Teknologi moden telah membawa masalah baru yang tidak pernah difikirkan nenek moyang sekitar 100 hingga 200 tahun lalu. Sekarang ini semua orang yang bekerja boleh mencapai kemampuan untuk memiliki sebuah kereta.

Sama ada secara baru atau terpakai, itu tidak mengubahkan realiti. Pihak perancang bandar pun membangunkan tempat letak kereta bertingkat-tingkat, selalunya berhubung dengan sebuah kompleks pasaraya.

Selalunya pemilik bangunan yang membuat tempat parkir ini.

Dan apa yang jadi? Orang kerap lupa tempat letak kereta. Kalau tempat kecil seperti TESCO (yang sekarang menjadi Lotus), tiada masalah sangat.

Tetapi jika tempat besar seperti Queensbay Mall, siap ada bahagian-bahagian sendiri – boleh pening kepala dan lenguh kaki juga cari.

Memahami Secara Saintifik

Terlupa tempat parkir kereta bukan sama sekali satu simtom nyanyuk. Tetapi ada perkara yang wajib ditekankan di sini. Manusia memang sangat biasa jika kadangkala terlupa tempat letak kereta.

Contoh mudah bagaimana otak proses.

Contohnya, bukan selalu seseorang pergi ke pusat beli belah mega. Jadi ruang memori seseorang mungkin agak lemah.

Yang menjadi masalah adalah jika seorang pekerja yang selalu letak kereta di ruangan sama asyik lupa tempat parkir (Macdonald-Smith, 2017).

Kajian sains mendapati perempuan mempunyai ruangan memori lebih lemah untuk dibandingkan dengan lelaki (Fernandez-Baizan, et al., 2019).

Ruang memori biasanya merakam sesuatu maklumat jangka pendek (STM) dan jangka panjang (LTM).

Topik ini jelas sekali ialah satu masalah STM, yang mana sistem ingatan perlu menyimpan satu maklumat secara sementara. Ia dalam sifat sementara kerana tiada siapa akan fikir balik tentang tempat parkir selepas keluar.

Otak Merentas Masa Untuk Ingat Balik

Selepas berjam-jam membeli-belah, memang logiklah jika seseorang terlupa tempat letak kereta. Kerana sepanjang masa berada dalam laluan jalan kaki penuh dengan aktiviti orang ramai serta lampu yang cerah.

Tumpuan juga kerap beralih daripada satu tempat ke satu tempat yang biasanya mempunyai dua perkara berlainan pada setiap masa.

Contohnya, 10 tapak selepas pusat komputer ialah kedai penjagaan kulit. 10 tapak lagi sampai pula di pengurup matawang berlesen. Kemudian ada kedai emas, ruangan makan dan tempat hiburan.

Jadi dalam 50 tapak saja, ada lima jenis perniagaan berlainan. Belum lagi masuk dalam pusat beli-belah dan memborong banyak barang di rak berlainan dan beratur pula di kaunter. Jadi sangat logik jika asyik lupa dalam keadaan STM.

Kereta disusun dengan tertib berlatar belakang sangat sama iaitu kelabu simen.

Ada banyak perkara remeh lain yang mungkin otak sudah terlupa. Contohnya, seseorang mudah ingat makanan dijamah… tetapi jika ditanya warna pinggan, boleh tergagap dibuatnya.

Maka untuk mengingati semula, otak perlu merentasi masa berdasarkan maklumat yang disimpan.

Sebuah kajian dijalankan Universiti Northwestern mengesahkan bahawa kaedah “time travel” sebenarnya bantu menguatkan daya ingatan otak (Northwestern University, 2021). Kaedah mereka sangatlah mudah.

Peserta kajian perlu menonton beberapa klip video. Kemudian, mereka akan disoal berdasarkan kandungan ditonton. Dengan cara ini, penyelidik mengenal pasti kaedah stimulasi otak (yang mula ingat balik apabila ditanya soalan).

Itulah apa yang berlaku, ketika seseorang terhenti sejenak untuk fikir: “eh, mana aku letak kereta?”

Aplikasi Yang Membantu

Kaedah rentasan masa kadangkala tidak membantu semua, terutamanya golongan menghadapi isu LTM. Teknologi sekali lagi menjadi penyelamat.

Hari ini hampir semua orang yang mampu memandu juga berkemampuan memiliki sebuah telefon pintar.

Kemajuan sistem operasi juga membolehkan telefon-telefon pintar simpan aplikasi pembantu digital yang boleh menanda kawasan letak kereta tanpa perlu mempunyai aplikasi tersendiri.

Dengan hanya menggunakan Google Maps, sistem Android atau iOS memacakkan bendera biru di tempat letak kereta yang kemudian menjadi tanda destinasi apabila pengguna cari kereta (The Star, 2020).

Kalau itu pun lupa, maknanya kaedah manual saja boleh membantu. Cuma kewujudan aplikasi sebegini bakal menguji ingatan orang ramai lagi. Cuba bayangkan jika terlupa simpan lokasi letak kereta di Google Maps.

Bukan mudah untuk cari balik… terutamanya dengan minda yang selama ini sangat selesa dengan pembantu digital.

RUJUKAN:

Fernandes-Baizan, C., et al. (2019). Spatial memory in young adults: Gender differences in egocentric and allocentric performance. Behavioural Brain Research. 359: 649-700.

Macdonald-Smith, F. (2017, Mac 12). Did you forget where you parked the car? The Week.

Northwestern University. (2021, Februari 4). ‘Where did I park my car?’ Brain stimulation improves mental time travel. Science Daily.

The Star. (2020, Ogos 23). ‘Here’s where I parked.’ Your phone can already help find your


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.