya atau tidak, roti itu terjual di eBay pada harga $28, 000 sepuluh tahun kemudian, iaitu pada tahun 2004. Satu perkara yang gila bukan?

Jadi setiap kali anda berjalan dan melihat muka manusia pada awan, fikirkan kembali mengenai Clustering Illusion!

RUJUKAN:

  1. Gilovich, Thomas (1993) – How We Know What Isn’t So: The Fallibility of Human Reason in Everyday Life
  2. https://en.wikipedia.org/wiki/Clustering_illusion
  3. http://news.bbc.co.uk/2/hi/4034787.stm

Artikel dikirimkan oleh Baihaqi Mohamad untuk The Patriots. 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.