Kenapa Kita Harus Makan Epal Setiap Hari?

784

Pernah dengar tidak ungkapan “an apple a day keeps the doctors away”? Bunyinya sudah tentunya agak luar biasa. Kalau dirujuk secara statistik, negara-negara pengeluar epal turut mempunyai masalah-masalah kesihatan yang teruk. Barah, sakit jantung dan masalah otak tetap menghantui China, Amerika Syarikat dan Poland. Namun hakikat ini tidak semestinya menafikan realiti di sebalik ungkapan tersebut yang lebih kearah kiasan semata-mata bahawa khasiat epal boleh melawan penyakit.

Ungkapan ini berasal daripada Wales, sebuah negara jiran kepada United Kingdom, pada abad ke-19 dan sebenarnya lebih panjang. Dikhabarkan bahawa “makanlah epal sebelum tidur, dan kalian akan menafikan kemampuan doktor untuk membeli roti (menjana pendapatan)”. Dan ia merupakan contoh paling ampuh betapa mudah, pantas dan ringkas pihak kesihatan zaman Ratu Victoria berkempen. Amalan ini masih diteruskan sehingga hari ini, walaupun amalan-amalan sezaman yang lain seperti penggunaan lintah telah dihentikan.

Maka harus dipersoalkan jika ungkapan sebegini tetap mempunyai asas secara saintifik atau tidak?

Darjat epal telah lama dijulang sebagai makanan berkhasiat. Bangsa Rom Kuno sangat cenderung sehinggakan epal telah menjadi buah turun-temurun bagi masyarakat Eropah. Epal juga digunakan sebagai ubat Ayurveda sejak 1,500 tahun dahulu di Asia Selatan seperti India misalnya (Ely, 2013). Buah ini mempunyai kalori dan sodium semulajadi yang rendah; pada masa yang sama, kandungan serat dan vitamin C pula tinggi.

Memerangi Kolesterol dan Strok

Seperti yang dipegang oleh masyarakat, bukan semua petua nenek moyang bersifat negatif dan salah semata-mata. Sebuah kajian di Universiti Negeri Ohio mendapati amalan pemakanan epal sehari selama empat minggu menurunkan 40% kadar kolesterol bagi golongan pertengahan umur (Ohio State University, 2012).

Kadar keberkesanan epal dilihat menandingi keupayaan kapsul polyphenol. Penemuan ini menyokong kesimpulan pengkaji Belanda yang mengatakan buah-buahan “berdaging putih” boleh membantu lawan penyakit strok (American Heart Association, 2011). Antara buah-buahan yang dimaksudkan ialah epal dan pear.

Setiap 25gm buah putih setiap hari boleh mengurangkan risiko strok sebanyak 9%. Berat sebiji epal pula biasanya 120gm. Jika digabungkan dengan buah dan sayur-sayuran lain, sudah tentunya risiko strok akan lebih berkurangan. Dengan masyarakat yang cara hidup telah berubah secara ketara, penglibatan epal boleh memangkinkan kesinambungan hidup, sekaligus membuka peluang supaya kita terselamat daripada ancaman-ancaman kesihatan.

Meningkatkan Kadar Kesihatan?

Suatu lagi kajian sekitar tahun 2015 menjelaskan perkaitan antara epal dan doktor secara lebih mendalam. Dua kajian mereka melibatkan seramai 8,728 dewasa iaitu antara 2007-2008 dan 2009-2010 di Amerika Syarikat. Apa yang dilakukan ialah perbandingan antara pemakan epal harian dan golongan tidak mengamal sebegitu. Kajian pertama berjaya membuktikan bahawa pemakan epal hanya mendapatkan nasihat doktor setahun sekali sahaja. Manakala kajian kedua pula mendapati pemakan epal tidak memerlukan perkhidmatan kesihatan langsung.

Tidak dimasukkan dalam hospital. Tidak mengunjungi pakar kesihatan mental. Tidak juga mendapat preskripsi ubat. (Davis, Bynum, Sirovich, 2015)

Antara 8,000+ peserta kajian tersebut, 753 orang (9%) daripada mereka diklasifikasikan sebagai pemakan epal harian. Berbanding 91% yang lain, golongan kecil ini didapati (1) mempunyai pencapaian akademik yang lebih tinggi, (2) lebih kepada golongan minoriti dan (3) tidak merokok. Secara konklusi, kajian ini tidak mendapati ungkapan Wales tersebut benar sepenuhnya. Tetapi 753 orang daripada 8,728 yang dipilih daripada 330+ juta rakyat Amerika Syarikat  didapati kurang menggunakan ubat-ubatan.

Walaupun terdapat kesahihan dan juga debat, masyarakat secara umum masih dinasihati supaya selalu memakan epal. Untuk meningkatkan keupayaannya, semestinya dicampurkan dengan sayur-sayuran juga.

RUJUKAN:

American Heart Association. (2011, September 16). An apple or pear a day may keep strokes away. ScienceDaily. Retrieved August 4, 2019 from www.sciencedaily.com/releases/2011/09/110915163523.htm

Davis MA, Bynum JP, Sirovich BE. Association between apple consumption and physician visits: appealing the conventional wisdom that an apple a day keeps the doctor away. JAMA Intern Med. 2015; 175: 777–783. 

Ely, M. (2013). History behind ‘An apple a day’. [online] Washington Post. Available at: https://www.washingtonpost.com/lifestyle/wellness/history-behind-an-apple-a-day/2013/09/24/aac3e79c-1f0e-11e3-94a2-6c66b668ea55_story.html?utm_term=.1286d07afeb9 [Accessed 24 Sep. 2013].

Ohio State University. (2012, October 2). An apple a day lowers level of blood chemical linked to hardening of the arteries, research suggests. ScienceDaily. Retrieved August 4, 2019 from www.sciencedaily.com/releases/2012/10/121002143220.htm

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.