Individu ini acap kali sering disebut sebagai wira negara dalam situasi negara kita yang sedang menghadapi penularan wabak Covid-19. Individu ini setia memberi maklumat kepada orang awam daripada pengesahan kepada kes pertama di dalam negara ini sehinggalah ke hari ini di mana kes sudah mencapai jumlah 2320 kes (jumlah kes setakat tarikh 28 Mac 2020).

Daripada wajahnya yang tampak aktif dan segar sehinggalah kini wajahnya kelihatan sedikit sugul dan penat. Mungkin barangkali disebabkan oleh kelelahan dalam tugasan membendung wabak Covid-19 ini daripada terus menular lagi.

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua individu dan pihak yang berada di barisan hadapan dalam menentang ancaman wabak Covid-19 ini. Hanya Allah yang dapat membalas jasa anda semua. Terima Kasih!

Kenali Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia

Siapa sebenarnya individu yang cukup tidak asing lagi kepada rakyat Malaysia pada ketika ini? Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia yang bernama Noor Hisham bin Abdullah ini dilahirkan pada tanggal 21 April 1963 di Sepang, Selangor.

Beliau telah memulakan tugas sebagai seorang Pegawai Perubatan pada sekitar tahun 1988 sebaik sahaja beliau berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Doktor Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kira-kira 6 tahun setelah menjawat jawatan Pegawai Perubatan itu, beliau telah menyambung lagi pengajiannya ke peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pembedahan sebelum dilantik sebagai Pakar Pembedahan Am di Hospital Kuala Terengganu seusai menamatkan pengajiannya itu.

Dr. Noor Hisham kemudian telah melaksanakan beberapa siri latihan di beberapa buah universiti di Australia. Beliau telah melaksanakan latihan dalam Pembedahan Edokrin Payudara di Universiti Adelaide pada tahun 1997 sebelum melaksanakan latihan dalam Pembedahan Edokrin di Universiti Sydney pada tahun berikutnya pula.

Sekembalinya beliau ke tanah air tercinta dari perantauan, beliau telah dilantik sebagai Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin di Jabatan Pembedahan Hospital Kuala Lumpur di ibu negara. Sudah tentu, banyak jasa yang telah dicurahkannya sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan itu.

Setelah lebih 4 tahun mencurah bakti dan keringat di ibu negara, beliau telah berpindah ke Putrajaya pada tahun 2002 selepas dilantik sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am di Hospital Putrajaya.

Beliau kemudian telah menjawat jawatan tersebut dengan penuh berdedikasi selama lebih 5 tahun. Prestasinya yang baik sepanjang bertugas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia jelas menjadikan dirinya sebagai pilihan yang terbaik untuk menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia. Beliau kemudian akhirnya telah dilantik menjawat jawatan tersebut pada tanggal 29 Januari 2008, kira-kira 12 tahun yang lalu.

Kecemerlangannya tetap berada dalam tahap konsisten lebih-lebih lagi setelah dilantik memegang jawatan kedua tertinggi dalam Kementerian Kesihatan Malaysia itu. Amanah yang diberikan telah dipikulnya dengan begitu baik sekali.

Hasilnya, pada tanggal 1 Mac 2013, beliau akhirnya dilantik sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menggantikan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang telah diturunkan pangkatnya setelah didapati bersalah dalam sebuah kes khalwat.

Tanggal 1 Mac 2013 telah menjadi titik permulaan kepada Dr. Noor Hisham sebagai pemikul amanah terbesar dalam Kementerian Kesihatan Malaysia selepas Menteri Kesihatan itu sendiri. Semoga Allah terus menunjukkan jalan yang benar kepada Dr. Noor Hisham dalam terus menerus mencurahkan bakti kepada negara terutamanya dalam saat getir seperti yang kita hadapi kini.

Penghargaan Terhadap Dr. Noor Hisham

Dr. Noor Hisham merupakan individu yang menjadi tulang belakang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia. Jadi, tidak hairanlah jika beliau telah menerima pelbagai jenis penghargaan dari dalam mahupun luar negara.

Beliau telah menerima anugerah Kesatria Mangku Negara (K.M.N) pada tahun 2004 diikuti dengan anugerah Panglima Jasa Negara (P.J.N.) 3 tahun kemudian pada tahun 2007. Diiringi lagi dengan anugerah Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (D.P.M.P.) daripada Tuanku Raja Perlis.

Tidak terhenti di situ, TuankuRaja Perlis sekali lagi telah menganugerahkan kepada Dr. Noor Hisham Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (S.P.M.P.) 3 tahun berikutnya pada tahun 2013. Pada tahun yang sama juga, beliau telah menerima anugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri Pulau Pinang (D.M.P.N.) daripada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Pulau Pinang.

Akhir sekali, pada tahun berikutnya, tahun 2014, Tuanku Sultan Pahang pula yang telah menganugerahkan Dr. Noor Hisham dengan anugerah Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (S.S.A.P.).

Selain daripada itu, beliau juga pernah menerima anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari Hospital Kuala Lumpur pada tahun 2000 dan juga anugerah Perkhidmatan Cemerlang dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 2004.

Bukan sahaja dari dalam negara, Datuk Dr. Noor Hisham juga telah menerima pelbagai anugerah dari banyak negara lain. Beliau telah menerima anugerah dari negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Hong Kong dan banyak lagi negara lain.

Tonton video khas dari kami.

 

Ulasan Penulis

Datuk Dr. Noor Hisham bersama-sama dengan kesemua petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia telah berusaha sedaya upaya dalam usaha mereka untuk membendung wabak Covid-19 yang sedang melanda negara kita dan dunia ini daripada terus menular dengan hebat.

Tidak dilupakan juga, individu-individu dan pihak-pihak lain yang berdiri di barisan hadapan dalam saat yang getir ini. Mereka semua ini telah meninggalkan kaum kerabat dan sahabat handai mereka demi kesejahteraan kita semua di negara ini. Tanpa pengorbanan mereka, kita tidak akan mampu untuk hidup sejahtera dalam keadaan sebegini rupa.

Oleh itu, patuhlah akan arahan dan nasihat yang telah dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Arahan-arahan dan nasihat-nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia itu sendiri, arahan dan nasihat juga daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita dan tidak lupa juga arahan dan nasihat daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

#StayAtHome

RUJUKAN :

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia (n.d.). Ketua Pengarah Kesihatan. http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/43
  2. The Star (21 Februari 2013). Dr Noor Hisham Abdullah is new Health D-G https://www.thestar.com.my/news/nation/2013/02/21/dr-noor-hisham-abdullah-is-new-health-dg

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.