Kenapa Bantuan Pendidikan Kepada SMPC Ialah Silap Besar?

0
1471
views

Belum 100 hari memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sudah melakukan dua kesilapan berhubung isu pendidikan SMPC. Pandanglah dari sudut mana sekali pun tindakan beliau itu merupakan satu tindakan drastik yang tidak bijak (bukan kurang bijak). Dr. Maszlee pasti belum pernah melawat  dan meninjau sekolah-sekolah menengah persendirian Cina ini. SMPC sama sekali tidak layak untuk diberi peruntukan kewangan. Apakah sebab terkuat yang diberikan oleh pihak Dong Zong (DZ) menyebabkan Dr. Maszlee tiba-tiba menjadi kerbau yang dicucuk hidung?

SMPC di negara kita mampu bangun dan berdiri sendiri tanpa peruntukan tersebut. Tuntutan DZ ini merupakan pemecahbelah perpaduan di negara kita. Mungkin banyak daripada kita yang tidak tahu bahawa satu masa dahulu SMPC ini pernah berikrar tidak akan tunduk kepada kerajaan walaupun mereka menghadapi kesusahan dari segi kewangan dalam membangunkan dan memajukan pendidikan mereka di negara ini. Keputusan tersebut adalah ekoran daripada arahan kerajaan agar semua sekolah swasta Cina sama ada sekolah rendah ataupun sekolah menengah menukarkan status sekolah daripada sekolah swasta kepada sekolah kebangsaan.

Sumber gambar : Penulis – Salah satu surat bantahan yang dipamerkan dalam galeri salah sebuah SMPC yang terkenal
Sumber gambar : Penulis – Kronologi bantahan penukaran status sekolah

Masyarakat Cina menentang keputusan ini secara besar-besaran sehingga ada sebuah sekolah Cina di Pulau Pinang yang menerima surat berdarah daripada pelajar, guru dan ibu bapa. (Kini, sekolah tersebut antara SMJK yang terdapat di Pulau Pinang). Setiap sekolah telah menulis surat bantahan. Akhirnya, hanya beberapa buah sekolah sahaja yang akur terhadap keputusan kerajaan pada masa itu. Sekolah-sekolah yang lain kekal dengan status SMPC sehingga hari ini. Peristiwa inilah dijadikan isu terkuat oleh SMPC setiap kali mereka mempromosikan sekolah masing-masing di semua SJKC agar mereka dapat menarik perhatian generasi kecil untuk datang belajar di sekolah mereka.

SMPC pada hari ini bukan lagi sekolah-sekolah persendirian Cina pada zaman British atau pada zaman empat Perdana Menteri kita yang terawal. SMPC hari ini beribu-ribu kali jauh lebih maju daripada SMK. Sebelum peruntukan diluluskan, terlebih dahulu Dr. Maszlee perlu menjawab soalan-soalan asas ini :

  1. Adakah SMK hari ini mempunyai semua kelas yang dilengkapi alat penghawa dingin,projektor dan komputer serta jaringan internet yang sangat lancar?
  1. Adakah semua SMK pada hari ini mempunyai makmal Sains, makmal Fizik, makmalKimia, dan makmal Biologi yang sangat lengkap dan berteknologi?
  1. Adakah semua SMK pada hari ini mempunyai bilik astronomi yang sangat lengkap dan mempunyai hubungan secara langsung dengan satelit Taiwan bagi subjek Geografi?
  1. Adakah SMK pada hari ini mempunyai beberapa buah dewan, beberapa buah auditorium, dan panggung teater sendiri?
  1. Adakah SMK pada hari ini mempunyai tabung kebajikan pelajar sendiri untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan?
  1. Adakah SMK pada hari ini mempunyai 5 buah makmal komputer untuk kemudahan kelas teknologi maklumat?
  1. Adakah SMK pada hari ini mempunyai makmal Chrome yang bekerjasama secara langsung dengan pihak Google Chrome?
  1. Adakah SMK pada hari ini mempunyai pusat pembelajaran bahasa Inggeris yang menggunakan silibus Cambridge dan dilengkapi dengan makmal komputer sendiri?

Dr. Maszlee perlu membuat lawatan dan meninjau SMPC. Jangan membaca kertas cadangan dan laporan mereka sahaja. Dr. Maszlee tidak boleh mendengar suara-suara mereka sahaja. SMPC tidak miskin. SMPC mewah dan sangat mewah.  Tidak ada alasan yang kukuh untuk mereka mendapatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan.

SMPC dinaungi oleh jutawan. Malah ada SMPC yang dinaungi oleh taikun dari Taiwan. Semua ahli lembaga pengarah dan AJK PIBG bukan calang-calang harta mereka. Agaknya peruntukan yang bakal diberikan oleh kerajaan hanya menjadi bahan senda mereka kerana berapalah sangat nilainya jika berbanding kewangan sedia ada yang dimiliki oleh setiap sekolah ini. Kalau semasa mereka susah dahulu mereka bertegas sanggup tidak mahu menerima bantuan kewangan kerajaan daripada menjadi SMJK, kenapa pula setelah kaya-raya mereka memohon peruntukan tersebut?

Usahlah Dr. Maszlee memandang serius pada tuntutan mereka. Tuntutan tersebut merupakan agenda politik mereka sahaja. Dr. Maszlee boleh juga mengadakan sesi dialog dengan guru-guru Melayu yang mengajar di SMPC. Dengar pandangan dan pendapat golongan minoriti ini  pula. (Dalam hal ini, jati diri Melayu guru-guru tersebut teruji).

Usah percaya banyak ibu bapa Melayu yang menghantar anak mereka belajar di SMPC. Memang ada tetapi boleh dikira dengan jari. Dan Dr. Maszlee harus tahu keadaan mereka dalam aspek subjek Pendidikan Islam. Subjek tersebut tidak dimasukkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Pandai-pandailah pelajar yang beragama Islam belajar sendiri. Hal ini juga perlu dipandang berat oleh Menteri Pendidikan jika hendak mengiktiraf UEC.

Waqaf Saham

Keputusan untuk memberikan peruntukan harus diperhalusi sehalus-halusnya. Menteri Pendidikan boleh minta laporan kewangan untuk mempertimbangkan di mana perlunya peruntukan kewangan untuk SMPC. Jika benar-benar perlu, barulah diberikan. Memang ada dua atau tiga buah SMPC di Sarawak yang sangat memerlukan bantuan kewangan. Akan tetapi, peruntukan itu tidak perlu untuk SMPC yang lain. Percayalah. SMPC tidak miskin.

Selaku Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee harus lebih memikirkan dan memusatkan perhatian terhadap pendidikan negara secara keseluruhannya dan bukannya fokus terhadap tuntutan-tuntutan mereka. Mereka yang bersifat diberi betis hendak paha ini akan membuat pula tuntutan yang seterusnya jika tuntutan mereka kali ini diluluskan. Kerajaan terdahulu pernah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM 2013 – 2025).

Tidak lama kemudian Dong Zong juga melancarkan pelan Pembangunan Pendidikan SMPC sehingga 2050. Yang pastinya setiap langkah dalam pelan tersebut mendahului beberapa langkah PPPM 2013-2015. Pastinya penyelitan salah seorang daripada kalangan mereka dalam jawatan penting di Kementerian Pendidikan Malaysia  dan pengiktirafan UEC serta peruntukan untuk SMPC juga termasuk dalam pelan mereka sendiri. Malangnya, semasa pembentangan pelan tersebut, guru-guru bukan Cina tidak dijemput hadir.

Dr. Maszlee haruslah meminta pihak Dong Zong untuk membentangkan pelan mereka tersebut. Dalam hal ini, terjemahan dalam bahasa Melayu sangat penting dan bahagian terjemahan haruslah juga disertai orang Melayu yang pakar dalam pendidikan dan boleh membaca, menulis dan berbahasa Cina dengan sangat baik. Saranan ini bukan bersifat prejudis atau rasis.

Mereka mengetahui dan sentiasa ingin tahu semua dasar kerajaan tetapi setiap dasar mereka disembunyikan seketat-ketatnya. Carilah dalam Google kalau kita dapat memperoleh informasi tentang dasar pendidikan mereka. Tidak adakan? Tetapi setiap dasar dan program kerajaan berada di hujung jari sahaja. Jadi, tidak ada sebab untuk pihak Dong Zong merahsiakan pelan pendidikan mereka melainkan ada agenda tersembunyi.

Bukan mudah memegang jawatan Menteri Pendidikan. Sebelum ini, kecam orang itu, kecam orang ini. Selar keputusan pihak itu, selar keputusan pihak ini. Sekurang-kurangnya, mereka yang dikecam dan diselar itu mengetahui, memahami, dan mengamalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dalam hal ini, Dr. Maszlee patut meminta pandangan Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana satu ketika dahulu beliau sangat tegas terhadap Dong Zong. Kalau beliau pun sudah meleburkan prinsip beliau, maka kerajaan hari ini (khasnya Melayu) akan dipergunakan oleh pihak lain sahaja.

Masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian oleh Menteri Pendidikan. Jangan terlalu melayani kerenah masyarakat Cina. Jika tuntutan masyarakat Cina ini berjaya, masyarakat India pula akan membuat desakan-desakan yang serupa. Dan hal ini boleh mempengaruhi masyarakat peribumi yang berada di Sabah dan di Sarawak. Kalau begitu keadaannya, tidak ada apa-apa legasi yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan di bawah kerajaan PH kerana Menteri Pendidikan sibuk memenuhi tuntutan ekoran janji membabi buta dalam PRU yang lalu.

Pada tahun keempat memegang jawatan Menteri Pendidikan, pasti sibuk pula melakar janji lagi untuk persediaan menghadapi PRU yang seterusnya. Maka tugas Menteri Pendidikan hanya memenuhi tuntutan janji sahaja (kalau masih diberi peluang sekali lagi dalam PRU yang akan datang). Tidak adalah makna Menteri Pendidikan kepada rakyat Malaysia untuk tempoh 5 tahun kalau begitu.

Rujukan :

  1. Tan Yao Sua, Pendidikan Cina di Malaysia : Sejarah, Politik, dan Gerakan Perjuangan, USM, 2014