Selepas kejatuhan rejim Pakatan Harapan (PH) beberapa hari lepas berikutan penarikan diri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan 11 ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Datuk Seri Azmin Ali, kini negara menanti siapakah yang dapat membentuk kerajaan.

Walaupun ramai mengharapkan satu kerajaan majoriti dapat dibentuk, harapan tersebut musnah berikutan pengumuman beberapa parti politik terhadap aturan berkenaan. Kini, PH pula mendakwa boleh membentuk kerajaan minoriti dengan calon Perdana Menteri mereka ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sementara menantikan pengumuman Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tetapi apa itu kerajaan minoriti? Kerajaan minoriti ialah sebuah kerajaan yang dibentuk oleh sesebuah parti atau beberapa parti yang tidak mempunyai kelebihan majoriti di Parlimen.

Di bawah kerajaan ini, polisi atau undang-undang hanya boleh diluluskan selepas mendapat sokongan bilangan ahli parlimen mencukupi sekaligus menggalakkan penglibatan parti-parti dalam parlimen.

Bagaimanapun, ia tidak stabil berbanding kerajaan majoriti. Ini kerana sekiranya ahli-ahli parlimen yang menentang tidak bersetuju dengan polisi yang hendak diluluskan, mereka boleh saja menolak atau mengadakan undi tidak percaya terhadap kerajaan berkenaan.

Justeru, untuk mengelak perkara sebegitu berlaku, kerajaan minoriti harus membentuk perjanjian keyakinan dan bekalan dengan parti-parti tertentu atau ahli parlimen bebas.

Perjanjian ini ialah parti-parti tertentu atau bebas bersedia menyokong kerajaan minoriti dengan undi kepercayaan atau menyokong usul belanjawan kerajaan sama ada dengan mengundi sokong atau memilih berkecuali.

Namun, parti-parti ini masih mempunyai hak mengundi usul-usul yang memihak kepada mereka atau berdasarkan hati nurani mereka dalam usul perundangan.

Aturan sebegini bukan perkara baru dalam soal kerajaan minoriti. Misalnya pada tahun 2017, selepas Parti Konservatif UK gagal membentuk majoriti, mereka membuat perjanjian keyakinan dan bekalan dengan Parti Kesatuan Demokratik (DUP).

Tetapi mampukah kerajaan minoriti yang dicadangkan itu boleh berlaku di Malaysia? Mungkin sesetengah berkata ya tetapi bagi penulis, jawapan tegas penulis ialah tidak.

Dan kerajaan sebegini memerlukan ihsan dari pihak lawan untuk meluluskan undang-undang atau polisi yang cuba dilaksanakan. Ini sekaligus menjadikan kerajaan tersebut kerajaan yang lemah.

Ini berlaku kepada kerajaan Parti Buruh UK pada tahun 1977. Perdana Menteri ketika itu, James Callaghan berhadapan usul undi tidak percaya dari parti-parti pembangkang. Callaghan baru saja menjawat jawatan berkenaan selama setahun menggantikan Harold Wilson.

Untuk mengelak situasi undi tidak percaya berlaku kepada mereka, Callaghan mengadakan perjanjian dengan Parti Liberal Demokrat yang diketuai David Steel. Sebagai tukaran kepada sokongan dalam usul undi tidak percaya, beberapa cadangan parti berkenaan akan diterima oleh Parti Buruh.

Namun, perjanjian tersebut ditamatkan pada September 1978 dengan Parti Buruh mengumumkan tidak mengadakan pilihan raya umum pada musim luruh 1978. Akibatnya, kerajaan Callaghan ditumbangkan dalam usul undi tidak percaya pada Mac 1979.

Ini memaksa beliau mengadakan pilihan raya beberapa bulan selepas itu. Pada Mei 1979, Parti Konservatif yang diketuai Margaret Thatcher menduduki No 10 Downing Street.

Situasi sama turut melanda India pada tahun 1996 hingga 1998. Pada tahun itu, 13 parti kecil membentuk satu perikatan politik yang dipanggil Barisan Bersatu (UF/BB).

Pada pilihan raya umum 1996, keputusan pilihan raya menyaksikan tiada parti berjaya meraih kelebihan majoriti. Parti Bharatiya Janata (BJP) mempunyai bilangan kerusi terbesar iaitu 161 kerusi dari 543 kerusi dan dijemput membentuk kerajaan. Hasilnya, Atal Bihari Vajpayee dilantik sebagai Perdana Menteri.

Tetapi Vajpayee gagal mendapat sokongan majoriti di Parlimen dan kerajaannya tumbang 13 hari kemudian. Selepas itu, Parti Kongres yang mempunyai 140 kerusi dijemput melakukan perkara sama tetapi menolak berbuat demikian.

Ini yang membawa kepada pembentukan kerajaan BB yang disokong Parti Kongres dan Parti K0munis India-Marxist (PKI-M) dengan H. D. Deve Gowda dilantik sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, beliau hanya bertahan setahun (1 Jun 1996 – 21 April 1997) bila Kongres menarik balik sokongan atas alasan tiada komunikasi antara BB dengan parti berkenaan.

Bagaimanapun, Parti Kongres beralah apabila BB melantik I. K. Gujral sebagai Perdana Menteri baru. Bagaimanapun, Gujral hanya bertahan selama setahun (21 April 1997 – 19 Mac 1998) sebelum kerajaannya tumbang gara-gara pelbagai kontroversi yang berlaku ketika itu yang mendorong Parti Kongres menarik diri.

Justeru, sekiranya idea kerajaan minoriti diteruskan juga, permusuhan dan perbalahan membabitkan drama politik negara takkan berakhir. Ia akan terus dimainkan sehingga satu tahap negara akan berada dalam keadaan pegun kerana dasar dan polisi tak boleh dibuat.

Dalam keadaan negara yang sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang semakin hari semakin teruk, rakyat memerlukan kerajaan yang kuat. Justeru, perlunya sebuah kerajaan yang memiliki mandat semula daripada rakyat untuk memperbaiki keadaan.

Bayangkan, dengan kerajaan sebelum ini pun ekonomi negara sudah tunggang-langgang. Nak perjudikan nasib dengan menyokong kerajaan minoriti yang juga menunggu masa untuk rebah. Kalau anda sendiri seorang pelabur, adakah anda akan masuk melabur di Malaysia?

Itu baru masalah ekonomi, belum lagi bercerita masalah-masalah lain termasuk masalah sosial dan hubungan antara kaum.

Jadi, hentikan semua idea mengarut ini. Jangan bikin kepala pusing, jangan buang masa.

Sama-samalah kita menyuarakan dengan tegas mandat memilih kerajaan dikembalikan kepada rakyat.

Kita memerlukan sebuah kerajaan yang segar dan yang telah memperbaharui mandatnya untuk memimpin negara.

#MandatKepadaRakyat
#KerajaanKuat
#NegaraStabil


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.