Kenapa China Claim Laut China Selatan?

1,564

Pertikaian wilayah di Laut China Selatan dapat dibahagikan kepada tiga kawasan utama. Pertama ialah Kepulauan Spratly yang menjadi rebutan antara China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Brunei dan Malaysia. Kemudian yang kedua ialah Kepulauan Paracel yang menjadi rebutan antara China dengan Vietnam. Manakala yang ketiga ialah Scarborough Shoal yang menjadi rebutan antara China dengan Filipina.

Kepulauan Spratly mempunyai 750 buah pulau kecil yang hanya seluas 4 km persegi dan terumbu karang. Manakala Kepulauan Paracel pula mempunyai 30 buah pulau kecil yang ditadbir oleh China namun dituntut oleh Vietnam atas faktor sejarah dan undang-undang laut antarabangsa. Setiap negara yang menuntut sama ada Paracel atau Spratly mahupun Scarborough Shoal mempunyai asas tuntutan masing-masing.

Asas tuntutan meliputi faktor sejarah dan undang-undang laut antarabangsa. China telah menggunakan faktor sejarah dan undang-undang laut antarabangsa bagi memperkukuhkan tuntutannya di Laut China Selatan. Namun faktor sejarah dilihat lebih dominan dalam memperkuatkan lagi asas tuntutan China terhadap Laut China Selatan. Sembilan garis sempadan China bertindih dengan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) negara Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Garis sempadan yang dikeluarkan oleh Beijing amat berkait rapat dengan asas tuntutannya iaitu pulau-pulau di Laut China Selatan adalah milik China berdasarkan sejarah lampau. Hal ini membuktikan bahawa China bukan sahaja terlibat dalam pertikaian di Spratly, Paracel dan Scarborough Shoal, malahan menuntut hampir seluruh Laut China Selatan.

China mengukuhkan tuntutannya di Laut China Selatan dengan mengemukakan pelbagai bukti sejarah berkaitan pemilikkan pulau-pulau di Laut China Selatan dan laut tersebut sebagai laluan utama dinasti-dinasti di China suatu ketika dahulu. Menurut sumber sejarah China, Scarborough Shoal atau Pulau Huangyan yang kini menjadi rebutan antara China dengan Filipina merupakan pulau yang pernah menjadi milik Dinasti Yuan.

Pulau tersebut muncul dalam peta Dinasti Yuan pada tahun 1279 Masihi (M). Peta tersebut telah digunakan oleh para nelayan dari tanah besar China dan pulau Taiwan menunjukkan bahawa kawasan pulau Huangyan menjadi tempat penangkapan ikan oleh para nelayan China dan Taiwan sejak dahulu lagi.

Gambar 1: Sembilan garis sempadan China yang bertindih dengan ZEE negara Vietnam, Filipina, Brunei dan Malaysia. Garisan sempadan ini dibuat berdasarkan tuntutan sejarah (historical claims) China. Walau bagaimanapun tuntutan tersebut bercanggah dengan undang-undang laut antarabangsa.


Pada ketika itu pulau tersebut digelar sebagai Pulau Zhongsha sebelum kerajaan China menukarkan nama pulau tersebut kepada Huangyan pada tahun 1983. Seorang jurutera, ahli astronomi dan ahli matematik bernama Guo Shoujing yang berkhidmat dibawah pemerintahan Kublai Khan telah dihantar ke pulau Huangyan untuk tujuan tinjauan sekali gus meletakkan pulau itu ke dalam peta Dinasti Yuan. Filipina menggunakan peta keluaran tahun 1820 M bagi menentang asas tuntutan sejarah China walhal peta tersebut tidak seharusnya digunakan oleh Filipina kerana peta yang dikeluarkan oleh China 541 tahun lebih awal berbanding peta yang dikeluarkan oleh Sepanyol yang menjajah Filipina.

Filipina sepatutnya tidak boleh menuntut Scarborough Shoal atau Huangyan kerana China mempunyai tiga perjanjian yang dapat mengukuhkan lagi tuntutannya iaitu Perjanjian Paris 1898 antara Amerika Syarikat dengan Sepanyol, Perjanjian Washington 1900 antara Sepanyol dengan Amerika Syarikat dan Perjanjian 1930 antara Britain dengan Amerika Syarikat yang membataskan had sempadan wilayah Filipina hanya sehingga longitud 118 darjah garisan meridian. Namun asas sejarah China tercabar disebabkan Filipina menggunakan United Nation Convention on the Law of the Sea 1982 (UNCLOS III) dalam menuntut Scarborough Shoal.

Sebuah atlas yang diterbitkan oleh sebuah penerbitan Amerika Syarikat pada tahun 1994 jelas menunjukkan bahawa Pulau Huangyan dan beberapa buah pulau yang berada di Laut China Selatan merupakan sebahagian daripada wilayah milik China. Atlas bertajuk Illustrated Atlas of the World, diterbitkan oleh Rand McNally di Chicago menunjukkan bahawa Pulau Huangyan, Nansha (Spratly) dan Xisha (Paracel) berada dibawah penguatkuasaan China.

Atlas itu juga menunjukkan bahawa Huangyan atau Scarborough Shaol bukan milik Filipina. Seorang professor bernama Chia Chi Tsui berkata, Perlembagaan Filipina tahun 1935 menerima had sempadan Filipina seperti yang termaktub dalam Perjanjian Paris 1898, Perjanjian Washington 1900 dan Perjanjian 1930. Nama pulau-pulau tersebut ditulis dengan nama China pada peta tersebut. China juga menggunakan isi kandungan Deklarasi Kaherah 1943 yang telah ditandatangani oleh pemimpin Republik China (Jiang Jie Shi/Chiang Kai Shek), Amerika Syarikat (Franklin D. Roosevelt) dan Britain (Winston Churchill) bagi mengukuhkan lagi tuntutannya terhadap Laut China Selatan.

Isi kandungan deklarasi tersebut antaranya menjelaskan mengenai wilayah-wilayah milik China yang telah dirampas oleh Jepun sejak tahun 1914 seperti Manchuria, Formosa dan Pescadores yang akan dipulangkan semula kepada China selepas Jepun berjaya ditewaskan. Dalam hal ini, pulau-pulau di Laut China Selatan yang ditakluki oleh Jepun sejak tahun 1939 sehingga 1945 perlu dipulangkan kepada China, memandangkan pihak China menganggap pulau-pulau terbabit sebagai miliknya sejak dahulu lagi.

Oleh sebab itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama dengan angkatan tentera laut dan kerajaan wilayah Guangdong telah melantik Xiao Ciyi dan Mai Yunyu sebagai Pesuruhjaya Khas ke Xisha dan Nansha pada tahun 1946 bagi mengambil alih dan menegakkan kedaulatan China di kepulauan terbabit. Pada tahun 1947, Kementerian Dalam Negeri Republik China telah menamakan semula 159 buah pulau yang berada di Nansha atau Spratly.

Republik China kemudiannya telah menerbitkan satu peta mengenai laut wilayah China di Laut China Selatan. Pada ketika itu, Amerika Syarikat tidak membantah tindakan yang dilakukan oleh Republik China, malahan Amerika Syarikat mengiktiraf kehadiran tentera Republik China di Laut China Selatan. Hal ini kerana Republik China merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat di Asia Timur semasa dan selepas perang dunia. Amerika Syarikat amat memerlukan sekutu bagi menghadapi ancaman komunisme yang diketuai oleh Kesatuan Soviet pasca perang dunia kedua. Oleh sebab itu, kehadiran tentera Republik China amat diperlukan oleh Amerika Syarikat dalam membendung komunisme sekali gus pendudukan Republik China di Spratly mendapat pengiktirafan Amerika Syarikat.

Asas tuntutan sejarah China diperkukuhkan lagi dengan rekod-rekod dari pelbagai dinasti yang lebih awal daripada Dinasti Yuan mengenai Pulau Nansha atau Spratly. Rekod-rekod ini menunjukkan China merupakan negara terawal yang menjumpai Spratly dan Paracel serta menerima kepulauan tersebut sebagai sebahagian daripada wilayah China. Rekod bertajuk Yiwu Zhi (Records of Rarities) yang diterbitkan pada zaman Dinasti Han menunjukkan bahawa orang China pada era tersebut memanggil Laut China Selatan sebagai Zhanghai. Rekod-rekod lain yang menyebut Nansha berada dalam peta dan rekod China antaranya dalam buku Funan Zhuan (Perjalanan ke dan dari Funan) ditulis oleh Jeneral Kang Tai dari Kerajaan Wu Timur iaitu ketika era Three Kingdoms (220-280 M).

Buku-buku sejarah dan geografi yang diterbitkan pada zaman Dinasti Tang dan Song pula menyebut pulau Nansha (Spratly) dan Xisha (Paracel) sebagai Kepulauan Jiuruluo, Shitang, Changsha, Qianli Shitang, Qianli Changsha, Wanli Shitang dan Wanli Changsha. Nama Shitang atau Changsha amat popular semasa Dinasti Song, Yuan, Ming dan Qing bagi Kepulauan Spratly dan Paracel. Peta yang diterbitkan pada zaman Dinasti Qing antaranya pada tahun 1724, 1755, 1810 dan 1817 M jelas menunjukkan bahawa Kepulauan Nansha dianggap sebagai sebahagian daripada wilayah Dinasti Qing.

Pada tahun 1909, Gabenor Guangdong dan Guangxi iaitu Zhang Rejun telah mengarahkan komander tentera laut, Li Zhun untuk melakukan rondaan dengan 3 buah kapal perang sekitar Xisha dan pulau-pulau lain yang ada di Laut China Selatan dan telah menaikkan bendera Qing di beberapa buah pulau menunjukkan bahawa ia adalah milik dinasti tersebut. Peristiwa ini dijadikan rujukan yang menunjukkan bahawa China atau pada ketika itu Dinasti Qing melaksanakan bidang kuasanya sebagai sebuah negara berdaulat yang memiliki pulau-pulau tersebut iaitu dengan melakukan rondaan dan pemantauan sebagaimana negara-negara lain melakukan perkara yang sama dalam menjaga keselamatan wilayah masing-masing.

China juga mengatakan bahawa negaranya mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui penerbitan buku, artikel jurnal, peta dan majalah oleh negara-negara lain. Sebuah buku telah dicetak oleh Jabatan Hidrografi Tentera Laut Diraja Britain pada tahun 1912 memperihalkan mengenai aktiviti orang China di Kepulauan Spratly. Kemudian satu artikel dalam sebuah jurnal bertajuk The Far Eastern Economic Review yang diterbitkan pada 31 Disember 1973 menyebut bahawa Kepulauan Nansha adalah sebahagian daripada Wilayah Guangdong, China.

Sewaktu penjajah Perancis menguasai 9 buah pulau di Kepulauan Spratly pada April 1933, pihak tentera Perancis menemui beberapa orang China menetap di Terumbu Nanzi, Pulau Zhongye dan Pulau Nanwei serta terdapat tinggalan struktur milik China di Pulau Taiping dan Nanyue. Malahan nelayan-nelayan China yang menetap di pulau-pulau terbabit telah menentang pendudukan Perancis. Kerajaan China pada ketika itu juga membantah pendudukan Perancis terhadap 9 buah pulau terbabit.

Seterusnya satu atlas yang diterbitkan pada tahun 1965 di Perancis iaitu Atlas International Larousse menunjukkan Pulau Xisha, Nansha dan Dongsha menggunakan nama China dan bukannya nama dalam bahasa Inggeris. Manakala Buku Tahunan Dunia yang diterbitkan pada tahun 1972 di Jepun mengatakan bahawa wilayah China bukan sahaja di tanah besar malah termasuk Pulau Hainan, Taiwan, Penghu, Dongsha, Xisha, Zhongsha dan Nansha di Laut China Selatan. Terdapat banyak lagi bukti-bukti bertulis yang menunjukkan bahawa China memiliki pulau-pulau di Kepulauan Spratly namun bukti-bukti sejarah ini berdepan dengan undang-undang laut antarabangsa yang diguna pakai pada hari ini.

Kini, China menguasai Kepulauan Paracel dan beberapa buah terumbu (kini menjadi pulau) di Spratly antaranya ialah Terumbu Subi (Zhubi Jiao), Terumbu Gaven (Nanxun Jiao), Terumbu Hughes (Dongmen Jiao), Terumbu Johnson Selatan (Chigua Jiao), Terumbu Fiery Cross (Yongshu Jiao), Terumbu Cuarteron (Huayang Jiao) dan Terumbu Mischief (Meiji Jiao). China berjaya menguasai Kepulauan Paracel selepas menang dalam Pertempuran Paracel pada 19 Januari 1974 antara tentera laut China (PLAN) dengan tentera laut Vietnam Selatan. Manakala pertempuran yang meletus pada 13-14 Mac 1988 antara PLAN dengan tentera laut Vietnam telah menyebabkan China berjaya menguasai Terumbu Johnson Selatan.

https://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/2/27/Battle_of_the_Paracel_Islands.png
Gambar 2: Kawasan pertempuran antara tentera laut China dengan tentera laut Vietnam Selatan. Sebelum tahun 1974, Kepulauan Paracel terbahagi kepada dua negara. Namun selepas China menang pertempuran Paracel, seluruh kepulauan terbabit menjadi milik China. Sehingga kini, Vietnam masih menuntut Kepulauan Paracel. Tuntutan kepulauan itu juga menjadi duri dalam daging dalam mewujudkan hubungan bilateral China – Vietnam yang lebih rapat.


Kepulauan dan terumbu-terumbu yang dikuasai oleh China mempunyai kehadiran tentera yang tinggi kerana mempunyai kemudahan tentera seperti lapangan terbang, radar, tempat pendaratan helikopter, bunker, kubu bawah tanah dan kemudahan komunikasi serta penempatan peluru berpandu seperti peluru berpandu permukaan ke udara Hong Qi 9 dan peluru berpandu antikapal YJ-62 di pulau Woody atau Yongxing, Kepulauan Paracel. China turut mengatur gerak pesawat Shenyang J-11 dan Xian Jiang Hong 7 (JH-7) di pulau yang sama. Kehadiran tentera China akan tetap meningkat memandangkan Amerika Syarikat semakin berminat untuk mencabar tuntutan Beijing di Laut China Selatan.

https://i.guim.co.uk/img/media/5443c311f70a7972d9d3b78415234f96da3899eb/0_2_1920_1152/master/1920.jpg?width=700&quality=85&auto=format&fit=max&s=99e0659694f883a275938f4231b64572
Gambar 3: Terumbu milik China yang kini telah menjadi sebuah pulau.
https://i.guim.co.uk/img/media/4a0156a2ca870a2c98c2f1c6ba9d447dc8337d9a/0_26_1920_1152/master/1920.jpg?width=700&quality=85&auto=format&fit=max&s=2c7cbc6654ec0c5c65c60c77e036c78e
Gambar 4: Pulau milik China yang memiliki lapangan terbang sepanjang 3000 meter. Pesawat jenis kargo, jet pejuang, pengebom dan pengawasan dikatakan mampu mendarat  di lapangan terbang terbabit.

RUJUKAN:

Catama, M. 2016. China has deployed YJ-62 anti-ship missiles to Woody Island. http://www.aseanmildef.com/2016/03/china-has-deployed-yj-62-anti-ship.html [3 Julai 2019].

Catama, M. 2016. China deploys military jets to disputed South China Sea Island. http://www.aseanmildef.com/2016/02/china-deploys-military-jets-to-disputed.html [3 Julai 2019].

Embassy of the People’s Republic of China in the Republic of Indonesia. 2004. Historical Evidence To Support China’s Sovereignty over Nansha Islands. http://www.fmprc.gov.cn/ce/ceindo/eng/rdht/nhwt/t87272.htm [2 Julai 2019].

Embassy of the People’s Republic of China in the Republic of the Philippines. 2016. China Adheres to the Position of Settling Through Negotiation the Relevant Disputes Between China and the Philippines in the South China Sea http://ph.china-embassy.org/eng/sgdt/t1380643.htm [3 Julai 2019].

Hua Xia. 2016. U.S. atlas published in 1994 shows South China Sea islands part of Chinese territory. http://news.xinhuanet.com/english/2016-07/09/c_135500215.htm [3 Julai 2019].

Hua Xia. 2016. China’s sovereignty over South China Sea islands long recognized by int’l community. http://news.xinhuanet.com/english/2016-05/14/c_135359213.htm [3 Julai 2019].

Li Jinming. 2011. Nansha indisputable territory. http://www.china.org.cn/opinion/2011-06/15/content_22789091.htm [2 Julai 2019].

Phillips, T. 2018. Photos show Beijing’s militarisation of South China Sea in new detail. https://www.theguardian.com/world/2018/feb/06/photos-beijings-militarisation-south-china-sea-philippines#img-4 [6 Julai 2019].

Tang Danlu. 2012. It belongs to China: Philippine media. http://search.news.cn/language/search.jspa?id=en&t1=0&t=1&ss=&btn=0&ct=spratly+island+dispute&n1=china+stance+for+nansha&np=content [3 Julai 2019].

Artikel dikirimkan oleh Zulfiqar Mohd Yusof untuk The Patriots. 

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.