Kenapa Barang Bundle Jual Kat FB Mahal?

869

Di waktu malam yang gelap-gelita, di kala semua orang tengah tidur, saya menatal halaman Facebook saya dengan asyik. Tiba-tiba terjumpa video jualan barangan ‘bundle’ diadakan secara langsung  oleh seorang lelaki berloghatkan Melayu Pantai Timur.

Selain daripada persembahan jurujual yang menghiburkan, saya tertarik dengan harga barang-barang yang dijual kerana agak mahal bagi saya. Kendatipun begitu, isu yang dibahaskan bukanlah tentang barang ‘bundle’ kerana “kawe dok kena bare”, isu disentuh di artikel ini ialah berkenaan harga barang. Pernahkah anda terfikir, kenapa ada barang murah dan mahal walaupun mempunyai kualiti yang sama? Adilkah begitu?

Dari sudut pandang ekonomi, apa jua harga barang yang anda nampak di kedai runcit mahupun gedung beli-belah maka itulah harga pasaran iaitu harga yang orang bersedia untuk bayar. Di mata ahli ekonomi, tiada istilah harga yang adil atau berpatutan. Harga hanya bertindak secara automatik berdasarkan Hukum Penawaran dan Permintaan.

“Betulkah? Tapi kenapa kedai Sebenleben lagi mahal daripada Kedai Runcit Senah?”

Pekedai yang mengenakan harga berlebihan (overcharge) hanyalah mendorong harga sampai batasnya. Misalnya kebanyakan pekedai mengenakan harga RM 3.00 untuk barang A tetapi Sebenleben kenakan harga RM 6.00. Sebenleben akan terus mengenakan harga tersebut selagi ada permintaan (orang sanggup beli)  berterusan untuk barang tersebut pada harga tersebut. Jika tiada permintaan, maka tindakan waras Sebenleben ialah menawarkan harga lebih rendah untuk meningkatkan permintaan. Oleh itu, ahli ekonomi berpendirian bahawa untuk menentukan harga sesuatu barang adalah dengan membiarkan pasaran menentukannya kerana tiada barang di dunia ini walau emas sekalipun mempunyai nilai intrinsik.

“Jadi kalau pasaran tentukan harga beras beratus pun biarkan je? Macam menindas pula.”

Bagi ahli ekonomi yang mendokong pasaran bebas, mereka berpendapat bahawa biar pasaran yang tentukan harga kerana tiada dimensi moral tentang penawaran harga. Harga bertindak mengikut Hukum Permintaan dan Penawaran.

Fakta tambahan berkenaan harga beras di Malaysia: Di Malaysia yang mengamalkan ekonomi campuran, kerajaan telah memperkenalkan harga siling bagi beras tempatan bermula pada tahun 2008 bertujuan memastikan rakyat dan pengguna sentiasa memperoleh bekalan beras dengan harga berpatutan dan terkawal walaupun berlaku kenaikan harga beras di pasaran antarabangsa.

Penetapan Harga Berdasarkan Ekonomi Islam

Namun begitu, Islam membawa keadilan dalam berekonomi. Bagi mengimbangi kehendak peniaga yang mahukan keuntungan dan keharaman untuk menjadi tamak, maka digariskan beberapa panduan dalam penentuan harga:

  1. Tiada unsur penipuan
  2. Tiada unsur kezaliman
  3. Harga boleh diterima pada adat kebiasaan

Boleh rujuk huraian mantan Mufti Wilayah Dr. Zulkifli Al-Bakri berkenaan isu ini dalam siri Al-Kafi ke 964. Rujuk pautan yang saya sertakan di bawah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, harga sesuatu barang ditentukan oleh pasaran berdasarkan Hukum Permintaan dan Penawaran. Namun begitu, Islam mengharamkan peniaga mengenakan harga yang menzalimi pembeli. Selagi mana harga sesuatu barang boleh diterima dan bebas daripada unsur penipuan maka itulah harga yang adil dan berpatutan.

RUJUKAN:

Al-Bakri, Z. (2018, December 18). AL-KAFI #964 : UNTUNG BERLIPAT GANDA: ADAKAH ITU RIBA? Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2887-al-kafi-964-untung-berlipat-ganda-adakah-itu-riba

BERNAMA. (2020, August 27). Kajian terperinci sebelum lupus harga siling beras tempatan. Sinar Online. https://www.sinarharian.com.my/article/98516/BERITA/Nasional/Kajian-terperinci-sebelum-lupus-harga-siling-beras-tempatan

Kishtainiy, N., Abbot, G., & Farndon, J. (2018). The Economics Book: Big Ideas Simply Explained. DK.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.