Kenapa Doktor Masukkan Jarum Di Tangan Pesakit?

481

Sekiranya anda seorang pesakit di hospital, mahupun pernah menjadi seorang pesakit di hospital, pasti anda pernah mengalami dan merasa jarum yang tertusuk di tangan, lengan, kaki mahupun leher anda, dan melalui jarum inilah, jururawat memasukkan ubat, dan air yang mengandungi garam galian untuk mengelakkan anda kekeringan atau dehidrasi

Jarum ini kita panggil canula, atau branula, dan biasanya kalau anda terdengar doktor berkata kepada anda sekejap lagi dia nak masukkan line/jarum, itu bermakna dia akan mencucuk anda sebentar lagi, bersedialah.

Namun anda jangan ingat doktor tersebut membenci anda mahupun menyampah tengok anda, kerana itu dia nak menyakitkan anda, tidak sama sekali, branula ini sangat penting fungsinya

Ada beberapa jenis jarum ini dan saiznya mengikut warna seperti yang ditunjuk di gambar. Ianya diukur dalam unit gauge, bermakna makin kecil nombornya, makin besarla jarumnya. Contohnya jarum oren bersaiz 14 G, lebih besar daripada jarum bewarna pink yang bersaiz 20G.

Ya, anda jangan ingat warna itu ibarat charm-charm di pandora, yang menjadi accessory dan boleh anda padankan warnanya mengikut warna tudung, baju atau warna kulit anda (sila rujuk gambar di bawah).

Jadi, di wad pediatrik, atau bayi, biasanya doktor akan memasukkan branula bewarna kuning bersaiz 24 G. Anda pasti tertanya-tanya bukan, mengapakah di wad orang dewasa, atau semua pesakit, doktor tidak memasukkan jarum yang paling kecil sekali, yalah, kurang sakitnya. Mengapa doktor mesti memilih jarum yang sebesar lengan (itulah gaya ceritanya) kepada pesakit?

Jarum yang kecil bermakna ubat-ubatan dapat diberikan dengan perlahan sekali, dan mempunyai risiko tersumbat yang tinggi. Dan sekiranya anda orang dewasa, biasanya doktor akan melihat terlebih dahulu salur darah anda, dan biasanya branula bewarna hijau atau pink akan dimasukkan.

Jadi mempercepatkan kerja jururawat memberi ubat-ubatan dan juga kurang risiko jarum tersumbat yang akan menyebabkan anda dicucuk semula. Jarum yang tersumbat biasanya adalah disebabkan pengumpulan platlet darah anda yang membeku didalam jarum tersebut, itulah sebabnya doktor akan memasukkan sedikit cecair selepas jarum berjaya dimasukkan, cecair tersebut mengandungi bahan untuk mencairkan darah, jadi mengelakkan pembekuan darah di dalam jarum.

Jarum yang besar juga berfungsi sebagai tempat masuk untuk cecair yang pekat seperti darah dimasukkan ke badan anda. Biasanya jarum bewarna hijau dimasukkan untuk memberi darah kepada anda.

Jadi, bagaimana pula jarum kelabu dan oren? Yang besar dan selalunya terletak di leher anda? Ini bermaksud, sebagai langkah resusitasi, kadang-kadang salur darah di tangan dan di kaki anda turut kempis, dan doktor tiada pilihan lain selain daripada memasukkan branula di salur darah anda yang agak besar yang terletak di leher anda.

Ini kerana alam keadaan kecemasan, semuanya harus cepat, cecair ubat-ubatan mahupun darah perlu dimasukkan dalam badan anda dengan pantas

Jadi, sekarang anda faham kenapa doktor memasukkan jarum dan meninggalkannya di tangan anda, sama ada untuk tujuan memasukkan ubat, tujuan mengambil darah dengan kekerapan yang tinggi (dalam kes denggi contohnya), memasukkan cecair pengganti mahupun darah, mahupun mengukur tahap isipadu cecair di badan anda.

Jadi, sebagai pesakit atau waris pesakit, sekiranya di bahagian jarum tersebut ternampak kemerah-merahan, mahupun bengkak, silalah beritahu jururawat kerana barangkali ianya sudah dijangkiti kuman mahupun sudah tidak berfungsi lagi

Untuk pelawat dan pesakit juga, janganlah anda belek jarum tersebut sehingga menyebabkan kedudukannya beralih, dan elakkan plaster di tangan anda daripada terkena air.

Pesanan ini bukanlah bertujuan untuk menjimatkan jarum di hospital, sebaliknya mengelakkan anda mengalami kesakitan sekali lagi kerana jarum yang lama sudah beralih dan bengkak, dan jarum yang baru perlu dimasukkan

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.