Tatkala sesetengah negara mula menunjukkan tanda mengurangkan jangkitan penularan Covid-19, lain pula kisahnya bagi Amerika Syarikat. Ketika artikel ini ditulis, Negara Uncle Sam itu mencatat 614,246 kes dan 26,064 kes kem4tian sekaligus menjadikannya sebagai negara yang mempunyai kadar jangkitan dan kem4tian Covid-19 terbesar di dunia ketika ini. Jadi, apa punca yang mengakibatkan perkara sebegini berlaku?

Pertama, situasi perkhidmatan kesihatannya yang teruk. Di sebalik status mereka sebagai sebuah negara maju bertaraf kuasa besar dunia, perkhidmatan kesihatan mereka dianggap terburuk jika mengikut kedudukan perkhidmatan kesihatan negara-negara maju (Donald ‘Berus’ Trump takkan bersetuju dengan pandangan ini).

Dan satu sebab yang mengakibatkan perkhidmatan kesihatan AS dibelenggu masalah tidak efisien dan masalah ketidaksamarataan ini ialah duit. Ya, duit. Berdasarkan Pangkalan Data Perbelanjaan Kesihatan Global WHO, 33% rakyat Amerika mengakui berdepan masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Rajah 1: Purata perbelanjaan kesihatan rakyat AS jauh lebih tinggi berbanding negara-negara lain. Sumber: https://www.vox.com/policy-and-politics/2020/3/16/21173766/coronavirus-covid-19-us-cases-health-care-system

Keadaan ini jauh berbeza di negara-negara maju lain seperti Perancis, Jepun, Sweden, Belgium dan Kanada. Tetapi ini realiti di mana mereka bergelut membayar atau tidak boleh menanggung bil perubatan dan pelan insuran mereka enggan meliputi tuntutan perubatan yang dibuat.

Dalam satu kaji selidik yang dijalankan Gallup pada tahun 2019, 33% responden menangguhkan rawatan perubatan atas sebab kos. Manakala 25% lagi menangguhkan prosiding penjagaan kesihatan mereka kerana bimbang soal kos.

Malah, satu kaji selidik pada tahun 2018 mendedahkan pesakit-pesakit kanser terutama wanita yang mengalami kanser payu dara enggan menjalani pemeriksaan kerana bimbang jumlah wang yang banyak akan ditolak dari pelan insuran mereka.

Dan semasa situasi pandemik Covid-19, AS merupakan satu-satunya negara yang menyaksikan rakyat mereka yang berisiko perlu membelanjakan wang untuk mendapatkan bantuan semasa krisis. Sampaikan satu artikel The New York Times mendedahkan sesetengah warga Amerika terpaksa membayar AS$4,000 bagi boleh ditempatkan dalam kawasan kuarantin yang dikendali pihak kerajaan.

Selain kos, infrastruktur penjagaan kesihatan AS juga amat teruk lebih-lebih lagi ia dibina di atas sistem pembayaran yang teruk. Ini kerana wujud kekurangan kapasiti terutama dari segi katil hospital untuk menempatkan pesakit. AS mempunyai purata katil per seribu paling sedikit iaitu 2.8 per seribu, jauh ditinggalkan Australia (3.8 per seribu) dan Belanda (3.6 per seribu).

Rajah 2: Purata katil per kapita AS lebih rendah berbanding Jepun, Jerman dan Perancis. Sumber: https://www.vox.com/policy-and-politics/2020/3/16/21173766/coronavirus-covid-19-us-cases-health-care-system

Kekurangan katil ini berpunca daripada kadar penghospitalan pesakit kronik yang lebih tinggi di AS di mana dengan pengurusan teratur, pesakit tidak perlu ke hospital. Antara penyakit kronik yang sepatutnya boleh diurus dengan baik ialah penyakit asma, diabetis dan penyakit jantung.

Tetapi malangnya, perkara tersebut tidak berlaku berikutan kekurangan atau ketiadaan akses kepada penjagaan kesihatan utama dan kos penjagaan yang tinggi walaupun untuk penjagaan rutin. Perkara ini yang menyumbang kepada peningkatan penghospitalan pesakit yang mempunyai penyakit yang boleh dicegah.

Selain masalah kekurangan katil, AS juga turut menghadapi masalah kekurangan doktor per kapita dan jauh tertinggal di belakang negara-negara maju. Gabungkan dua kekurangan ini dan ia menghasilkan struktur perkhidmatan kesihatan yang tidak stabil, menanti masa untuk runtuh. Dan ia akhirnya runtuh bila dibadai ribut bernama Covid-19.

Atas sebab itulah, tidak terkejut daripada 23,656 kes kem4tian yang direkodkan AS sebenarnya lebih sedikit daripada dilaporkan dan bilangan yang m4ti akibat Covid-19 sebenarnya jauh lebih tinggi. Ini berikutan ada individu yang disyaki positif Covid-19 memilih m4ti di rumah atau rumah penjagaan orang tua kerana tidak sanggup menanggung bil perubatan tinggi.

Kedua, isu kekurangan ujian Covid-19. Seperti ditekankan oleh Dr Harvey Fineberg, kunci utama untuk memenangi pertarungan menentang Covid-19 ialah melakukan seberapa banyak ujian Covid-19 bagi mengetahui situasi sebenar pandemik wabak. Dan ini dilakukan oleh beberapa negara yang dilihat berjaya mengatasi penularan Covid-19 seperti China dan Korea Selatan sekaligus menjadi model resepi melawan Covid-19 seperti yang dilakukan Malaysia.

Malangnya, perkara tersebut tidak berlaku di AS. Walaupun pada ketika ini AS berjaya meningkatkan keupayaan pengujian Covid-19 dari 4,000 ujian per sejuta kepada 27,000 ujian per sejuta, ia masih belum mencukupi untuk sampai ke tahap yang diperlukan iaitu 100,000 ujian per sejuta.

Dan berdasarkan pandangan ramai pakar kesihatan dari Dr Anthony Fauci hinggalah Dr Thomas Frieden, AS terlepas peluang melakukan perkara berkenaan pada Januari dan Februari 2020 tatkala China masih bergelut mengatasi penularan wabak di wilayah-wilayahnya termasuk Wuhan ketika itu.

Pusat Kawalan Penyakit (CDC) yang diketuai penyelidik AIDS terkenal Dr Robert R. Redfield, 68, seharusnya berjaya menghasilkan kit ujian Covid-19 yang boleh dikongsikan dengan makmal negeri-negeri. Tetapi bila kit ujian itu didapati bermasalah pada Februari lepas, beliau berjanji masalah itu akan dapat diselesaikan dengan cepat.

Hakikatnya, ia mengambil masa berminggu-minggu sebelum ia berjaya diselesaikan. CDC juga turut mengawal ketat individu mana yang patut diuji dan lewat melaksanakan ujian pengawasan berasaskan komuniti, amalan biasa dalam mengesan penularan virus. Jika perkara ini dapat dilakukan lebih awal, AS dapat mengesan titik panas Covid-19 negara itu dan segera bertindak mengekang penularan wabak itu.

Hasrat AS melakukan lebih banyak ujian Covid-19 turut dihalang oleh peraturan tegas yang dikuatkuasakan oleh Pesuruhjaya Pentadbiran Dadah dan Makanan (FDA), Dr Stephen Hahn. Hahn menetapkan pelbagai peraturan ketat yang menyukarkan usaha hospital, klinik-klinik swasta dan syarikat-syarikat melaksanakan ujian Covid-19 semasa kecemasan.

Tatkala banyak negara sibuk menguji ribuan orang per sejuta, AS hanya mampu menguji 100 orang per sejuta. Ya, 100 orang per sejuta! Fakta ini mengecewakan ramai pihak seperti pakar-pakar kesihatan, ahli-ahli perundangan dan rakyat yang semakin terdesak.

Ketiga, isu pertikaman politik dan partisan. Tidak seperti Malaysia yang dilihat berjaya mengetepikan seketika isu partisan agar fokus melawan Covid-19, perkara sebaliknya menimpa Washington. Tak habis-habis drama terutama membabitkan pegawai-pegawai Rumah Putih.

Dan orang yang merasa bahana perkara ini semasa Covid-19 teruk membadai dunia ialah Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Alex M. Azar II. Ramai berang dengan kelembapan dua agensinya mengendalikan isu ujian Covid-19 tetapi Azar II dilihat gagal memberi tekanan untuk mempercepat atau mengubah haluan berkenaan kit ujian Covid-19.

Selain itu, Azar II juga dilihat tidak sehaluan dengan Rumah Putih dalam banyak isu. Sebelum jawatan pengerusi pasukan petugas khas Covid-19 diisi oleh Naib Presiden Mike Pence, jawatan tersebut disandang oleh beliau sehingga akhir Februari lepas.

Berikutan ketiadaan ketua perantara pasukan petugas khas merangkap pemangku ketua staf presiden Mike Mulvaney, Azar II dilihat tidak dapat melobi isu Covid-19 termasuk keperluan mengadakan ujian yang lebih banyak terhadap warga AS. Keadaan ini tidak dibantu dengan sikap setia tidak bertempatnya terhadap Trump dan perang dingin dengan saintis-saintis jabatannya sendiri termasuk Dr Redfield.

Perkara ini akhirnyz membawa kepada penyingkiran Azar II sebagai ketua pasukan petugas khas dan digantikan oleh Pence. Perkara itu berlaku pun selepas ramai anggota pasukan petugas khas memberi amaran: selesaikan isu kelewatan ujian Covid-19 atau kita akan berada di sini sepanjang malam.

Sejak itulah, peraturan-peraturan ketat yang membelenggu semua usaha ujian Covid-19 dilonggarkan dan lebih banyak makmal dibenarkan mengadakan ujian Covid-19. Tetapi ia sudah terlambat.

Permainan partisan sama juga turut membelenggu Trump terutama pada bulan-bulan awal penularan Covid-19. Presiden AS itu dilihat terlalu fokus melawan ancaman pemecatan dan rundingan p3rang dagang dengan China serta menganggapnya ia satu isu remeh.

Rajah 3: Sikap Trump yang memandang remeh ancaman Covid-19 akhirnya memakan diri.

Bukan sekali dua beliau menolak mentah-mentah amaran yang diutarakan pegawai-pegawai kanannya berkenaan Covid-19. Tak percaya? Boleh lihat di bawah:

  1. Majlis Keselamatan Negara (MKN) AS menerima laporan perisikan berkenaan Covid-19 seawal Januari 2020. Laporan tersebut mendedahkan ia bakal menular ke AS dan antara langkah yang harus diambil ialah melaksanakan perintah berkurung dan penjarakan sosial. Trump hanya berbuat demikian pada pertengahan Mac 2020.
  2. Mendapat memo daripada penasihat perdagangan AS, Peter Navarro pada 29 Januari yang memberi amaran sekiranya pandemik Covid-19 tidak dihalang, ia bakal menjatuhkan ekonomi AS dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar. Memo Navarro bagaimanapun tidak dilayan.
  3. Azar II memberi amaran kemungkinan pandemik Covid-19 semasa berhubung dengan Trump melalui telefon pada 30 Januari. Presiden AS yang dalam perjalanan ke Midwest untuk membuat penampilan awam bagaimanapun menolak amaran Setiausaha Kesihatannya itu dan menyifatkan Azar II sebagai terlalu paranoid.

Keengganan Rumah Putih mengambil serius ancaman Covid-19 bukan saja ditunjukkan oleh Trump tetapi juga pegawai-pegawai yang dilantiknya. Bukan sekali pegawai-pegawai ini bertegang urat tentang isu Covid-19 dari isu sekatan perjalanan ke China hinggalah isu penyaluran dana.

Misalnya, isu sekatan perjalanan ke China pada Januari 2020. Sekatan ini dicadangkan oleh pegawai-pegawai yang anti-China dan idea yang pada dasarnya cuba mengekang penularan Covid-19 dicemari dengan ideologi yang menolak China di setiap penjuru. Perkara ini menimbulkan kemarahan puak-puak yang sedang merundingkan penamatan p3rang dagang antara kedua-dua pihak dan berpotensi menjahanamkan peluang pemeteraian perjanjian berkenaan.

Keengganan ini juga turut dipengaruhi oleh isu pemilihan semula Trump sebagai Presiden AS. Perlu diingat pada tahun ini, AS bakal menjalankan pilihan raya presiden dan Trump tahu peluangnya untuk kekal bakal dipengaruhi oleh situasi ekonomi AS. Sekiranya situasi ekonomi AS dalam keadaan baik, maka peluangnya untuk kekal cerah apatah lagi lawannya ialah bekas Naib Presiden AS dari Parti Demokrat, Joe Biden.

Rajah 4: Trump tahu peluang mengalahkan Joe Biden cerah sekiranya ekonomi AS dalam keadaan baik tetapi semua itu berubah dengan Covid-19.

Dan atas sebab itu juga yang mendorong Trump untuk terus berlengah dalam soal perintah berkurung dan penjarakan sosial. Beliau tahu jika dua perkara itu dilaksanakan, ekonomi AS dalam keadaan bahaya sekaligus menjejaskan kedudukannya menjelang pilihan raya presiden yang bakal berlangsung pada akhir tahun ini.

Tetapi semua itu berubah menjelang pertengahan Mac apabila Trump akhirnya akur dengan saranan pakar-pakar kesihatan dan melaksanakan perintah berkurung seperti yang dimahukan oleh mereka.

Di sebalik tekanan daripada Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin untuk tidak melakukannya kerana boleh merosakkan ekonomi AS, pakar-pakar yang sudah hilang sabar berpandangan ekonomi AS tetap akan musnah jika mereka tidak berbuat apa-apa.

Perintah berkurung dan penjarakan sosial dilaksanakan selama dua minggu. Tetapi selepas melihat impak besar perintah itu terhadap ekonomi AS, Trump sentiasa mencari jalan untuk menarik balik perintah berkenaan di sebalik tentangan keras pakar-pakar kesihatan dan gabenor-gabenor negeri yang terkesan.

Dengan hari-hari semakin berlalu dan bilangan kem4tian Covid-19 AS semakin meningkat, apa saja harapan untuk membuka kembali negara menjelang Easter punah sudah. Dan disebabkan pelbagai masalah yang dicetuskan sama ada pentadbirannya sendiri atau masalah struktur yang membelenggu perkhidmatan kesihatan AS, satu fakta sahaja penting: bagi setiap nyawa rakyat AS yang hilang, beban kesalahan perlu ditanggung Trump sama ada beliau suka atau tidak.

RUJUKAN:

  1. Davis, Aaron et. (2020). Coronavirus death toll: Americans are almost certainly dying of covid-19 but being left out of the official count. The Washington Post. https://www.washingtonpost.com/investigations/coronavirus-death-toll-americans-are-almost-certainly-dying-of-covid-19-but-being-left-out-of-the-official-count/2020/04/05/71d67982-747e-11ea-87da-77a8136c1a6d_story.html
  2. Goodnough, Abby et al. (2020). The Lost Month: How a Failure to Test Blinded the U.S. to Covid-19. The New York Times. https://www.nytimes.com/2020/03/28/us/testing-coronavirus-pandemic.html
  3. Sanger, David. (2020). He Could Have Seen What Was Coming: Behind Trump’s Failure on the Virus. The New York Times. https://www.nytimes.com/2020/04/11/us/politics/coronavirus-trump-response.html
  4. Scott, Dylan. (2020). Coronavirus is exposing all of the weaknesses in the US health system. Vox. https://www.vox.com/policy-and-politics/2020/3/16/21173766/coronavirus-covid-19-us-cases-health-care-system

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.