Kenapa Ada Orang Turki Sanjung Mustafa Kamal Ataturk?

23616
views

Majoriti umat Islam kini terutamanya yang bukan rakyat Turki pasti akan membenci tokoh kontroversi bernama Mustafa Kamal Ataturk (MKA). Dia dikatakan sebagai punca terhapusnya Khilafah Turki Uthmaniyyah. Namun hakikatnya, hampir seluruh rakyat Turki dahulunya menganggap MKA sebagai hero bangsa. Kini, separuh rakyat Turki masih lagi mengagungkan Ideologi Kemalis terutama dalam kalangan tentera. Kalau tak percaya, pergilah tengok sendiri di Turki. Gambar-gambar MKA digantung disana-sini dan jangan cuba-cuba menghina MKA, nanti orang Turki belasah anda!

Sepertimana orang Malaysia menyayangi Tunku Abdul Rahman (TAR) sebagai Bapa Kemerdekaan Malaya, begitu juga anggapan rakyat Turki kepada Mustafa Kamal yang digelar AtaTürk (Bapa Turki) kerana memperjuangkan kemerdekaan Turki. Tulisan ini bukan mewakili pandangan peribadi penulis, tetapi ianya adalah penulisan yang mewakili pandangan rakyat Turki. Mari kita lihat rasional rakyat Turki dalam isu taboo ini.

1- HERO KEMERDEKAAN
🇲🇾TAR merupakan kerabat DiRaja Kedah yang keluar istana untuk aktif dalam politik. Beliau menggantikan Onn Jaafar seorang pemimpin Melayu yang mempunyai darah Turki Uthmaniyyah sebagai pemimpin UMNO. Dulu-dulu, banyak pihak politik Melayu berusaha melawan penjajah Jepun atau British seperti PKMM, Rejimen Melayu ke-10 PKM, KMM, MPAJA, PUTERA-AMCJA, Hizbul Muslimin dan UMNO. Ada yang lawan secara perang dan ada secara rundingan. Perjuangan sayap kiri kebanyakkannya diharamkan oleh British.

TAR adalah salah seorang pejuang Nasionalis sayap kanan. Setelah menjadi wakil kerajaan tempatan melalui Pilihanraya Persekutuan 1955, TAR memimpin kerajaannya untuk membuat Rundingan London pada 1956 bagi menuntut kemerdekaan dan seterusnya menggubal perlembagaan persekutuan melalui Suruhanjaya Reid sebulan kemudian. Kemerdekaan tercapai pada 1957, 2 tahun setelah kerajaan TAR dibentuk.

🇹🇷MKA pula merupakan seorang Komander Perang dalam angkatan tentera Khilafah Turki Uthmaniyyah. Pada 1918, Turki Uthmaniyyah kalah dalam Perang Dunia Pertama. Tentera Bersekutu iaitu British, Perancis, Itali dan Rusia yang memenangi peperangan itu telah mencarik-carikkan wilayah Khilafah Turki Uthmaniyyah. Khalifah ketika itu tidak lagi menguasai empayar Islam sebaliknya hanya menjadi Sultan yang mampu berkuasa di sekitar Turki sahaja. Bahkan Tentera Bersekutu mencengkam hampir 70% wilayah Turki untuk dijajah pula.

Pada 1920, MKA membentuk kerajaan yang dikenali sebagai Majlis Kebangsaan Turki (MKT) di Ankara. MKA dilantik menjadi Perdana Menteri kerajaan MKT. Kesultanan Turki Uthmaniyyah ketika itu sangat lemah dan perlu tunduk kepada kuasa Barat. Oleh itu, wakil kerajaan Sultan Turki Uthmaniyyah di Istanbul menandatangani Perjanjian Sevres yang membolehkan kedaulatan Turki tergadai kerana menjadi negara taklukan barat.

MKA tak bersetuju dengan Perjanjian Sevres lalu memimpin sebuah revolusi politik dan ketenteraan yang dipanggil Gerakan Nasional Turki bagi menentang penjajahan Turki. Maka berlakulah Perang Kemerdekaan Turki antara Turki pimpinan MKA melawan gabungan Britain, Perancis, Itali, Yunani dan Armenia. Rakyat Turki amat takut ketika itu kerana perlu berhadapan dengan gabungan tentera barat yang baru saja memenangi Perang Dunia Pertama. Namun keajaiban berlaku apabila MKA berjaya menewaskan gabungan tentera barat itu pada 1922.

Setelah itu, MKT di Ankara memutuskan secara rasmi bahawa bentuk pemerintah baharu akan digunakan di Turki. MKA dipilih sebagai pemimpin Turki lalu dia memindahkan ibu negara Turki dari Istanbul ke Ankara. Pada 1923, Kerajaan Turki pimpinan MKA menghadiri Muktamar Luzan di Switzerland lalu tertubuhlah Republik Turki baharu dengan MKA menjadi Presidennya. Kemerdekaan Turki pada 1923 ini adalah 3 tahun setelah MKA membentuk kerajaannya.

Akhirnya, pada 3 Mac 1924, dengan rasminya Mustafa Kamal menghapuskan sistem Khalifah. Republik Turki berjaya membebaskan diri dari dijajah oleh Barat tidak seperti negara Islam lain yang dijajah oleh kuasa barat dan hanya mencapai kemerdekaan setelah tamatnya Perang Dunia Kedua. Sebab itu orang Turki menganggap MKA ini hero nasionalis yang bijak tidak seperti Raja-Raja Arab.

2- POLITIK PRO BARAT
🇲🇾Dasar luar Malaya ketika zaman pemerintahan TAR lebih bercorak Pro-Barat Anti-Komunis memandangkan negara baru sahaja merdeka dan pada waktu ini ancaman komunis masih kuat.

🇹🇷Namun, pemerintahan MKA di Turki adalah lebih ekstrim pro baratnya berbanding Malaya. Kononnya, bagi menolak unsur Autokratik tertutup, MKA mengamalkan pemerintahan bercorak Demokrasi Liberal dengan nilai-nilai sekular yang lebih bebas dan sama rata buat rakyatnya. Hasilnya, kemelesetan ekonomi Turki mula mengukuh kembali.

3- BUDAYA HIDUP ALA BARAT
🇲🇾Suatu ketika dahulu di Malaya, budaya hidup ala Barat adalah perkara normal. Ustazah sekolah pun hanya memakai skarf dan skirt. Isu aurat hanya mula dititik beratkan ketika zaman al-Arqam yang disebut sebagai unsur “Talibanisasi” oleh masyarakat.

🇹🇷Pada zaman MKA memerintah, Turki ketika itu mengalami Revolusi Fesyen bagi melambangkan masyarakat berketamadunan moden. Walaupun isteri dan ibu MKA sendiri bertudung, tetapi majoriti masyarakat Turki pada ketika itu tidak bertudung. Pemakaian skarf dalam urusan rasmi tidak dibenarkan. Ini adalah bagi meraikan hak kebebasan dan mengangkat darjat hak kewanitaan. Bahkan, Turki antara negara terawal di eropah yang membenarkan wanita untuk mengundi. Orang lelaki pula dilarang memakai penutup kepala berunsur keagamaan. Sebaliknya, mereka disarankan untuk memakai topi “koboi”.

4- PENGHAPUSAN TULISAN ARAB
🇲🇾Dahulu penulisan orang Melayu menggunakan bahasa Melayu Klasik manhaj Hamzah Fansuri sepertimana yang terkandung dalam kitab-kitab Turath Jawi. Kemudian, Bahasa Melayu Klasik ini dimodenkan dengan menggunakan tulisan Jawi moden. Seterusnya pada era TAR, tulisan Jawi dihapuskan sepenuhnya dalam urusan rasmi oleh seorang ahli politik dari Kedah iaitu Khir Johari pada tahun 1966.

🇹🇷Di Turki, MKA juga menghapuskan penggunaan tulisan Arab dan menggantikan sistem huruf dan tulisan yang dicipta olehnya sendiri. Sebelum kedatangan Islam ke Turki dahulu, Turki merupakan sebahagian dari wilayah Yunani dan kemudiannya Rom Byzantine. Oleh itu, Sistem tulisan yang berteraskan tulisan Latin atau Rumi ini lebih sesuai digunakan untuk bunyi bahasa Turki berbanding penggunaan huruf Arab. Hasilnya, MKA berjaya mengurangkan kadar buta huruf di Turki.

Selain memperkenalkan tulisan Turki Moden, MKA juga memperkenalkan Bahasa Turki Moden bagi menggantikan bahasa Turki Klasik yang banyak dipengaruhi unsur Arab dan Parsi. Al-Quran serta Azan diterjemah dan dibaca dalam bahasa Turki Moden agar mudah difahami oleh rakyat. Namun, tindakan ini ditentang kuat oleh golongan konservatif terutama dari kalangan agamawan.

Sistem pengajian tradisi seperti Turath Islami dihapuskan dan digantikan dengan sistem pengajian Saintifik Kontemporari. Semua ini berlaku kerana rakyat Turki telah lama meninggalkan cara hidup Islam dan mengamalkan budaya hidup ala barat. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan perlu diubah mengikut situasi semasa masyarakat agar mereka tidak keciciran dari mengejar arus pemodenan.

5- KAITAN FREEMASON
🇲🇾Menurut sesetengah dakwaan, seorang ahli politik dari Kedah iaitu Sanusi Junaid mendedahkan bahawa TAR merupakan ahli Freemason. Ketika itu popular dengan buku bertajuk “Apa Salahnya Masuk Freemason”.

🇹🇷Manakala di Turki, amat masyhur bahawa MKA merupakan ahli Freemason dengan banyaknya bukti yang tersebar. Bahkan, MKA dikatakan seorang yang gemar minum arak dan berzina. Namun, fokus penulisan ini bukan nak cerita pasal Freemason, hanya sebagai sisipan sahaja. Orang kita kalau cerita pasal Freemason nanti akan jadi melalut ke arah lain.

Tulisan ini bukan nak menyamakan antara TAR dan MKA, tetapi nak menggambarkan bagaimana pandangan orang Turki terhadap MKA adalah sama seperti pandangan orang Malaysia terhadap TAR. MKA disini ialah Mustafa Kamal Ataturk