Saya ada tonton satu video ceramah agama. Dalam ceramah tersebut, Ustaz yang memberi ceramah itu mengatakan bahawa kita kini berada di akhir zaman. Dajjal akan keluar, dan ramai umat Islam yang akan termakan dengan fitnah Dajjal.

Dajjal (atau Anti Christ dalam ajaran Kristian) merupakan satu makhluk dalam kepercayaan Islam yang akan keluar pada akhir zaman dan membawa fitnah ke atas muka Bumi, dan merupakan salah satu tanda besar kiamat.

Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa Dajjal akan datang membawa fitnah. Namun, beberapa perkara yang diperkatakan dalam ceramah tersebut membuatkan saya tercengang. Ustaz yang memberi ceramah itu kemudiannya mula berkongsi cerita mengenai High Frequency Active Auroral Research Program (HAARP).

Menurut beliau, HAARP ini fungsinya pelbagai, seperti HAARP boleh menghasilkan gempa bumi, HAARP boleh buat ribut taufan, HAARP boleh buat kemarau dan salji, dan satu perkataan yang trigger inner nerd saya adalah apabila beliau sebagai seorang penceramah mengatakan bahawa HAARP boleh mengawal cuaca, dan sekaligus bakal menjadi alat yang digunakan oleh Dajjal untuk mengawal dunia.

Ada beberapa lagi ulasan lain, namun saya ambil keputusan untuk menutup video tersebut.

Dakwaan bahawa HAARP, atau apa-apa agensi dalam dunia ini mampu mengawal cuaca adalah dakwaan yang agak menyeleweng.

Kenapa?

Kerana, sedangkan nak ramal cuaca untuk esok hari sahaja pun sukar, apa yang menyebabkan kita fikir kita mampu untuk mengawal cuaca?

Ya tuan puan sekalian. Kita, dengan segala teknologi yang ada pada hari ini, hatta HAARP sekalipun, belum lagi mampu untuk memberi ramalan cuaca dengan ketepatan 100%.

Bagaimana Ramalan Cuaca Berfungsi?

Ramalan cuaca di Malaysia merupakan salah satu bidang tugas pihak Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia). Selain membuat ramalan cuaca, pihak MetMalaysia juga berperanan untuk membuat amaran dan hebahan sekiranya berlaku ribut atau gempa bumi, seperti yang sering terjadi di Sabah.

Jadi, soalan besar kita adalah, bagaimana mereka membuat ramalan?

Terdapat banyak cara untuk meramal cuaca, pada zaman serba canggih ini ramalan cuaca juga menggunapakai konsep pemodelan matematik. Maksudnya di sini adalah, bacaan beberapa pembolehubah seperti kelajuan angin, suhu, kelembapan sesuatu kawasan dan arah pergerakan angin akan diambil, seterusnya data-data tersebut akan digunakan oleh komputer-komputer berkuasa tinggi yang telah diprogramkan untuk menentukan keadaan cuaca pada masa hadapan.

Seorang peramal cuaca (forecaster) perlu mempunyai kemahiran yang tinggi untuk menganalisa data secara real-time dan mencernaproduk-produk model cuaca yang menceritakan arah pergerakan angin dan pelbagai lagi ciri khusus cuaca.

Kenapa kena kaji arah pergerakan angin?

Kerana, pergerakan angin akan turut membawa wap-wap air yang kemudiannya membentuk awan, jadi ia merupakan salah satu faktor yang akan memainkan peranan penting dalam proses pemodelan cuaca. Pergerakan angin pula akan dipengaruhi oleh faktor lain seperti  tekanan udara dan kelembapan, sebagai contoh andaikata udara lembap, partikel udara akan jadi lebih berat dan angin akan mengalami kesukaran untuk bergerak membawa udara yang berat itu.

Jadi, kalau kita perasan, kesemua parameter ini saling berkait antara satu sama lain, dengan dinamik satunya bertembung dengan dinamik parameter yang lain, dan ini membuatkan tugas sebagai seorang Pegawai Metereologi bukanlah satu tugas yang mudah.

Satu lagi aspek yang menyebabkan tugas meramal cuaca ini adalah tugas yang sukar adalah kerana wujudnya satu masalah alam yang dipanggil sebagai Chaos.

Menurut cerita, Edward Lorentz, seorang ahli metereologi, sedang melakukan pemodelan cuaca (ramalan cuaca) pada tahun 1961. Lorentz melakukan pemodelan tersebut dengan komputer digital, dan membuat simulasi menggunakan data sedia ada, dan dia ingin melihat apa yang bakal terjadi dalam tempoh sebulan berikutnya.

Setelah Lorentz memasukkan datanya dan sementara menunggu data model cuacanya siap diproses oleh komputer beliau, Lorentz keluar sebentar untuk makan tengahari. Setelah balik dari makan tengahari, Lorentz melihat data yang dikeluarkan oleh komputernya dan mendapati data yang dikeluarkan oleh komputernya seperti tidak masuk akal.

Apabila semakan semula dilakukan, Lorentz dapati masalah utama yang menyebabkan datanya tidak seperti yang dia sangka adalah kerana masalah titik perpuluhan. Data mentah yang dimasukkan oleh Lorentz merupakan data dengan enam titik perpuluhan, sebagai contoh, 0.506127, hanya dibaca sebagai tiga titik perpuluhan, 0.506.

Meskipun beza data yang Lorentz masukkan dengan data yang dikira oleh komputer itu adalah amat sedikit, Lorentz mendapati bahawa nilai yang sedikit itu lama-lama jadi bukit, sekaligus merubah terus model cuaca yang sedang dia bina.

Perkara yang ditemui oleh Lorentz itu, yang kini dikenali sebagai Chaos Theory, merupakan satu manifestasi dari alam, cubaan untuk alam mengatakan bahawa andaikata berlakunya perubahan yang teramat kecil sekalipun mampu melakukan perubahan yang teramat besar dalam sistem. Dalam bahasa yang lebih elegant, “Kepakan rama-rama di Johor Baharu, mungkin boleh menyebabkan ribut taufan di Perlis.” (What..?) Hal ini dipanggil sebagai Butterfly Effect.

“Tapi, kalau manusia tak mampu nak kawal cuaca, pembenihan awan tu apa?”

Pembenihan awan sebenarnya adalah salah satu contoh usaha manusia untuk mengubah cuaca. Mengubah, bukannya mengawal ya. Kawal itu contohnya seperti kita boleh menggerakkan awan dan membuat hujan di kawasan tertentu dengan jumlah hujan yang tertentu. Sedangkan pembenihan awan ini adalah proses menambah ejen buatan yang bersifat higroskopik atau menyerap wap air.

Dengan berlakunya pembenihan awan, kita mengharapkan kandungan titisan air di udara akan bertambah dan akan berlakunya hujan, dan hal ini selalunya terjadi ketika musim jerebu dan kemarau. Pembenihan awan juga merupakan satu-satunya teknik mengubah cuaca yang diketahui berjaya dilaksanakan oleh manusia, meskipun terdapat kebarangkalian untuk tidak berjaya dan perlu dilaksanakan secara berterusan sehinggalah objektif pembenihan tercapai.

Bahkan, perlu diingatkan bahawa proses pembenihan awan bukan murah. Sewaktu jerebu baru-baru ini, kerajaan membelanjakan sekitar RM80,000.00 untuk setiap operasi dalam usaha mengurangkan kesan jerebu. Pembenihan awan juga tidak boleh dibuat secara sesuka hati (sepertimana yang disangka oleh sesetengah orang), kerana terdapat banyak faktor yang akan mempengaruhi kejayaan sesuatu program pembenihan awan, seperti contoh atmosfera yang kering akan membantutkan proses pembenihan awan.

Jadi, adakah mustahil untuk manusia mengawal cuaca?

Mengawal cuaca sebenarnya adalah mustahil. Hatta dengan pembenihan awan sekalipun manusia belum mampu untuk mengawal cuaca. Terlampau mudah untuk kita mendakwa itu dan ini, sedang hakikatnya, orang yang benar-benar melakukan tugas dalam bidang tersebut sendiri menyanggah perkara-perkara tersebut.

RUJUKAN:

Jabatan Metereologi Malaysia. http://www.met.gov.my/home

“Pembenihan Awan.” http://www.met.gov.my/pendidikan/sainsatmosfera/pembenihanawan

“RM 80,000 kos Operasi Pembenihan Awan”. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/09/499013/rm80000-kos-operasi-pembenihan-awan

“Metereology”, National Geographic. https://www.nationalgeographic.org/encyclopedia/meteorology/

“Edward Lorenz, father of chaos theory and butterfly effect, dies at 90”, MIT News. http://news.mit.edu/2008/obit-lorenz-0416

HAARP. https://www.gi.alaska.edu/facilities/haarp


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.