Sejak berlakunya Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan UMNO kembali semula sebagai sebahagian dari kerajaan setelah 22 bulan sebagai pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Ketua Pembangkang.

Sejak dari peristiwa itu, landskap politik Malaysia berubah sama sekali dan terus menerus mengalami pergolakan sehinggalah perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin sebagai  Perdana Menteri ke – 8. Selepas perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri, banyak spekulasi ditimbulkan sama ada Datuk Seri Ismail Sabri atau Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Perdana Menteri 9.

Setelah Istana Negara menitahkan agar seluruh Ahli Parlimen mencalonkan Perdana Menteri mereka, Datuk Seri Ismail Sabri memiliki jumlah sokongan yang paling banyak berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim dan secara tidak langsung, Datuk Seri Ismail Sabri bakal menjadi Perdana Menteri ke – 9.

Bila sebut je nama Ismail Sabri secara peribadi, mesti akan dikaitkan dengan penyanyi yang juga anaknya, Gadaffi atau nama popularnya Dafi  ataupun menantunya, Dato’ Jovian Mandagie, seorang pereka fesyen yang terkenal yang berkahwin dengan anak sulung Datuk Seri Ismail Sabri, Nina Ismail Sabri.

Keluarga Datuk Seri Ismail Sabri

 

Datuk Seri Ismail Sabri dilahirkan di Temerloh pada 18 Januari 1960. Beliau banyak membesar di Temerloh, terutamanya di sekitar Lubuk Kawah.  Beliau merupakan anak bongsu dari enam orang adik beradik. Keluarganya berasal dari Salor, Kelantan dan kemudian berhijrah ke Temerloh. Ketika beliau menuntut di Tingkatan 6, ayahnya meningg.al dunia dan dike.bumikan di Temerloh.

Datuk Seri Ismail Sabri mula mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Bangau pada 1967 dan menyambung pelajarannya di peringkat menengah di Sekolah Menengah Air Putih Kuantan pada 1973 dan seterusnya Sekolah Menengah Teknik Kuantan pada 1976. Ismail kemudian menyambung pelajarannya di Tingkatan Enam sebelum menyambung pelajarannya di Universiti Malaya di dalam bidang undang-undang.

Beliau juga pernah menulis sebuah tesis yang bertajuk  “Layanan terhadap tahanan politik di Malaysia“. Di universiti, Ismail merupakan pelajar yang aktif. Pada tahun 1982, beliau dilantik sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan sering menggunakan platform ini untuk membela kebajikan pelajar. 

Selepas menamatkan pelajarannya, Ismail bekerja sebagai peguam  pada tahun 1985. Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah Temerloh. dan Ahli Majlis Perbandaran Temerloh pada tahun 1996. Ramai yang tidak tahu bahawa mentor kepada Datuk Seri Ismail Sabri di dalam bidang politik ialah Tan Sri Sabaruddin Chik, bekas Ahli Parlimen Temerloh dari 1982 hingga 1999.

Pada tahun 1995, Ismail telah dilantik sebagai Setiausaha Politik Tan Sri Sabaruddin semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian Dan Pelancongan.  Pada tahun yang sama juga, beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Penggalakan Pelancongan.  Di peringkat parti, Ismail dilantik sebagai AJK Bahagian Temerloh pada 1987  dan Ketua Penerangan UMNO Temerloh setahun selepas itu. Pada tahun 1993, beliau dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian UMNO sehingga beliau tamat tempoh umur di dalam Pemuda UMNO.

Datuk Seri Ismail Sabri di sebuah program Pemuda UMNO. Kelihatan juga Norman Abdul Halim di sebelah kanan beliau. Kredit: FB Wak Nahar Kamsani

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia menjelang tahun 2000. Pada 2004, beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian UMNO Temerloh. Selepas persempadanan semula dijalankan bersempena dengan Pilihan Raya Umum 2004, Sebahagian Temerloh telah dipecahkan menjadi Parlimen Bera dan beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian UMNO Bera yang pertama. Pada PRU 2004, beliau berjaya menjadi Ahli Parlimen Bera yang pertama.

Selepas kejayaan beliau pada PRU 2008, Datuk Seri Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Belia Dan Sukan di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Di dalam KBS, beliau bertanggungjawab terhadap projek Olimpik di Beijing dan pasukan Malaysia berjaya mendapat 2 pingat perak semasa temasya tersebut. Lebih manis, pingat itu disumbangkan oleh Datuk Lee Chong Wei yang juga merupakan pingat sulung buat beliau dan negara setelah kali terakhir negara mendapat pingat di dalam Olimpik semasa edisi  1996 di Atalanta.

Datuk Seri Ismail Sabri semasa di Kementerian Belia Dan Sukan
Kredit: Datuk Seri Ismail Sabri

Setelah Datuk Seri Najib menggantikan Tun Abdullah pada 2009, Ismail dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan.  Di dalam KPDNKK, Ismail Sabri membela nasib para artis megenai royalti lagu mereka. Beliau juga turut memperkenalkan program-program yang begitu dekat dengan rakyat seperti Menu Rakyat 1 Malaysia, Kedai 1 Malaysia dan lain-lain lagi.

Di bawah pentadbiran beliau juga, Akta Persaingan telah diwartakan pada 2010 untuk menyelesaikan rangkaian bekalan. Menerusi kementerian beliau dan Bank Rakyat , banyak van-van jenazah di masjid-masjid telah disumbangkan ke setiap kampung di seluruh negara agar ahli-ahli kariah dapat menggunakan sekiranya berlakunya kecemasan.  Pada tahun 2010 juga, beliau telah berjaya menyelesaikan isu royalti terhadap lagu-lagu Tan Sri P. Ramlee dan royalti itu disumbangkan kepada waris Tan Sri P.Ramlee di dalam sebuah acara.

Selepas Pilihan Raya Umum 2013, beliau dilantik sebagai Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani. Pada tahun 2014, beliau telah memperkenalkan konsep Jihad Memerangi Orang Tengah agar pembekal dan peraih mendapat keuntungan yang sepatutnya mereka miliki dan pada masa yang sama, harga barangan juga tidak naik secara mendadak. Beliau juga turut bersama-sama Lembaga Perikanan Ikan Malaysia membina banyak jeti-jeti nelayan di bandar-bandar pesisir pantai di seluruh negara.

Selepas pertukaran kabinet dilakukan pada tahun 2015, beliau dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar. Beliau merupakan perintis kepada penubuhan MARA Digital yang ditubuhkan untuk bumiputera di dalam pengkhususan bidang teknologi seperti telefon, komputer dan sebagainya. Beliau juga melaksanakan prorgram Membandarkan Luar Bandar untuk memastikan proses pembangunan luar bandar berada di landasan yang betul.

Pelaksanaan yang dirangka untuk tempoh lima tahun itu memberi penumpuan kepada enam fokus utama iaitu prasarana, pembangunan belia, ekonomi, keusahawanan, modal insan dan sistem penyampaian. Penyediaan infrastruktur asas luar bandar juga akan diperhebat terutamanya di kawasan yang masih kurang liputan terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan pedalaman di semenanjung Malaysia termasuk kawasan Orang Asli untuk menggalakan generasi muda supaya terus tinggal dan membina masa hadapan di luar bandar.

Setelah kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum 14, beliau bersam-sama Datuk Seri Muhammad Hassan dilantik sebagai Naib Presiden UMNO . Pada tahun 2019, beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.  Setelah Tan Sri Mahiaddin Yassin menjadi Perdana Menteri pasca Langkah Sheraton, beliau dilantik sebagai Menteri Kanan Keselamatan merangkap Menteri Pertahanan.

Pada Julai 2021, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sehinggalah perletakan jawatan Perdana Menteri ke 8 pada 16 Ogos 2021. Ini secara tidak langsung bahawa Datuk Seri Ismail merupakan Timbalan Perdana Menteri paling singkat di Malaysia, iaitu selama 40 hari sahaja. Setelah berlaku beberapa konflik dan kemuncaknya, Istana Negara menitahkan agar setiap ahli parlimen menulis satu nama calon perdana menteri dan akhirnya Datuk Seri Ismail Sabri memiliki jumlah yang terbanyak.

Datuk Seri Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke -9

 

Pada 21 Ogos 2021, secara rasminya, Datuk Seri Ismail Sabri telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke sembilan.  Pelantikan beliau ini sebenarnya mencipta beberapa rekod, antaranya, parlimen yang diwakili oleh Perdana Menteri merupakan parlimen termuda berbanding Perdana Menteri yang lain kerana Parlimen Bera diwujudkan pada tahun 2004. Beliau juga merupakan perdana menteri yang kedua setelah Tunku Abdul Rahman yang tidak pernah dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan seterusnya Perdana Menteri dari UMNO yang pertama yang bukan menyandang jawatan sebagai Presiden UMNO.

Selamat Maju Jaya diucapkan buat Perdana Menteri Ke – 9!

Steady Rodong Koi!

Penulis bersama Perdana Menteri Malaysia ke – 9

RUJUKAN:

Temubual bersama bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bera

Tembubual bersama bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Ismail Sabri

Temubual bersama Tan Sri Sabaruddin Chik

Temubual bersama kepimpinan UMNO negeri-negeri.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Titanic - Politik - Filem Klasik

Comments are closed.