Kenapa Khalifah Pertama Abbasiyah Digelar Penumpah Darah?

2,648

Pra-tempah hanya di Shopee

Bila bercerita tentang kerajaan-kerajaan Islam, ramai masih hanyut dengan elemen romantisme yang dimasukkan seolah-olah menggambarkan semua kerajaan ini baik belaka. Hakikatnya, seperti tamadun-tamadun lain, kerajaan-kerajaan Islam seperti Bani Abbasiyyah mempunyai sisi gelap mereka yang tersendiri. Salah satunya ialah perihal pengasas kerajaan itu, Abu Abbas as-Saffah.

as-Saffah atau nama sebenarnya Abu Abbas Abdullah bin Muhammad dilahirkan pada tahun 721 Masihi di Humeima (kini Jordan). Baginda berasal dari Bani Hasyim, pecahan daripada suku kaum Quraisy menerusi bapa saudara Rasulullah s.a.w, Abbas bin Abdul Mutalib r.a. Menerusi namanya juga mereka menamakan pergerakan yang menentang Bani Umayyah dan seterusnya sebagai kerajaan sebagai Bani Abbasiyyah.

Selepas kemangkatan Umar bin Abdul Aziz, khalifah-khalifah terakhir Bani Umayyah kembali mengamalkan dasar-dasar bersifat diskriminasi termasuk mengenakan jizyah terhadap golongan mawali[1] dan menindas golongan Syiah. Akibatnya, ramai yang bangkit menentang mereka termasuk pemberontakan Zaid bin Ali di Kufah, Iraq pada tahun 736.

Zaid bukan sebarang orang kerana beliau merupakan cucu Husin bin Ali r.a dan juga salah seorang ahli Bani Hashim. Begitupun, pemberontakannya tidak berjaya apabila angkatan Umayyah yang diutus Khalifah Hisham bin Abdul Malik[2] berjaya menawan semula Kufah pada 740. Zaid sya-hid menemui Penciptanya dengan kuburnya dikorek dan kepalanya dipenggal untuk dibawa sebagai bukti kema-tiannya.

Walaupun pemberontakan tersebut sudah berakhir, ia ibarat api yang mencetuskan kekacauan di seluruh wilayah yang ditadbir Bani Umayyah. Keadaan ini tidak dibantu dengan tiga khalifah Umayyah yang memerintah antara 743 hingga 744 Masihi iaitu al-Walid II, Yazid III dan Ibrahim bin al-Walid. Ini sudah cukup memberi peluang kepada para pemberontak merancang kebangkitan mereka termasuk Bani Abbasiyyah.

Pada bulan-bulan terakhir pemerintahan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah bersama para penyokong mereka melancarkan pemberontakan dari Khurasan. Gerakan ini dipimpin oleh seorang panglima per-ang Parsi bernama Abu Muslim al-Khurasani[3]. Gerakan ini turut mendapat sokongan orang Syiah atas alasan ia merupakan cara mengembalikan semula keadilan dalam pemerintahan dengan meletakkan Ahlul Bait[4] kembali sebagai pemerintah.

Dalam tempoh kurang daripada dua tahun, Khurasan dikuasai sepenuhnya oleh Abbasiyyah. Dengan Khurasan berada dalam cengkaman, gerakan Abbasiyyah beralih pula kepada Iraq dan Syria. Dan seperti Khurasan, ramai yang memilih berpaling tadah dan menyertai gerakan tersebut daripada menjadi mangsa amukan gerakan tersebut.

Bagi mengelak mana-mana tokoh daripada cuba mengisytiharkan diri mereka sebagai khalifah, as-Saffah diisytiharkan sebagai khalifah pada 28 November 749. Tidak mahu jawatan tersebut jatuh ke tangan pesaingnya itu, Khalifah Marwan II menggerakkan saki-baki angkatan Umayyah dan kedua-dua pasukan bertembung di Sungai Zab sekaligus mencetuskan Pertem-puran Zab pada Januari 750.

Hasilnya, angkatan Umayyah tewas teruk dan memaksa khalifah terakhir Bani Umayyah itu melarikan diri. Tetapi baginda berjaya dipintas di Mesir pada Ogos 750 dan angkatan Abbasiyyah membu-nuhnya bersama kerabat baginda. Dua peristiwa ini menandakan kejatuhan Bani Umayyah sebagai sebuah kerajaan dan digantikan oleh Bani Abbasiyyah.

Dengan jatuhnya Bani Umayyah, ramai ahli gerakan Abbasiyyah mengambil keputusan membalas den-dam termasuk menggali semula makam-makam khalifah Umayyah. Semua makam digali dan jenazah mereka dicemarkan kecuali satu makam milik Umar. Bagi as-Saffah pula, baginda sedar mana-mana ahli kerabat Bani Umayyah perlu dihap-uskan agar tidak menjadi anc-aman kepada baginda. Terdapat dua versi bagaimana mereka diuruskan.

Pertama, as-Saffah menawarkan pengampunan kepada semua ahli kerabat Bani Umayyah dan meminta mereka menghadap baginda dalam satu jamuan di Jaffa. 80 orang hadir dalam jamuan tersebut dengan kesemua mereka dibun-uh oleh ten-tera Abbasiyyah. Versi kedua pula mengatakan pembun-uhan mereka diuruskan oleh wakil as-Saffah di Syria, Abdullah bin Ali[5]. Tidak dilupakan juga makam-makam khalifah Umaiyyah dan kerabatnya sebelum Abbasiyah habis dimusnahkan, dibongkar isinya kecuali miliki Khalifah Umar Abdul Aziz ketika era beliau.

Mujurlah seorang ahli Bani Umayyah bernama Abdul Rahman bin Muawiyah sempat melarikan diri ke Afrika Utara dan seterusnya mengambil alih pemerintahan di Sepanyol pada 756. Beliau kemudian digelar Helang Bangsa Quraisy.  Di sinilah, baginda ditabalkan sebagai Emir Cordoba dengan gelaran Abdul Rahman I. Emir Cordoba dianggap kesinambungan kerajaan Bani Umayyah dan terus memerintah sehingga 1031.

Selain ahli-ahli kerabat Bani Umayyah, mana-mana penyokong yang disyaki berpotensi sebagai pesaing turut diha-puskan. Antara tokoh penyokong Abbasiyyah yang berdepan nasib sebegini ialah Ash’ath di Maghribi, Saleh bin Ali di Mesir dan Khazm bin Khuzaimah di Iraq. Golongan Syiah pula terus ditindas oleh as-Saffah walaupun telah menjanjikan sokongan kepadanya semasa revo-lusi mereka dahulu.

Bagi memastikan kuasa kekal di tangan mereka, ibu kota kerajaan turut dipindahkan dari Damsyik ke Kufah. Dan untuk melicinkan lagi urusan pentadbiran, as-Saffah turut mengintegrasikan anggota pentadbiran bukan Arab dan bukan beragama Islam dalam jentera pemerintahan. Ini termasuklah pentadbir beragama Yahudi, Nasrani dan berbangsa Parsi.

Untuk mengukuhkan kedudukan ten-tera dan jaminan sokongan mereka, Abu Muslim dilantik sebagai panglima per-ang rasmi kerajaan. as-Saffah turut membenarkan penyertaan ask-ar-ask-ar bukan beragama Islam dan mawali sekaligus memecah tradisi keten-teraan yang diamalkan Bani Umayyah sebelumnya.

Keupayaan angkatan Abbasiyyah ini teruji apabila angkatan mereka bertembung dengan angkatan per-ang Dinasti Tang di Talas pada 751 Masihi. Pertem-puran Talas tercetus gara-gara tindakan dinasti China itu mahu merebut wilayah-wilayah yang ditadbir Abbasiyyah dan sekutu mereka, Empayar Tibet setahun selepas as-Saffah ditabalkan sebagai khalifah.

Tidak diketahui jumlah sebenar angkatan kedua-dua belah pihak. Menurut catatan sejarawan al-Maqdisi, Abu Muslim dikatakan membawa ten-tera yang ramai dengan hasrat meneruskan kemaraan ke wilayah-wilayah lain yang ditadbir Dinasti Tang. Catatan Arab turut merekodkan Dinasti Tang hanya membawa 10,000 ten-tera dengan sokongan ten-tera upahan Karluk.

Apabila kedua-dua angkatan bertembung di tebing Sungai Talas, Dinasti Tang mendapat tamparan hebat apabila kalah teruk di tangan pasukan Abu Muslim. Ini berikutan ten-tera upahan Karluk memilih berpaling tadah dan bergabung dengan ten-tera Abbasiyyah. Jika tidak kerana arahan as-Saffah yang mengarahkannya kembali ke Khurasan, Abu Muslim dan angkatannya sudah pasti akan menjadi duri dalam daging kepada Dinasti Tang untuk tahun-tahun mendatang.

Memandangkan baginda amat mementingkan pendidikan, Abu Muslim turut mengirim ratusan tawanan dari Talas ke Samarkand. Tawanan-tawanan ini dikatakan mengetahui rahsia menghasilkan kertas dan ia amat penting dalam aspek pendidikan. Mereka ini kemudiannya ditugaskan menguruskan pengeluaran kertas di kota itu.

Begitupun, pengeluaran kertas secara besar-besaran hanya dibuat semasa era Harun al-Rashid menerusi kilang kertas pertama yang dibina di Baghdad. Dari situ, barulah pengeluaran kertas bersifat besar-besaran dan ia dijadikan alternatif kepada kertas papirus.

as-Saffah mangkat akibat penyakit cacar pada 10 Jun 754. Sebelum kemangkatannya, baginda sempat melantik kekandanya, Abu Jaafar al-Mansur sebagai pengganti dengan anak saudaranya Isa bin Musa sebagai putera mahkota. Bagaimanapun, selepas al-Mansur ditabalkan sebagai khalifah, Isa dipinggirkan dan digantikan dengan puteranya al-Mahdi.

NOTA KAKI:

[1] Orang Islam bukan berbangsa Arab.

[2] Khalifah Bani Umayyah yang ke-10. Memerintah selama 19 tahun dan meneruskan reformasi yang ditinggalkan Umar bin Abdul Aziz.

[3] Orang kepercayaan as-Saffah dan bertanggungjawab menyediakan batu asas kekuasaan Abbasiyyah di Khurasan. Disingkirkan dan dibun-uh atas arahan al-Mansur pada 755 dengan jen-azahnya dicampakkan ke Sungai Tigris.

[4] Golongan yang diiktiraf sebagai ahli keluarga Rasulullah s.a.w.

[5] Bapa saudara as-Saffah dan al-Mansur. Salah seorang komander semasa Pertem-puran Zab dan bertanggungjawab menakluk Syam dan Palestin bagi pihak Abbasiyyah. Ditangkap dan dipen-jarakan oleh al-Mansur sebelum dibun-uh dengan cara diletakkan dalam sebuah rumah yang diruntuhkan pada 764.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.