Moving Forward As One

Kenapa Jarum Suntik Vaksin PM Berubah Warna?

2,935

Dalam kes suntikan vaksin kepada Perdana Menteri petang semalam, ada pihak yang keliru tentang mengapa picagari yang digunakan untuk tarik ubat vaksin berbeza dengan picagari yang digunakan untuk suntik otot lengan Perdana Menteri.

Seolah-olah picagari yang digunakan ditukar oleh jururawat secara sengaja. Ada pula yang terkeliru dengan warna jarum sehingga dia menyangka warna BIRU dan OREN itu adalah warna vaksin itu sendiri, bukan jarum.

Penjelasan sebenarnya adalah mudah. Ini bukan isu muslihat atau konspirasi. Ini sekadar teknik suntikan ubatan yang mengikut prinsip kejururawatan sebenar dengan betul.
Begini.

Dalam prinsip suntikan ubatan, tak kisah lah sama ada ubat vaksin ke, ubat insulin ke, ubat apa-apa sekalipun, antara prinsip yang wajib jururawat ikut untuk pastikan suntikan ubat berkesan adalah MENUKAR JARUM SUNTIKAN.

Seperti dalam kes Perdana Menteri tadi, jarum pertama yang digunakan untuk tarik ubat kedalam picagari adalah berwarna BIRU. Jarum yang digunakan untuk cucuk kulit Perdana Menteri pula adalah berwarna OREN.

KENAPA?

Ada 3 sebab kenapa jururawat perlu tukar dari jarum pertama ke jarum kedua sebelum suntikan diberikan.

PERTAMA

Untuk kekalkan kebersihan jarum.

Jarum pertama yang digunakan untuk cucuk mulut botol (vial) ubat vaksin tu sudah tercemar, jadi ia tidak boleh digunakan untuk disuntik pada pesakit. Jika tidak, ia boleh mengakibatkan jangkitan pada kawasan suntikan. Jangkitan yang teruk boleh mengakibatkan pembentukan luka dan abcess (kumpulan nanah bawah kulit / dalam otot).

KEDUA

Jarum telah menjadi tumpul.

Jarum pertama yang digunakan akan menjadi tumpul selepas suntikan pertama, sama ada menembusi getah mulut botol ubat atau kulit pesakit. Jika jarum yang tumpul digunakan untuk suntik pesakit, ia boleh mengakibatkan kesakitan.

KETIGA

Saiz dan lubang jarum (lumen) berbeza.

Setiap jarum mempunyai saiz tersendiri mengikut kod warna. Saiz ini menentukan keluasan lubang jarum yang perlu dilalui oleh ubatan. Saiz jarum juga mempengaruhi tahap kesakitan pesakit apabila disuntik.

Lebih besar jarum, lebih sakit rasa disuntik. Jarum warna BIRU mempunyai lumen yang lebih besar dari OREN, jadi ia digunakan untuk memudahkan proses menarik ubat dari botol. Setelah selesai, jarum BIRU ditukar kepada jarum OREN yang mempunyai saiz lebih kecil supaya dapat mengurangkan sakit yang dialami oleh Perdana Menteri apabila disuntik.

Sekian.

Ruangan komen telah ditutup.