Kita semua pernah alami situasi buli, sama ada sebagai mangsa atau pembuli. Tak kira masa atau tempat, sama ada di pejabat, sekolah atau jalan raya, zaman persekolahan atau alam pekerjaan, ia sentiasa berlaku. Ada insiden buli yang kejam sehingga membawa kepada kehilangan nyawa seperti kes Allahyarham Zulfarhan Osman yang berlaku sebelum ini. Walaupun perbuatan ini menimbulkan kemarahan dan kecaman ramai pihak, ada juga yang menyatakan buli sebenarnya bagus untuk membina perwatakan dan peribadi manusia. Dalam siri pertama artikel ini, mari kita selami maksud sebenar buli, beza buli dengan ragging, jenis buli dan punca si pembuli menjadi pembuli hari ini.

Bila kita berbicara tentang buli, apa sebenarnya itu buli? Mengikut definisi Kamus Dewan Edisi Keempat, buli bermaksud perbuatan mendera, mempermainkan atau menakutkan orang yang lemah dengan niat menggertak, mempermainkan dan menakutkan individu atau kumpulan tersebut. Ada kata buli itu sama seperti ragging tapi hakikatnya kedua-duanya berbeza. Ragging tidak memfokuskan kepada individu tertentu, sebaliknya ia menguji ketahanan dari segi emosi atau fizikal si penerima dan selalunya dilakukan dalam proses inisiasi atau latihan bina semangat. Sementara buli pula lebih kepada penderaan dengan niat memalukan atau mendatangkan kecederaan secara fizikal, mental dan emosi. Dan buli difokuskan kepada seseorang atau sesebuah kumpulan di mana ia dilakukan secara berulang-kali. Namun, ramai yang menganggap buli dengan ragging, maka tidak hairanlah ada sesetengah masih cuba menjustifikasikan perbuatan buli walaupun ia dianggap kontroversi dan tidak sensitif.

Kita anggap buli ini terhad kepada perbuatan fizikal semata-mata. Maaf, ia lebih daripada itu. Buli boleh juga berlaku secara mental dan emosi dan ia sukar dikesan berbanding buli dari segi fizikal. Perbuatan buli secara fizikal boleh dikesan menerusi kesan-kesan penderaan seperti lebam, calar atau luka pada bahagian badan, ada yang sampai ke tahap parah dan mendatangkan kematian. Bagi buli berbentuk mental dan emosi, ia boleh dilihat melalui perubahan tingkah laku individu yang dibuli. Individu sebegini bukan saja mengalami kemurungan melampau tetapi juga enggan bergaul dengan orang lain dan paling ekstrem, membunuh diri.

Kita tertanya-tanya mengapa si pembuli sanggup melakukan perbuatan sebegini rupa terhadap manusia lain. Jawapannya boleh dilihat dalam beberapa insiden yang berlaku di serata dunia. Sesetengah daripada mereka menganggap ia cara terbaik untuk mendapat penghormatan dan penerimaan daripada seseorang individu atau kumpulan tertentu. Pada pandangan mereka, apa mereka lakukan langsung tidak mendatangkan mudarat kerana mereka hanya mengikut saja apa yang orang lain lakukan. Perkara sebegini banyak dilihat terutama dalam buli secara dalam talian (cercaan/penghinaan). Buktinya, statistik menunjukkan lebih sejuta kanak-kanak atau remaja dibuli secara dalam talian dalam Facebook, 95% remaja yang menggunakan media sosial menyatakan mereka tidak mengendahkan mesej berbaur buli dan lebih 35% melakukannya secara kerap.

Kita selalu menganggap pembuli ini tidak ada keyakinan atau kurang keyakinan diri. Namun, tidak semua pembuli punya masalah sebegitu. Sesetengah pembuli yang dikesan tiada masalah ini, cuma mereka punya masa silam yang memalukan sehingga mendorong mereka membuli dengan niat ia dapat memadamkan terus trauma masa tersebut. Menurut seorang pakar psikologi, Dr Mary Lamia, pembuli suka menyerang orang lain dengan niat memadamkan terus kelemahan mereka dengan mensasarkan kelemahan mangsanya. Pada mereka, ia dapat meningkatkan lagi keyakinan diri mereka selain memastikan ego mereka tidak tercabar langsung.

Sesetengah pembuli ini dilihat turut mempunyai masalah God complex. Pada mereka, mereka adalah benar dalam semua perkara dan ada autoriti untuk melakukan apa saja bagi memuaskan ego mereka. Mereka tidak membenarkan apa-apa mencabar ego mereka dan jika itu berlaku, mereka akan membalas dengan tindakan bersifat kejam dan sadis dengan tujuan menunjukkan dominasi mereka. Mereka langsung tidak mempertimbangkan pertimbangan moral kerana pada mereka, jika ia berlaku, ia sebenarnya melemahkan mereka terutama dari segi moral dan emosi. Dan ini bukan sesuatu yang pelik kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa saja daripada orang biasa mahupun pemerintah seperti samseng jalan raya, majikan tidak bertimbang rasa atau diktator seperti Adolf Hitler atau Slobodan Milosevic. Dan ini satu fakta yang paling menakutkan, mereka tidak pernah merasa kesal atas apa yang mereka lakukan kerana mereka merasakan diri mereka mengatasi orang lain dari segi moral.

Jangan sangka masalah keluarga atau sejarah penderaan/buli tidak memberi kesan kepada perbuatan buli. Dalam sesetengah kes, bila disiasat latar belakang mereka, ada di antara mereka punya masalah keluarga atau pernah alami penderaan berbentuk fizikal, emosi atau mental. Pada mereka, buli ialah jalan keluar bagi mereka mendapat dominasi semula dalam kehidupan mereka walaupun itu bermakna melakukan perkara sama pada orang lain. Bagi individu sebegini, mereka dinafikan autoriti oleh si pendera atau masalah dalam hidup mereka sehingga menyebabkan kerosakan dalam setiap aspek kehidupannya. Bila mereka membuli orang lain tanpa mengira tempat atau masa, mereka bukan saja merasakan kuasa mereka dikembalikan tetapi juga merasai semula kepuasan menguasai aspek kehidupan mereka yang dirasakan terlepas. Dan ini ditonjolkan dalam filem Buli Balik di mana Nordin (Afdlin Shauki) membuli pembulinya, Roy (Hans Isaac) yang mengalami amnesia kerana merasakan semua aspek kehidupannya sentiasa dijahanamkan oleh Roy.

BERSAMBUNG….

SUMBER:

1. Lamia, Mary. (2017). The Guardian. The psychology of a workplace bully. https://www.theguardian.com/careers/2017/mar/28/the-psychology-of-a-workplace-bully

2. Cyberbullying Statistics. (2015). Internet Safety 101.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply