Sifat Bumi sudah lama disahkan berputar sambil mengelilingi Matahari. Faktor putaran menyebabkan kejadian siang dan malam. Faktor pengelilingan (dan kecondongan) pula mempengaruhi musim dan taburan cahaya. Ada bulan, Bumi menerima cahaya Matahari lagi banyak.

Ada bulan, kurang pula. Sebab itulah waktu solat sentiasa berubah-ubah mengikut bulan. Bukti sudah jelas dan nyata. Tetapi sekali sekala, pagar mengurung “kesilapan lama” akan terbuka dan keluarlah anasir-anasir tidak ketahuan yang menjaja kononnya Bumi tidak bergerak dan pegun… dan Matahari yang mengelilingi Bumi.

Golongan ini seolah-olah tahu yang mereka sentiasa tewas pada sains. Jadi mereka menunggang agama untuk menyampaikan hujah.

Sesiapa yang tidak setuju mudahlah mereka tempelak sebagai “pencinta sains yang menolak agama”. Untuk memurnikan hujah, mereka tabur selawat dan nama Nabi sikit sebanyak. Memang benda biasa.

Pengaruh Silam Muktazilah

Dunia Islam memasuki zaman ilmu dalam tempoh beberapa abad selepas kewαfαtan baginda Muhammad SAW. Ramai ilmuwan Islam menceduk ilmu falsafah dan sains daripada bangsa-bangsa Eropah. Kerajaan Abbasiyah sedar yang ada jurang ilmu besar antara budaya Yunani dan bangsa Arab.

Jadi mereka dengan cepat mengambil manuskrip-manuskrip Yunani untuk diterjemah agar anak-anak Arab mudah faham.

Proses penterjemahan bertambah mudah dengan ilmu pembuatan kertas yang diceduk daripada tahαηαη-tahαηαη perαηg China.

Sekadar pengetahuan, Abbasiyah menewaskan Dinasti Tang di Talas, Kyrgyzstan pada tahun 751. Salah satu manuskrip diterjemah mereka adalah Almagest, tulisan Claudius Ptolemy yang mengimarahkan ajaran Model Geosentrisme.

Claudius Ptolemy

Selama 1,200 tahun, manuskrip Almagest dianggap “buku teks astronomi” kerana ilmu Ptolemy sangat mendalam sampai ramai tidak sedar keralatannya.

Menurut Ptolemy, Bumi adalah pegun (tidak bergerak) yang terletak di tengah-tengah – dan setiap hari Matahari mengelilinginya.

Hujah Ptolemy sangat meyakinkan pada masa itu sampai orang-orang agama seperti Moshe ben Maimon pun percaya. Moshe adalah seorang ahli falsafah Yahudi yang pernah menjadi doktor peribadi Salah ad-Din al-Ayyubi (Yawar, 2008). Semua unsur ilmu cenderung ke arah geosentrisme adalah daripada Ptolemy.

Jadi sesiapa yang berpendapat Bumi pegun itu sebenarnya sedang berkiblatkan Ptolemy. Bukannya Nabi Muhammad SAW. Kalangan Muktazilah pada masa itu menyerap ilmu Ptolemy kerana nampak seolah-olah berpadanan dengan Islam (Kunitzch, 2008).

Namun kesalahan mereka boleh dimaafkan atas faktor kekurangan teknologi maju untuk menyingkap rahsia agung alam angkasa.

Teknologi ini mula menjadi nyata selepas Dunia Eropah mengambil balik takhta ilmu daripada tangan Dunia Islam. Datangnya Galileo Galilei dan Nicolaus Copernicus berjaya membetulkan balik prasangka umum tentang proses angkasaraya.

Pergerakan Bumi Yang Mengatur Hukum Semulajadi

Tidak perlu teknologi aeroangkasa yang serba seri canggih (dan mahal) untuk membuktikan keralatan Claudius Ptolemy. Cukup dengan teleskop sahaja… dan kesabaran ketika mencerap Zuhrah. Selain daripada “orbit bergelung” Marikh (Martian retrograde motion), Zuhrah menjadi bukti kukuh yang Matahari berada di pusat.

Zuhrah akan muncul pada langit Bumi pada waktu-waktu tertentu. Ada masanya, Bumi akan nampak “bahagian belakang” Zuhrah. Ada masanya, Bumi nampak “bahagian depan”. Sebab kita boleh nampak muka dan punggung Zuhrah adalah kerana planet tersebut sedang berputar dan mengelilingi Matahari.

Penampakan Muka Dan Punggung Di Langit.

Cuba tengok macam mana Zuhrah kelihatan gelap. Jika Matahari mengelilingi Bumi, mana boleh Zuhrah bergelap (macam dalam gambar) selama beberapa minggu. Patutnya setiap hari Zuhrah bercahaya (kerana Zuhrah juga mengelilingi Bumi sama macam Matahari).

Penyokong geosentrisme boleh tolong jawab soalan mudah ini. Jangan tuduh Yahudi cuba menyesatkan umat Islam dengan gambar ini pula ya. Sebab Moshe ben Maimon adalah seorang Yahudi pro-geosentrisme macam kalian. Dan beliau bukan Pakcik Musa anak Tok Maimoon yang jual mee bandung di Padang Kota tu tau.

RUJUKAN:

Kunitzch, P. (2008). Almagest: Its Reception and Transmission in the Islamic World. Encyclopedia of the History of Science, Technology and Medicine in the Non-Western Cultures. Halaman 140-141.

Yawar, A. (2008). Maimonides’ medicine. The Lancet. 371 (9615): 804.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Leave A Reply