Kenapa Kereta Masih Belum Boleh Terbang?

131

1. Kereta terbang atau ‘flying car’ boleh dikatakan sebuah fantasi sains yang sering menjadi pertaruhan oleh industri hiburan Holywood dalam menghasilkan karya-karya mereka. Sungguhpun begitu, asas kepada idea kereta terbang tetap berada dibawah bumbung keilmuan sains dan kejuruteraan. Terminologi kereta terbang sendiri merujuk kepada kereta dan juga terbang yang mana kita semua sedia maklum apa itu kereta dan apakah itu terbang. Mudahnya, kereta terbang mestilah boleh bergerak di atas jalan sepertimana sebuah kereta dan juga mestilah boleh terbang di udara samada seperti helikopter ataupun kapal terbang.

2. Kereta terbang sentiasa menjadi hype dan science fiction yang digembar-gemburkan sejak dulu lagi. Idea berkenaan kereta terbang telah pun wujud sejak 1924 lagi setelah majalah sains di Amerika Syarikat, Popular Science keluaran Julai tahun itu menyebut mengenai kereta terbang dengan artikel bertajuk ‘Flying Autos in 20 years’ [1].Namun sehingga kini kereta terbang masih tidak dapat menembusi pasaran komersil secara meluas atas beberapa faktor yang akan dibincangkan selepas ini.

3. Sebenarnya, bukanlah kereta terbang tidak dapat dihasilkan kerana keterhadan teknologi. Teknologi yang wujud pada waktu ini sebenarnya sudah lebih daripada mampu untuk menghasilkan kereta terbang yang canggih, malah sebelum Perang Dunia ke-2 lagi saintis dan jurutera penerbangan boleh dan mampu membinanya. Di tahun 50an dan 60an lagi saintis telah mampu menghantar space probe ke angkasa lepas menunjukkan ketinggian teknologi yang dicapai, malah di sekitar tahun 40an lagi manusia telah membina ICBM dan Bom Atom. Apakah kereta terbang yang lebih ringkas dan kurang kompleks tidak mampu dihasilkan mereka?

4. Jawapannya, kereta terbang tidak menjadi realiti bukan kerana keterhadan ilmu dan teknologi penghasilan tetapi lebih kepada aspek lain (yang akan dibincangkan nanti), menjadikan prospek kereta terbang tidak mendapat tempat di hati pelabur dan kerajaan.

5. Kereta terbang telah pun wujud selewat-lewatnya di tahun 30an. Di tahun 1930-an, Waldo Waterman telahpun menghasilkan kereta terbang rekaan beliau. Kereta terbang yang diberi nama Waterman Aerobile [2] itu dihasilkan setelah beliau memasuki sebuah pertandingan ‘US Government Aircraft Design Contest’ oleh Bureau of Aeronautics, Amerika Syarikat [3] yang menawarkan hadiah 700 USD pada waktu itu.

6. Oleh itu kita dapat meneliti beberapa perkara kenapakah kereta terbang tidak bersimpang-siur diatas bumbung rumah masing-masing saat ini. Diunjurkan bahawa kereta terbang tidak dapat memberi ‘destructive effect’ kepada industri penerbangan dan automotif, dan juga sistem pengangkutan lain sekurang-kurangnya dalam 15 ke 30 tahun akan datang. Kereta terbang adalah sebuah hype retro yang diberi wajah baru dan dipakaikan dengan teknologi moden tetapi keterhadan kereta terbang sebenarnya bukan pada teknologi melainkan faktor-faktor di bawah:

i. UNDANG-UNDANG

7. Undang-undang udara atau undang-undang penerbangan sebenarnya bermula selepas konvensyen antarabangsa yang diadakan pada tahun 1944 iaitu Chicago Convention on International Civil Aviation yang bertujuan membincangkan halatuju keselamatan dan kemajuan sistem penerbangan awam antarabangsa. Hasil daripada konvensyen tersebut, tertubuhlah ICAO ataupun International Civil Aviation Organization yang kini adalah sebuah agensi di bawah PBB [4]. Di Malaysia, undang-undang berkaitan penerbangan awam adalah di bawah bidangkuasa Deparment of Civil Aviation, DCA [5]. Manakala, undang-undang jalan raya pula berada dibawah Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ.

8. Oleh kerana kereta terbang hanya layak diklasifikasikan sebagai kereta terbang jika ia boleh bergerak di atas jalan raya dan terbang di udara maka ia tentulah tertakluk kepada kedua-dua undang-undang berkaitan selagimana tiada undang-undang yang tergabungjalin antara pengangkutan udara dan pengangkutan darat maka kereta terbang adalah terhad dari segi perspektif undang-undang.

9. Di seluruh dunia, undang-undang jalan darat dan undang-undang penerbangan awam adalah berasingan dan ia menjadi faktor utama yang kenapa kereta terbang tidak berjaya menjadi pesaing kepada kapal terbang/helikopter dan kereta.

ii. PENGUATKUASAAN

10. Sungguhpun keterhadan perkara bersifat legal ke atas kereta terbang itu dilihat tidak memberi halangan kepada penghasilan kereta terbang, tetapi ia memberi impak kepada perkara-perkara lain yang berkaitan justeru ia sebenar secara tidak lansung memberi kesan kepada penghasilan, pelaburan, dan pemasaran kereta terbang.

11. Oleh kerana kereta dan apa-apa objek terbang berada di bawah undang-undang yang berbeza maka penguatkuasaan keatas kereta terbang menjadi rumit dan leceh. Misalnya, kereta terbang mempunyai kebarangkalian untuk mengalami kemalangan seperti mana kereta dan kapal terbang tetapi peruntukan undang-undang belum ada untuk membawa kes kemalangan itu di bawah bidang kuasa JPJ ataupun DCA. Ini adalah konflik keatas jabatan penguatkuasaan.

12. Kalau kereta ada langgar lari, tetapi kalau kereta terbang dah jadi kes langgar terbang pula.

iii. KESELAMATAN

13. Isu kelesamatan antara isu pokok kegagalan kereta terbang yang menyebabkan pelabur dan kerajaan seluruh dunia dari dahulu hingga kini tidak ‘ikhlas’ untuk memajukan industri kereta terbang sepertimana sokongan mereka keatas industri kapal terbang/helikopter dan automotif.

14. Kapal terbang adalah sistem pengangkutan yang paling selamat di dunia. Kereta terbang dari perspektif keselamatan tidak dapat memberi jaminan menyeluruh mengenai keselamatan pengangkutan jenis ini tambah-tambah lagi ia melibatkan jalan dan udara.

15. Kita seringkali melihat berita kemalangan di jalan kerana kecuaian pemandu ataupun kerana melanggar peraturan jalan raya dan kini risiko itu berpindah kepada mode pengangkutan udara sekiranya ramai orang mula berminat kereta terbang ini. Menjadikan indeks penerbangan udara tidak lagi selamat seperti sebelum ini dengan bertambahnya kenderaan di ruang udara. Selagi mana sistem yang mungkin wujud itu belum matang maka pastinya akan ada kemalangan di darat dan juga di udara.

16. Bayangkan, tengah makan nasi tengah hari di rumah mak, cuti hari ahad ada malaun mabuk mana terjun ke dapur dengan kereta terbangnya. Tersedak, putus selera.

17. Itu belum masuk perihal psikologi manusia yang berubah apabila berada di ketinggian tertentu dan kemudian turun pula memandu di bawah, tidak seperti kapal terbang atau helikopter yang mana terdapat senggang antara pilot itu menjadi pilot dan pilot itu menjadi pemandu kereta.

18. Belum diperinicikan lagi mengenai ‘airworthiness’ sesebuah kenderaan terbang. Kerana kereta terbang boleh terbang maka seharusnya ia tertakluk kepada airworthiness. (Sila rujuk website DCA atau ICAO atau goole untuk dapat idea apa itu airworthiness)

iv. PERSEMPADANAN

19. Seperti yang diceritakan tadi, undang-undang udara seluruh dunia sebenarnya berada di bawah payung ICAO, jadi setiap negara mempunyai undang-undang penerbangan awam yang hampir sama biarpun setiap negara turut mempunyai klausa-klausa yang unik.

20. Status kereta terbang itu bersifat kereta dan bersifat terbangnya itu menjadikan isu sempadan ruang udara antarabangsa suatu isu yang menarik kerana terdapat perkara yang menjadi persoalan.Pertama, apakah kereta terbang boleh memasuki ruang udara negara lain? Bolehkah ia mendarat? Dan ketiga bolehkah setelah mendarat, ia dipandu dinegara tersebut?

21. Ini sekali lagi memberi kesan kepada keselamatan sesebuah wilayah kerana ia bukan sahaja boleh digunakan oleh orang-orang ‘baik’ sahaja.

22. Tambahan pula jika ia melibatkan penerbangan antarabangsa, di bawah bidang kuasa siapakah penguatkuasaan akan mengambil tempat? Kalau di dapati penjenayah daripada negara luar masuk apakah TUDM boleh intercept dengan SU30-MKM mereka? Atau Sayap Udara PDRM yang perlu mengejar mereka? Atau perlu wujud juga Unit Kereta Terbang PDRM?

v. KAWALAN RUANG UDARA

23. Ruang udara juga sebenarnya seperti jalan-jalan di darat yang mempunyai sistem kawalan trafik. Di Malaysia ia di kawal selia oleh Air Trafic Controller di bawah DCA. Oleh itu, kereta terbang memberi trafik tambahan kepada trafik darat dan juga trafik udara.

24. Ini menjadikan trafik udara semakin sesak (yang sememangnya cukup sesak pada waktu ini) dan memerlukan kawalan yang lebih. Ini menyukarkan, tambahan pula ia meningkatkan kos (misalnya kos pengurusan) secara tidak lansung kepada kerajaan menjadikan kereta terbang kurang menarik sekiranya kereta terbang tidak dapat memberi impak kepada ekonomi negera secara lansung.

25. Isu drone oleh penghobi yang pernah mengambil gambar kapal terbang secara dekat beberapa tahun lepas sebagai contoh bahawa kereta terbang juga pastinya akan menjadi bahan ‘mainan’ segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, melakukan perkara-perkara berbahaya yang boleh melacurkan keselamatan diri dan orang lain demi sesuap like di media sosial. Ini memerlukan penelitian, bermula dengan penggubalan undang-undang yang jelas.

vi. PERMIT DAN LESEN

26. Permit atau lesen untuk melayakkan seseorang itu boleh menerbangkan kereta adalah sangat penting. Setakat ini, tidak diketahui apakah telah wujud lesen untuk sebuah kenderaan yang boleh terbang dan boleh dipandu di jalan raya secara bersama.

27. Kereta terbang jika hanya boleh atau dilesenkan untuk ‘taxi’, ‘take off’, terbang dan mendarat sahaja maka biarpun bagaimana bentuknya ia belum boleh memenuhi definisi kereta terbang. Kereta terbang mestilah boleh dilesenkan untuk dipandu di darat dan udara kerana tujuannya jelas, penciptaan kereta terbang adalah menggabungkan fungsi kereta dan fungsi kenderaan terbang.

28. Sekali lagi, isu lesen sebenarnya sangat berkait rapat dengan isu keselamatan juga.

29. Jika ia hanya dilesenkan untuk terbang, itu orang panggil helikopter saja.

vii. POLISI INSURAN

30. Terdapat dua isu berkenaan polisi insuran dalam perkara ini. Pertama ialah polisi insuran kenderaan yakni polisi kereta terbang yang tidak diketahui wujud atau tidak. Jika didapati wujud di mana-mana negara maka ia menjadi precedence kepada penggubalan dasar, peraturan dan undang-undang di negara lain dan maka ia boleh menjadi faktor kepada kemajuan industri ini. Jika tidak, maka ia masih jauh lagi.

31. Keduanya ialah isu polisi insuran peribadi. Premium insuran yang dibeli adakah yang menawarkan premium yang melindungi pemandu dan penumpang kereta terbang. Jika kereta terbang tidak disokong dengan polisi insuran maka ia sebenarnya masih tidak mendapat tempat di peringkat pembekal premium insuran.

viii. PASARAN

32. Pasaran kereta terbang buat masa ini amatlah ‘rare’ atau ‘super niche’. Sehinggalah kesemua tujuh perkara diatas dapat di atasi maka waktu itu ia akan berada dalam pasaran yang lebih baik, niche market barangkali.

33. Logiknya harga kereta terbang tentulah lebih mahal berbanding banyak kereta dan insurannya juga tentu lebih mahal, maka mass market untuk kereta terbang masih jauh dianggarkan 30 tahun lagi barulah ia matang, itu pun sekiranya ia mendapat tempat di hati kerajaan seluruh dunia dan juga pelabur dan jika ia tidak terkesan dengan sistem pengangkutan lain.

34. Kereta terbang tak mustahil, tetapi babi terbang sudah menjadi realiti, lutong terbang? – lutong belum boleh terbang.

KESIMPULAN

35. Oleh kerana kereta terbang menjadi isu panas sebelum ini, maka beberapa cadangan boleh diberi apakah teknologi yang boleh diberikan perhatian oleh pelabur dan kerajaan selain daripada ‘kereta terbang’ (or whatever it is called, manned quadcopter?) yang dilihat mempunyai potensi yang cukup besar.

36. Antaranya ialah kereta elektrik pandu tanpa pemandu – inilah yang layak diberi perhatian lebih serius dalam masa terdekat ini lagi-lagi kerajaan berhasrat untuk membangunkan kereta nasional ketiga.

37. Keduanya ialah ‘rail transportation’. Apa-apa sistem yang melibatkan rail lagi-lagi jika ia berkelajuan tinggi, jika diintegrasikan seluruh negara maka tentunya kesan yang lebih baik dapat dinikmati – integrasi sistem rail yang saling bersambungan dan melengkapi, kereta api, subway,tube, LRT, MRT, HSR, et cetera.

38. Sistem pengangkutan bersepadu – jalinan sistem ‘rail transportation’, lapangan terbang dan pelabuhan feri atau port yang lebih menyeluruh.

39. Rasanya masih ada lagi beberapa perkara kenapa selepas lebih 80 puluh tahun kereta terbang pertama dicipta ia masih tidak mampu menjadi sebuah realiti yang normal. Jawapan mudah, berdasarkan poin-poin diatas, kereta terbang pada masa ini adalah tidak relevan.

40. Sekian.

p/s: ini adalah pendapat peribadi. Unjuran 15-30 tahun di dalam artikel adalah congakkan peribadi berdasarkan perhatian penulis tanpa kajian emperikal.

SUMBER

[1] https://www.popsci.com/…/no-really-where%E2%80%99s-my-flyin…
[2] https://www.smithsonianchannel.com/…/the-invention-of…/20504
[3] https://en.wikipedia.org/wiki/Bureau_of_Aeronautics
[4] https://www.icao.int/Pages/default.aspx
[5] http://www.dca.gov.my/

Artikel dinaikkan selepas mendapat izin penulis asal, Muhammad Shahrul Niizam

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.