Kenapa Ada Lahar Bewarna Biru?

2,519

https://bit.ky/kombowww

Yang mana satu daripada dua gambar yang menunjukkan aliran lahar gunung berapi ini telah diubah suai? Jawapannya, tiada.

Kebiasaannya, aliran lahar yang dimuntahkan oleh sesebuah gunung berapi itu, berwarna merah atau jingga yang terang.

Walau bagaimanapun, gambar ini menunjukkan ‘aliran lahar’ itu mempunyai warna biru.

Ia diambil oleh seorang jurugambar bernama Olivier Grunewald, di Gunung Berapi Kawah Ijen yang terletak di Indonesia.

Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa warna biru yang terhasil itu, bukanlah warna sebenar lahar yang dimuntahkan oleh gunung berapi itu sendiri.

Tetapi sebelum itu, tahu tak apa perbezaan diantara lahar dan magma?

Lahar adalah cecair batuan sangat panas yang mengalir keluar dari gunung berapi yang meletus.

Manakala, magma adalah cecair batuan sangat panas yang terletak di bawah kerak bumi.

Perbezaannya adalah lokasi.

Baiklah, berbalik kepada topik asal, lahar yang mengalir keluar dari Gunung Berapi Kawah Ijen tidaklah berbeza dari lahar gunung berapi yang lain.

Tetapi, perbezaan di dalam kandungan mineral atau gas pada satu kawasan atau sesebuah gunung berapi itu akan menyebabkan perubahan pada warna lahar tersebut.

Di kawasan Kawah Ijen ini, selain daripada gas-gas lain, kuantiti tinggi gas sulfur juga turut keluar dari permukaan tanah dengan suhu serta tekanan yang sangat tinggi.

Gas sulfur yang keluar, terdedah kepada oksigen yang wujud bebas di udara, kemudian akibat percikan api yang berpunca daripada aliran lahar, tercetuslah pembakaran yang menyebabkan lahar itu kelihatan seperti ia berwarna biru.

Oleh kerana warna biru yang terhasil itu disebabkan oleh pembakaran gas dan bukanlah dari warna lahar itu sendiri, ia hanya dapat dilihat dengan jelas pada waktu malam sahaja. Manakala pada waktu siang, warna lahar tersebut kelihatan sama seperti aliran lahar gunung berapi lain.

Namun disebalik kecantikan alam semulajadi ini, tersembunyi kisah kepayahan pelombong yang mencari rezeki di Gunung Berapi Kawah Ijen.

Apabila lahar bersulfur menyejuk, ia menjadi sebuah batuan yang kaya dengan kandungan sulfur.

Pelombong kemudian akan mengumpul batuan sulfur ini ke dalam bakul atau raga rotan yang dibawa mereka.

Mereka bekerja dalam keadaan yang sangat berbahaya. Malah ada diantara pelombong ini melombong batuan sulfur tersebut tanpa sebarang pakaian perlindungan, sama ada sarung tangan, kasut dan topeng gas yang sesuai.

Sekadar fakta tambahan, sulfur merupakan antara mineral yang banyak kegunaannya.

Ia digunakan untuk menghasilkan serbuk letupan, mancis, baja, asid, dan turut digunakan dalam proses pemvulkanan lateks getah.

 

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.