Kenan – Kecatatan Pada Bayi Yang Baru Lahir Akibat Langgar Pantang Larang

413

Kamus Dewan Bahasa mendefinasikan Kenan sebagai kepada dua pengertian, satu adalah bermaksud kecacatan. Iaitu kecacatan pada bahagian tubuh badan seperti wajah, hidung, tangan, kaki dan sebagainya. Maksud kedua pula keganjilan kepada perlakuan, bahasa tubuh atau gerak geri tubuh seperti tangisan serupa binatang, selalu mengaru seperti monyet dan bercakap seperti binatang.

Menurut Amran Kasimin, kenan adalah kecelakaan atau kecacatan pada bayi yang baru dilahirkan akibat melanggar pantang atau melakukan perkara terlarang yang dilakukan oleh ibu bapa semasa bayi dalam kandungan. Contohnya memukul atau membunuh binatang seperti ular, monyet hatta kucing.

Winstedt (1925) menyatakan terdapat satu taboo pada masyarakat Melayu ketika itu iaitu tidak boleh membunuh atau memukul binatang semasa bayi dalam kandungan kerana akan mengakibatkan kenan.

Jika si suami pada masa isterinya mengandung mematahkan sayap burung, kelak nanti bayi yang dilahirkan akan mengalami kecacatan seperti buta atau cacat anggota. Beliau menulis lagi pada bulan keenam kandungan, si suami tidak dibenarkan memotong tumbuhan menjalar atau membuang ikan yang terlekat pada mata kail kerana dikhuatiri mulut bayi akan menjadi sumbing.

Mohd Anuar Ramli telah menghuraikan beberapa pantang larang untuk menggelakkan kenan iaitu:

1. Ibu mengandung dilarang menceritakan kecacatan orang kepada orang lain. Ini akan mengakibatkan anaknya turut menjadi cacat.

2. Tidak dibenarkan mencerca sesuatu yang ganjil kerana akan memberi kesan kepada bayinya.

3. Tidak boleh menyiat atau mencucuk telinga kerbau untuk membuat tanda. Jika tidak anak bakal dilahirkan akan cacat telingannya.

4. Wanita mengandung tidak dibenarkan menyembelih, memukul atau memaki ayam kerana bakal mencacatkan anaknya.

5. Wanita mengandung tidak boleh melangkah atau memijak kucing yang sedang tidur. Ini menyebabkan bayi yang dilahirkan bakal buta.

6. Wanita mengandung tidak dibenarkan memotong muncung ikan kerana bayinya nanti akan sumbing.

7. Wanita mengandung tidak boleh menyeksa atau membunuh binatang. Takut anaknya nanti akan cacat.

Pantang larang ini menyebabkan ibu bapa betul-betul mengikut pantang larang. Jika anak cacat maka mereka akan ditanya atau dipersalahkan kerana melanggar pantang larang menyebabkan bayi kenan. Terdapat pelbagai jenis kenan iaitu ;

Kenan Kucing – kecacatan pada anak mata.
Kenan Katak – kecacatan pada tangan atau kaki
Kenan Biawak – perlakuan seperti biawak. Seperti kerap menangis.
Kenan Ular – tidak boleh makan makanan tumbuhan menjalar seperti tembikai
Kenan Ikan – sumbing

RUJUKAN:

Kepercayaan kenan dalam masyarakat melayu – kajian daripada perspektif Islam oleh Mohd Anuar Ramli dan Syamsul Azizul MArinsah.

RO Winstedt – Shaman, Saiva and Sufi – A Study Evolution Of Malay Magic.

Amran Kasimin – Penjagaan Bayi Dalam Pantang (1995)

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.