Kenapa Burung Di Pulau Marion Cedera Teruk Macam Ni?

2,260

Gambar burung-burung yang dilihat mengalami kecederaan dengan sangat teruk ini, bukanlah disebabkan ia telah dipukul oleh manusia, atau pergaduhan yang telah terjadi sesama jenis nya sendiri demi untuk mendapatkan hak untuk mengawan.

Punca sebenar kepada kecederaan burung-burung ini lebih ‘angker’ lagi, yakni haiwan tidak berdaya ini telah digigit serta dimakan hidup-hidup oleh tikus.

Selepas rakaman dari kamera inframerah mendedahkan bahawa ia adalah tikus yang bertanggungjawab ke atas serangan keatas populasi burung-burung tersebut, ahli biologi segera menyiasat untuk mengenal pasti punca tentang mengapa burung ini diserang.

Spesies burung yang diserang oleh tikus ini adalah dari spesies-spesies terancam seperti berikut:

– Grey-Headed Albatross

– Sooty Albatross

– Wandering Albatross

– Grey Chinned Petrels

– White Chinned Petrels

Tikus rumah dari spesies Mus musculus, telah diperkenalkan ke Pulau Marion oleh kumpulan pemburu anjing laut, sejak lebih daripada 200 tahun dahulu.

Walau bagaimanapun, anehnya serangan ke atas populasi burung ini hanya dikesan seawal tahun 2003, dan serangan ini semakin meningkat saban tahun.

Tikus Mus musculus

Mengapa tikus mula menyerang burung?

1. Sumber Makanan

Berdasarkan kajian, saintis mendapati bahawa perubahan kepada iklim menyebabkan musim sejuk di Pulau Marion menjadi semakin panas. Ini bermaksud, musim sejuk yang sepatutnya membunuh dan mengawal populasi tikus, hanya membunuh sebahagian kecil daripada populasi tikus sahaja.

Kesan daripada peningkatan jumlah ini juga, telah menyebabkan sumber makanan tikus di Pulau Marion contohnya seperti benih, rama-rama dan kumbang turut berkurangan dan tidak dapat menampung keperluan populasi tikus yang semakin meningkat.

Justeru itu, dengan sumber makanan tikus di Pulau Marion semakin berkurangan, populasi tikus terpaksa beradaptasi dengan situasi dan perlu mencari sumber makanan yang baru. Akan tetapi, walaupun dengan pelbagai jenis mangsa lain di pulau tersebut, burung-burung terancam dari spesies Albatros dan Petrel ini dilihat sebagai mangsa atau sasaran yang mudah.

2. Hubungan langsung tikus & burung.

Seterusnya, faktor lain yang menyumbang kepada serangan ke atas populasi burung, ialah berlakunya hubungan langsung di antara tikus dan burung.

Apa maksudnya?

Begini..

Seperti yang telah dinyatakan di atas, tikus-tikus ini tidak dapat bertahan dengan musim sejuk di Pulau Marion. Oleh itu, untuk tikus ini melindungi dirinya daripada iklim sejuk yang membunuh, ia menggali lubang atau sarang kediamannya berhampiran atau di bawah sarang burung Albatros.

Ini kerana, suhu tanah yang berhampiran atau di bawah sarang burung itu sedikit panas, berbanding suhu tanah di kawasan terbuka. Perkara ini disebabkan oleh sarang Albatros yang terdiri daripada ranting dan rumput itu, secara tidak langsung menjadi penebat suhu sejuk yang efisien.

Manakala bagi sarang burung Petrel yang sememangnya berada di bawah tanah pula, tikus bertindak lebih ‘agresif’ dengan menjadi ‘rakan serumah’ yang tidak diundang dan mula hidup bersama-sama di dalam sarang tersebut, tanpa mempedulikan ‘tuan rumah’ atau si burung sekiranya ia masih berada di dalam sarang ataupun tidak.

Sehubungan itu, dengan tikus tersebut yang menetap berhampiran atau di dalam sarang burung itu sendiri, memberikan tikus akses mudah kepada anak burung, meningkatkan peluangnya untuk menggigit dan menyerang.

Bagi anak burung Albatros, ia akan dijaga rapi oleh kedua ibu bapanya untuk 2 bulan pertama setelah ia menetas, dan selepas itu ia akan terdedah kepada bahaya. Kerana untuk 7 bulan akan datang, kedua-dua ibu bapanya terbang jauh bagi mencari makanan iaitu ikan di laut.

Kedua ibu bapa burung Albatros ini cuma akan pulang ke sarangnya kira-kira untuk seminggu sekali sahaja, itupun selama satu jam bagi memberi makan kepada anak-anaknya. Dengan ini, anak-anak burung Albatros tidak berada dibawah pengawasan ibu bapanya dan terdedah kepada serangan tikus.

Tahun 2015 menyaksikan, serangan demi serangan tikus ke atas populasi burung ini telah menyebabkan kematian kepada lebih 10% anak burung. Sudah tentu, jumlah kematian menunjukkan peningkatan saban tahun.

Mungkin soalan ini bermain di fikiran anda;

“Mengapa burung-burung ini tidak melindungi diri dan anaknya sendiri dengan mematuk atau memakan tikus-tikus tersebut?”

Jawapan langsung kepada persoalan ini ialah, tiadanya naluri semulajadi yang membuatkan burung-burung ini untuk bertindak agresif bagi melindungi zuriatnya. Dalam erti kata lain, malangnya burung ini melihat tikus sebagai hidupan atau sesuatu yang tidak memberi ancaman kepadanya.

Anda perlu tahu bahawa untuk mana-mana spesies itu beradaptasi dengan situasi atau mengenali sesuatu ancaman itu, ia perlu berhadapan dengannya sejak dari awal lagi. Justeru itu, serangan tikus yang bermula dari tahun 2003 ini, boleh dikatakan masih belum cukup untuk burung ini mengubah perilakunya dan menganggap tikus sebagai musuh.

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Selain itu, burung-burung ini sama ada burung Albatros ataupun Petrel, ia hanya memakan ikan di laut atau dalam bahasa mudahnya, ia bukanlah pemangsa semulajadi kepada tikus.

Apakah langkah penyelesaian kepada permasalahan ini?

Secara kebetulan, ketika aku sedang menulis artikel ni, aku dikejutkan dengan sebuah berita dari Australia. Iaitu pihak berkenaan di sana sedang merangka sebuah perancangan untuk menghapuskan populasi kucing liar dengan menggunakan sosej beracun.

Dilaporkan bahawa, kucing-kucing liar ini bertanggungjawab membunuh haiwan lain seperti burung dan biawak kecil dengan jumlah yang sangat besar, seterusnya mengancam populasi hidupan dan mengganggu kestabilan ekosistem.

Dan yang menariknya adalah, Pulau Marion turut mempunyai kisah yang sama. Kerana pulau ini pernah menghadapi masalah mirip seperti di Australia. Ia berpunca daripada kucing yang diperkenalkan di pulau tersebut sebagai satu penyelesaian untuk membasmi populasi tikus.

Tidak lama kemudian, populasi kucing liar ini membiak secara tidak terkawal. Pada mulanya satu jalan penyelesaian yang baik, kini menjadi mimpi buruk oleh kerana kucing liar telah mula menyerang populasi burung. Dalam usaha untuk mencari makanan, kucing liar ini telah memburu dan membunuh burung-burung laut terancam yang menjadikan Pulau Marion sebagai habitatnya.

Dilaporkan bahawa, sejumlah 400,000 ekor burung terancam petrel telah diburu oleh kucing liar dalam masa setahun sahaja. Disebabkan itu, beberapa spesies burung petrel telah pupus dari Pulau Marion.

Sebagai langkah penyelesaian, kucing-kucing liar ini kemudiannya telah dihapuskan sama ada dengan menggunakan racun, ditembak, dan juga penyakit yakni sejenis virus (feline panleukopenia) yang menjangkiti kucing sahaja. Akhirnya pada tahun 1990-1991, populasi kucing liar di Pulau Marion ini telah dihapuskan secara total.

Akan tetapi, dengan ketiadaan pemangsanya iaitu kucing, populasi tikus kembali ‘berpesta’ di Pulau Marion. Justeru mendatangkan permasalahan seakan kitaran tanpa henti.

Tiga ekor kucing pertama yang dibawa ke Pulau Marion
(Gambar oleh Sarjan William John Deysel 1954)
Kucing yang berjaya menangkap burung Petrel.
(Gambar oleh Christo Wolfaardt 1964-1965)

Berbalik kepada burung dan tikus..

Demi untuk melindungi populasi burung-burung terancam ini dari terus dibunuh tikus, saintis mengetengahkan satu jalan penyelesaian, iaitu penghapusan populasi tikus dengan menggunakan racun.

Tetapi rancangan ini berdepan pelbagai jenis cabaran, disebabkan oleh kedudukan Pulau Marion ini yang sangat terpencil dan ia juga mempunyai saiz yang sangat besar.

Sehubungan dengan itu, makanan tikus yang beracun tersebut hendaklah dijatuhkan daripada helikopter dan ia perlu dilakukan dengan sangat tepat serta merangkumi permukaan keseluruhan pulau.

Sebabnya, jika terdapat tikus-tikus yang terselamat dari termakan racun di dalam operasi ini, ia akan kembali membiak dengan sangat cepat, menjadikan operasi ini sebagai sesuatu yang sia-sia.

Namun begitu, penggunaan helikopter di dalam operasi ini juga akan menyebabkan ia hanya dapat digunakan dalam keadaan cuaca yang baik sahaja. Kerana, keadaan cuaca di Pulau Marion kebiasaannya mempunyai tiupan angin yang kuat. Justeru, faktor keselamatan juga perlu dititikberatkan.

“Kalau guna racun ni, tak beri kesan kepada burung-burung ke?”

Seperti yang telah aku nyatakan di atas, spesies burung-burung laut ini hanya memakan ikan di laut. Oleh itu, ia tidak akan mencuba untuk makan umpan beracun atau tikus yang telah diracun itu sendiri.

Tetapi, terdapat kemungkinan bahawa spesies burung pembangkai seperti burung Lesser Sheathbill, akan berada di Pulau Marion semasa umpan beracun itu dijatuhkan. Jadi untuk mengelakkan burung ini dari termakan umpan dan tikus yang beracun tersebut, pasukan pengkaji akan mengurung spesies burung ini di dalam sebuah sangkar sementara. Ia akan disimpan dan diberi makan sehinggalah pasukan pemuliharaan Pulau Marion yakin bahawa pulau tersebut bebas dari racun.

Selepas selesai umpan beracun dijatuhkan dari helikopter, pasukan pengkaji akan terpaksa menunggu sekurang-kurangnya selama 2 tahun, untuk mengetahui sama ada strategi pemuliharaan ini berkesan ataupun tidak.

Selepas tempoh 2 tahun tersebut, baru lah mereka boleh menentukan jika serangan tikus ke atas populasi burung terancam ini telah dihentikan sepenuhnya, dan populasi serangga juga telah kembali meningkat.

Sebelum bukti-bukti bahawa hilangnya populasi tikus dapat dilihat, apa yang saintis boleh lakukan adalah tunggu dan lihat sahaja.

Helikopter yang digunakan untuk menjatuhkan pelet racun.

Dengan ini kita dapat mempelajari bahawa pengenalan hidupan atau spesies invasif kepada sesebuah pulau yang bukan datangnya habitat asal, akan mendatangkan masalah kepada ‘penduduk’ atau haiwan asal di pulau tersebut pasa masa akan datang.

Pemanasan global adalah sesuatu yang benar-benar berlaku. Jika manusia itu tidak sedar dan mula berubah dari sekarang, maka bila lagi? Jika Pulau Marion yang terpencil ini juga tidak dapat diselamatkan, maka apa harapan yang tinggal bagi planet bumi, serta tamadun manusia itu sendiri?

Bagi mereka yang berminat untuk menderma di dalam usaha pemuliharaan ini, sila ke pautan “Mouse Free Marion” yang telah disediakan.

Mouse Free Marion.

https://mousefreemarion.org.za

RUJUKAN:

South African Journal of Wildlife Research. Volume 32, Issue 1, Apr 2002.

Lost at Sea: Why the Birds You Don’t see are Fading Away? Retrieved from: https://www.nationalgeographic.com/magazine/2018/07/seabird-crisis-conservation-birds-oceans/

Saving a Remote Island’s Birds by Getting Rid of Its Mice. Retrieved from: https://www.nationalgeographic.com/animals/2018/12/eradicating-mice-to-save-birds-on-remote-marion-island/

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.