Kenapa Doktor Kedekut Antibiotik?

699

Pernahkah anda mengalami peristiwa begini, yang mana anda pergi mendapatkan rawatan akibat demam selsema dan batuk di sebuah klinik, tetapi anda rasa kecewa apabila doktor hanya memberi anda ubat selsema, ubat batuk dan ubat demam. Anda rasa bengang terhadap doktor tersebut memandangkan klinik yang anda pergi itu bukan klinik percuma, sebaliknya klinik berbayar.

Dan ayat-ayat sebegini mulai muncul.

“La, kalau setakat panadol baik aku beli kat kedai runcit je”

“Kenapa tak bagi antibiotik, bukan ke demam macamni adalah disebabkan jangkitan kuman. Nak lawan kuman pastilah perlukan antibiotik. Kenapa kedekut sangat nak bagi?”

Jadi, di sini saya ingin memberi penjelasan mengapakah doktor membuat keputusan untuk tidak memberi antibiotik kepada anda.

Pernahkah anda mendengar ayat ‘what doesn’t kill you makes you stronger’? Kalau kita terjemahkan dalam bahasa melayu bermaksud apabila seseorang mahupun sesuatu itu berjaya menangani sesuatu tekanan dan stress, dia akan menjadi lebih kuat. Apa-apa benda yang boleh menyebabkan kematian, jika berjaya dihadapi akan menjadikannya semakin kuat dan kental.

Konsep yang sama digunapakai dalam sifat-sifat kuman dan mikroorganisma dalam menghadapi antibiotik ini. Dalam kata lain, sekiranya sesuatu organisma ini berjaya hidup tanpa dibunuh oleh antibiotik, spesis ini akan berkembang menjadi sesuatu yang lebih kuat.

Kita cuba pelajari mengenai satu jenis kuman yang begitu kuat bernama methicilin-ressistant Staphylococcus aureus atau nama mudahnya MRSA. Kuman ini amat terkenal kerana di awal penciptaan antibiotik, iaitu generasi pertama ubat penicillin bernama methicilin, para doktor menggunakannya terlalu kerap sehingga kuman yang pada awalnya boleh dibunuh, kini tidak lagi.

Bagi staf kesihatan, kita tahu bahawa antibiotik yang sesuai untuk membunuh MRSA ini adalah satu jenis antibiotik kuat bernama Vancomycin. Apa yang mengerikan adalah munculnya beberapa kes yang didokumentasikan di Amerika Syarikat bahawa ada beberapa pesakit dijangkiti dengan kuman bernama Vancomycin-Resistant Staphlococcus aureus (VRSA), yang mana para doktor tidak berjaya merawati pesakit ini, VRSA ini digelar superbug di kalangan doktor-doktor pakar di sana.

Satu fakta yang amat menakutkan adalah di mana penyelidikan para saintis mendapati bahawa kemunculan bakteria-bakteria baru ini lebih banyak dan cepat berbanding perciptaan antibiotik yang baru. Hal ini amat menakutkan apabila kes di mana mana-mana pesakit yang dijangkiti kuman-kuman baru ini tiada rawatan.

Tapi mengapa? Mengapa kemunculan kuman-kuman baru ini terlalu cepat? Jawapannya adalah akibat kebiasaan pihak doktor atau pesakit sendiri juga yang memandang remeh perkara ini, serta kekurangan pengetahuan mengenai perbuatan yang dianggap biasa tetapi sebenarnya boleh membinasakan diri mereka.

Sebab yang pertama adalah perbuatan pesakit yang tidak menghabiskan antibiotik. Setiap antibiotik dirumus khas perlu dimakan dalam jangka masa tertentu, seperti 3 hari, 5 hari dan seminggu. Apabila antibiotik tidak dihabiskan, kuman-kuman yang menjangkiti badan kita akan berubah menjadi lebih kuat, dan risiko untuk kuman ini berpindah kepada orang lain amat tinggi.

Kedua, adalah kebiasaan para doktor yang terlalu banyak memberi antibiotik. Penyakit seperti demam selsema kebanyakkan masanya adalah disebabkan oleh virus, berbanding bakteria, parastit atau fungus. Virus tidak boleh dirawat menggunakan antibiotik, sebaliknya hanya mengharapkan sistem imunisasi badan kita untuk membina antibodi melawan penyakit ini.

Pembinaan antibodi ini mengambil masa, dan dalam masa tersebut, doktor hanya memberikan ubat-ubatan khusus untuk merawat gejala penyakit tersebut seperti ubat batuk, ubat selsema dan demam. Perbuatan ini hanyalah untuk membuatkan pesakit selesa sementara menunggu badan membina antibodinya.

Ketiga adalah kerana sikap segelintir pengguna yang terlalu taksub untuk menggunakan sabun anti-bakteria di mana-mana sahaja. Kita pasti pernah mendengar tentang kekuatan sabun yang diperkatakan boleh membunuh 99.9% kuman, Dalam 99.9% kuman yang dibunuh, tak semuanya akan mati. Dan apabila yang tak mati ini berjaya mengharungi bahan pencuci berkenaan, semestinya kuman ini akan berubah menjadi sesuatu yang lebih kuat.

Bukan tidak boleh, tetapi adakalanya penggunaannya terlalu meluas. Saya pernah terjumpa ada dikalangan masyarakat yang sampai dinding rumahnya pun dicuci dengan sabun atau bahan peluntur ini yang digelar antiseptik. Adakalanya selepas sesuatu pasangan itu baru dikurniakan anak, ibubapa terlalu obses menjaga mereka sehingga ke tahap rumah mereka menjadi ibarat sesebuah bilik isolasi atau bilik bersih (clean room) untuk membesarkan anak. Sekali lagi saya tekankan disini bahawa bukan tidak boleh, tetapi berpada-pada.

Cuba anda bayangkan, sekiranya kita masih meneruskan lagi penggunaan antibiotik atau antiseptik sewenang-wenangnya, apakah yang bakal berlaku untuk generasi akan datang? Apakah yang akan berlaku pada zaman 5 hingga 10 tahun akan datang?

Jadi, kita sebagai masyarakat yang celik jikalau boleh, gunakan antibiotik sekiranya diberi oleh doktor sahaja, jangan cepat melenting apabila anda tidak diberi antibiotik kerana antibiotik bukannya pil ajaib yang mampu menyembuhkan apa-apa penyakit sahaja apabila anda demam.

Keputusan yang dibuat oleh doktor mahupun farmasi adalah sebagai satu langkah keselamatan untuk melindungi masyarakat dengan cara menghalang perkembangan kuman-kuman baru yang terlalu cepat.

Notakaki – Makan antibiotik pada waktu yang ditetapkan. Makan terlalu awal tidak boleh memeranjatkan kuman-kuman di dalam badan kita 😛

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.