Kenapa Adolf Hitler Dibenci Jerman?

0
3595
views
Hitler dan Mussolini Jun 1940

Tidak boleh dinafikan bahawa masih ada rakyat Jerman yang menyanjungi Adolf Hitler. Tidak boleh dinafikan bahawa masih ada yang beranggapan kesilapan Adolf Hitler hanyalah apabila beliau buka dua medan peperangan pada masa yang sama. Malah ada yang berpendapat peristiwa Holocaust hanyalah dongengan Gagasan Bersekutu. Namun, yang paling boleh dipersetujui, tidak boleh dinafikan bahawa Adolf Hitler adalah seorang tokoh yang dibenci, bukan saja di Israel, tetapi di Jerman juga.

Mungkin ada yang sudah lupa bahawa Malaysia pernah disebut dalam media Time kerana Adolf Hitler. Selepas skuad Jerman menumpaskan Brazil 7-1 dalam Piala Dunia 2014, Ahli Parlimen Kinabatangan menyanjung Adolf Hitler di akaun Twitter beliau. Sanjungan tersebut telah mengundang kecaman daripada Kedutaan Jerman, yang akhirnya membuatkan Bung Mokhtar Radin mohon maaf.

Jerman mempunyai undang-undang ketat mengenai penamaan anak. Walau apa cara sekalipun, seorang bayi tidak boleh dinamakan “Heinrich Himmler”, “Joseph Goebbels” dan “Adolf Hitler”. Memang nama “Hitler” sangatlah janggal untuk diletakkan kepada seorang bayi, kerana ia bersifatkan nama keluarga. Tetapi larangan ini melahirkan tanda tanya:

Apa yang membuatkan Jerman benci kepada Adolf Hitler?

Sejarawan Jerman, Thomas Weber, yang mengajar di Universiti Aberdeen mengatakan bahawa Adolf Hitler merupakan simbol kepada segala jenayah dilakukan Jerman. Tiada siapa yang boleh jadi sejahat beliau. Rakyat Jerman tidak akan bersifat apologetik mengenai Adolf Hitler.

Waqaf Saham

Berdasarkan kenyataan Weber, harus diteliti terlebih dahulu kesan-kesan Perang Dunia Kedua. Sejurus sahaja Jerman tewas, negara tersebut dibahagi seperti beberapa orang mencarik kain. Alsace-Lorraine dikembalikan kepada Perancis. Sudetenland dihulurkan kepada Czechoslovakia. Kesatuan Soviet, Poland, British dan Amerika Syarikat turut menerima pampasan dalam bentuk kilang, buruh kasar dan arang batu. Dan gaya hidup Jerman merosot teruk. Tiada bantuan yang boleh diberikan kepada Jerman, kecuali pada kadar untuk elakkan kebuluran.

Jerman siap ‘dibogelkan’ agar tidak dapat mengisytiharkan peperangan lagi. Industri-industri mereka dirangkul Gagasan Bersekutu. Sebanyak 1,500 kilang-kilang pembuatan dimusnahkan agar perindustrian Jerman merosot. Penghasilan besi diturunkan. Dalam proses yang sama, tiada pertubuhan kesihatan dibenarkan masuk untuk memberikan bantuan kemanusiaan. Jerman hanya mula diberikan bantuan daripada Amerika Syarikat hanya apabila didapati kemakmuran Eropah memerlukan Jerman yang stabil. Dan semua bala bencana ini diharungi Jerman dengan kematian lebih daripada tujuh juta rakyat.

Itu belum lagi dikira dengan aturan-aturan pasca-Perang Dunia Kedua, iaitu nasib-nasib rakyat Jerman di wilayah dikuasai Kesatuan Soviet. Dengan kejatuhan produktiviti makanan dan sekatan daripada Jerman Timur, makanan sentiasa tidak mencukupi. Simpanan penduduk pula lenyap hampir 99%. Mana-mana ahli Nazisme di Jerman Timur diserap masuk ke organisasi Stasi agar dapat memusnahkan sebarang pertunjukan rasa tidak puas hati.

Semua ini berlaku akibat kekalahan dalam Perang Dunia Kedua. Dan Perang Dunia Kedua pula dimulakan apabila Adolf Hitler menyerang Poland, sekaligus menyebabkan Perdana Menteri Britain isytiharkan peperangan terhadap Jerman.

Namun, fakta-fakta ini hanyalah bersifat luaran. Jika ditelusuri hati rakyat Jerman, agaknya berapa ramai yang jadi anak yatim piatu akibat dasar-dasar ketenteraan fasisme Adolf Hitler? Seramai 18.2 juta menyertai Angkatan Ketenteraan Jerman Nazi (Wehrmacht). 4.3 juta daripada mereka dianggap terkorban dan hilang dalam peperangan yang akhirnya membuatkan negara tersebut dibom teruk.

Pada tahun 1940, sebagai tindakbalas kepada pengisytiharan perang, Jerman telah melancarkan serangan udara ke atas Britain. Serangan Blitzkrieg ini gagal tundukkan Britain, Adolf Hitler mengalihkan pandangan ke Operasi Barbarossa iaitu menyerang Kesatuan Soviet pula. Namun, pembalasan kepada Blitzkrieg telah melumatkan Jerman. Seramai mana yang menjadi balu dan yatim dalam kedua-dua operasi ini?

Akhirnya penilaian rakyat berbalik kepada perkara yang paling penting: hati dan perut. Apabila rakyat mula sakit hati dan perut kosong akibat pemimpin yang tidak berhati perut, agaknya semua orang tahu apa yang akan berlaku. Terutama sekali ketika bekalan sentiasa tidak mencukupi, yang mana kekurangan ini akan melonjakkan harga makanan.

Previous articleNasionalisme China Dalam Filem ‘Ip Man’
Next articleSiapakah Pemuda Ashabul Kahfi Yang Ditidurkan Dalam Helaian Sejarah?
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.