Kenapa Aku Suka God Of War Terbaru?

0
615
views

Aku suka sekuel God of War yang terbaru ini.

Selain dapat belajar sikit mitologi Norse, perkembangan watak Kratos (watak utama) semakin signifikan.

Kemunculan anak dia (Loki/Atreus) menjadikan sekuel ini lebih kuat pusat penceritaannya.

Aku rasa dapat kenal watak dan personaliti sebenar Kratos daripada sini sebab 3 sekuel sebelum ini dia tak banyak bercakap dan motif utama dia cuma dendam ke atas para dewa Olympus.

Jadi, sekuel sebelum ini tak nampak perkembangan watak Kratos secara signifikan.

Misi utamanya, Kratos nak buang abu mayat isterinya, Feya di puncak gunung Joteinheim.

Sepanjang perjalanan, dia cuba nak didik anaknya jadi seorang pahlawan. Benda ini sebenarnya aku rasa tema paling menarik.

Aku rasa Kratos memang real anti-hero. Sangat realistik dan kata-katanya bijaksana. Dia juga seorang yang praktikal. Kratos tak memberikan suatu bentuk harapan seperti tradisi hero.

Tapi dia berikan macam mana nak ‘survive’ dan ‘secure’. Aku rasa perwatakan Machiavellian ada dalam diri dia. Tambah lagi, wataknya dah semakin lunak dan ada ‘compassion’. Berbanding sebelum ini yang agak ganas.

Ada satu babak itu dia cakap ke anak dia, ada waktu semua ketua yang bagus dan ramai pengikut akan buat keputusan yang buruk.

Sekuel sebelum ini, Dewi Athena yang banyak dedahkan mitologi Yunani (walaupun tak semuanya tepat), tapi kali ini anaknya yang banyak bercerita tentang mitologi Norse yang dia dapat daripada ibunya.

Anaknya jenis banyak bertanya, jadi Kratos selalu biarkan anaknya sendiri cari jawapan melalui kaedah Sokratik. Kaedah menyoal kembali pertanyaan tersebut sampai dapat jawapan.

Kratos tak memberikan kebebasan sepenuhnya dalam membentuk pemikiran dan prinsip anaknya supaya acuan yang dia berikan dapat menjadikan anaknya dapat menempuh hidup dengan selamat dalam kalangan dewa-dewa.

Kratos kali ini adalah kesan daripada penyesalannya sewaktu hidup di Greece. Dia cuba untuk hidup seperti manusia biasa, bukan dewa. Jadi, anak dia pun tak tahu yang dirinya adalah dewa juga seperti ayahnya.

Tema kedewaan (godhood) Atreus pun aku rasa tema yang menarik kerana mengetengahnya falsafah eksistensial. Terdapat perkembangan yang menarik sewaktu Atreus rasa dirinya manusia dan kemudian dapat tahu yang dirinya seorang dewa.

Walaupun Kratos selalu pesan kepada anaknya bahawa semua dewa adalah jahat, itu tak menjadikan status dewa itu boleh membuatkan anaknya rasa superior dan boleh berbuat sesuka hati. Kuasa yang besar akan memegang tanggungjawab yang besar.

Aku tak main game ini. Aku cuma layan cut-scene cerita dia yang berdurasi 8 jam di You Tube. Dua hari aku layan sejak semalam. Pagi tadi baru habis.