Kenapa Industri Komik Negara Tak Maju?

1,708

Minggu ini topik komik memang hangat diperkatakan. Dari komik propaganda Belt and Road China yang dinaratif secara tak subtle dari Superman Hew, kepada kenyataan Menteri Pendidikan Maszlee Malek tentang ‘manga Korea’ (sebenarnya manhwa), komik memang isu yang cukup hangat pada minggu ini.

Sebenarnya kalau tak kerana saya break up dengan ex makwe saya tahun 2002 dulu, saya dah lama jadi pelukis komik instead jadi penulis novel. Masa saya sekolah dulu di Cheras Perdana, di Tingkatan 4 ada tiga orang melukis komik. Epul, Apis dan saya.

Lukisan Apis gaya seperti Ujang, gaya lawak bersahaja, gaya macam Lawak Kampus, sempoi dan menghiburkan. Lukisan Epul selalu orang puji sebab cantik sebab dia memang ada bakat melukis. Lukisan saya so-so tapi orang selalu puji jalan cerita.

Masa saya habis SPM saya adalah juga mengikuti kelas melukis manga yang kemudiannya saya cuba buat secara passion lalu kenal dengan seorang makwe. Tapi disebabkan putus dengan makwe ini maka saya pun berhenti melukis dan fokus kepada penulisan dalam blog Geocities pada ketika itu.

Saya juga meminati semua jenis komik baik style Melayu seperti Ujang atau Gila-Gila, style urban macam Gempak, Kreko atau manga Jepun, manhwa Korea atau komik Hong Kong seperti Raja Rimba dan Pedang Setiawan.

Kalau Barat pula saya lebih condong ke arah komik yang jalan ceritanya dark macam Hellboy. Tapi kalau mainstream DC lah (sorry Marvel kids).

Tetapi apa yang saya nak cakap ni ialah tentang kekuatan komik yang banyak menggerakkan politik dunia sebenarnya. Komik sebenarnya adalah satu komentar sosial yang berpengaruh sejak dahulu kala lagi.

Orang melukis di dinding gua untuk mencatatkan apa yang berlaku dalam kehidupan manusia sebelum wujudnya ketamadunan. Lukisan di piramid, atau di kolum tiang Trajian, atau lukisan purba China, kerana lukisan adalah gambaran paling kuat untuk manusia mengingati pensejarahannya.

Tetapi di Malaysia sebenarnya komik di negara kita hari ini secara jujurnya amat menyedihkan. Baru-baru ini saya ada berbual dengan seorang brader yang melukis karikatur yang mencari makan melukis gambar orang ketika saya sedang basuh baju di pusat dobi.

Ada ramai lagi pelukis komik yang tidak anda kenali sedang merempat di tepi jalan dan hidup sukar tetapi teruskan sahaja hidup.

Bukanlah untuk meraih simpati atau apa, tetapi industri komik di negara kita boleh dikatakan tak berkembang sejak 2004 ke atas. Penutupan syarikat komik seperti Urban Comics (yang paling saya minat) pada tahun 2003 juga adalah satu setback kepada industri komik.

Pergolakan dalam Ujang, dan permintaan komik luar (yang ni tak boleh salahkan sesiapa sebab pasaran dah kata macam tu) juga sekaligus menyukarkan industri komik negara.

Tetapi entah kenapa dalam dunia yang sudah berubah jauh ni, industri komik masih seperti ini. Sedangkan Jepun dan Korea sudah ada webtoons tapi kita masih macam tahun 90an.

Nak kata orang Malaysia ni tak minat komik, tiap kali Comicon kat KLCC penuh je orang tak kira kaum pakai cosplay macam-macam (saya pernah pakai cosplay Giant, so yeah).

Komik di Amerika adalah industri billion dolar. Komik di Jepun adalah industri billion dolar. Kenapa Malaysia masih lagi nak harap anak jadi engineer atau pakar IT je? Kenapa tidak diteroka bakat-bakat yang ada ni?

Sebab negara kita hanya nak jadi consumer sahaja. Apa yang Jepun keluar, kita hadam. Apa yang Amerika keluar, kita hadam. Kita tak ubah macam negara yang hanya tahu beli tapi tak tahu nak hasilkan apa-apa. Masyarakat kita tak menilai seni dan sastera.

Padahal kalau nak cerita lah kesenian Melayu misalnya, dari malam ni sampai ke siang besok tak habis. Kesenian Cina lagilah, beribu-ribu tahun. Kesenian India pun panjang macam Mahabhrata dan Ramayana.

Tapi kenapa walaupun kita ada tiga etnik terbesar dari tiga ketamadunan yang mempunyai kesasteraan yang tinggi, melahirkan masyarakat yang buta seni, buta sastera dan hanya tahu consume produk luar sahaja?

Sebab selama berpuluh tahun kita telah dimomokkan bahawa sastera dan seni tidak majukan bangsa. Budak sains sahaja yang dapat layanan baik daripada para guru. Berpuluh tahun seni sastera telah dianjingkan pemimpin kita.

Dan jangan marahlah kalau orang Melayu lebih rela tengok filem Indonesia daripada filem Melayu Malaysia, orang Cina lebih rela tengok filem Hong Kong atau Taiwan, orang India suka tengok filem dari Tamil Nadu Kollywood. Masyarakat pun lebih gemar layan filem Korea, Bollywood, Jepun, dan Amerika.

Kalau nak art sikit, layanlah filem Parsi atau Perancis.

Senang cerita, orang seni kita tidak ada keyakinan sebab kita jarang diberi peluang. Sebab tu bukan main bangga kita nak claim Michelle Yeoh orang Ipoh masa dia berlakon filem James Bond, atau siapa mamat Sarawak yang berlakon filem Crazy Rich Asians tu, lupa namanya. Kita asyik nak claim kejayaan orang kita yang berada di luar.

Kenapa tidak hasilkan komik terbaik kita di sini, filem terbaik kita di sini, dan novel terbaik kita di sini?

Jawapan selalu kita dengar: market.

Market ni kalau kita nak tunggu penduduk kita macam penduduk Indonesia, memang seorang daripada kita kena lahir tujuh orang anak. Mana mungkin macam tu.

Jadi apa yang harus kita lakukan? Translate produk kita untuk pasaran luar? Jajah negara lain dan paksa negara lain guna Bahasa Melayu seperti imperialis Inggeris buat?

Bagaimana?

Sementara itu, teruskan berpolemik tentang komik propaganda Superman Hew. Sementara pelukis komik yang saya jumpa kat kedai dobi tu masih struggle nak teruskan kehidupan.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.