Kenali Internet Melalui “Ralph Breaks The Internet”

575

Ketika ini, boleh dikatakan hampir semua individu terdedah kepada rangkaian internet. Daripada yang muda hingga ke lanjut usia, semua pasti tahu dan pernah menggunakannya. Tidak kira melalui telefon pintar atau komputer, internet adalah satu benda yang wajib dilayari pada setiap hari. Sehingga pada satu tahap, apabila internet mengalami gangguan, semua pasti tak senang duduk, seolah-olah harinya membosankan dan tidak lengkap. Begitulah cengkaman kuasa internet terhadap minda masyarakat.

Namun saya pasti tidak semua orang tahu bagaimana “rupa” sebenar internet. Kita cuma tahu buka, tekan kata carian dan ‘puff’, semua depan mata. Kita hanya membayangkan dunia internet hanya sekadar skrin nipis telefon atau monitor 20 inci yang sekeping itu. Berapa ramai yang boleh mewujudkan dalam pemikirannya bahawa dunia internet itu seperti dunia realiti?

Sebuah filem yang mengangkat tema ‘dunia internet’, filem “Ralph Breaks The Internet” antara sebuah filem yang menceritakan realiti sebenar dunia internet. Berbanding dengan filem-filem Hollywood yang lain yang hanya memaparkan pemanipulasian internet atau sistem komputer, filem ini telah memberi ‘wajah sebenar’ yang selama ini kita tidak tahu. Filem ini banyak memberi pengajaran dari segi moral, kisah hidup, persahabatan, dan yang utama adalah keluar dari zon selesa. Filem ini merupakan sekuel kepada filem pertamanya, “Wreck-It Ralph”.

Saya bukan mahu mengulas mengenai perjalanan filem ini, tetapi lebih kepada apa yang boleh kita fahami mengenai dunia internet itu sendiri. Dunia internet yang digambarkan di dalam filem ini memudahkan penonton mempelajari bagaimana internet itu berfungsi.

Bermula dengan tuan arked permainan Ralph dan Vanellope (Mr Litwak) memasang wifi router yang membolehkan arked permainannya disambung dengan internet, ini salah satu cara Mr Litwak menaik taraf permainan di arkednya kepada yang lebih terkini berbanding bermain konsol arked yang sudah ketinggalan zaman.

Di sini Ralph dan Vanellope cuba untuk meneroka dunia internet hanya untuk mengganti roda steering yang telah patah kerana Ralph cuba campur tangan dan mengubahsuai permainan Vanellope iaitu Sugar Rush. Babak seterusnya menunjukkan apa yang akan berlaku apabila pelayar internet mula menyambungkan peranti dengan router di mana router akan mencipta alamat IP unik untuk setiap pelayar.

Ketika mana Ralph dan Vanellope “menaiki” IP ciptaan untuk ke dunia internet, mereka tiba di sebuah “bandar” yang mana wujudnya semua aplikasi dan laman web yang kita ketahui seperti Google, Facebook, Twitter, dan lain-lainnya digambarkan seperti sebuah bangunan pejabat atau pusat beli-belah.

Bila mereka di sebuah “gerai” KnowsMore (enjin carian fiksyen- seperti Google), mereka disambut oleh seorang pelayan kaunter KnowsMore yang diibaratkan seperti ‘profesor serba tahu’. Apabila Ralph ingin bertanyakan sesuatu, KnowsMore terus mengeluarkan cadangannya umpama kita menaip di ruangan search bar  Google, Google akan secara automatik mengeluarkan cadangannya. KnowsMore mencadangkan untuk ke eBay untuk mencari roda steering itu.

Mereka berdua bergerak ke eBay dan menyertai aktiviti pembidaan yang digambarkan seperti acara bida di alam realiti. Malangnya mereka tidak punya duit untuk membayar di kaunter dan menyebabkan mereka terpaksa mencari helah lain. Babak seterusnya membawa Ralph dan Vanellope bertemu dengan seorang spammer– digambarkan seperti seorang jurujual yang terdesak untuk dapatkan pelanggan, yang memberi cadangan untuk mereka berdua mencuri steering di dalam permainan Slaughter Race yang sangat bernilai untuk dijual supaya mereka boleh membeli roda steering ganti.

Cubaan untuk mencuri kereta Shank (pemain utama Slaughter Race) tidak berjaya, dan mereka terpaksa pulangkan semula kereta tersebut. Di sini kita boleh memahami bagaimana sesebuah permainan yang dikawal oleh pemain secara beramai-ramai (MMORPG – Massively Multiplayer Online Role Playing Games) berbanding dengan permainan arked yang hanya boleh dikawal oleh seorang pemain sahaja. Permainan seperti ini juga memberi cabaran baru buat Vanellope yang mendapati ia berbeza dengan permainan Sugar Rush-nya yang dapat dijangka pengakhirannya.

Seterusnya mereka berdua dihantar ke BuzzTube (seumpama YouTube) untuk diperkenalkan kepada Yesss iaitu ‘pengawal algoritma video’ supaya membuat video yang boleh ditularkan untuk menjana pendapatan. Ralph membuat keputusan untuk membuat beberapa video yang trending dan Vanellope pula membantu menjana duit hasil daripada iklan pop-up. Pada babak ini, kita boleh faham bagaimana iklan pop-up itu berfungsi ketika kita melayari internet. Iklan pop-up akan keluar secara automatik apabila kita klik pada sesuatu info atau butang dalam laman web.

Selain daripada itu, babak Ralph yang berjumpa semula dengan spammer untuk membawa pulang Vanellope yang ingin tinggal di Slaughter Race juga memberi gambaran tentang bagaimana untuk mengakses dunia dark web yang wujud umpama dunia gelap dipenuhi dengan suasana kelam dan dihuni oleh gengster. Ralph ingin meminta bantuan virus supaya ia boleh merosakkan permainan Slaughter Race dan Vanellope boleh kembali semula ke dunia arked. Virus ini bertindak mencari kelemahan di dalam sistem yang menyebabkan sistem itu terpaksa di-reboot semula.

Malangnya apabila Ralph mengakui kerja yang dilakukannya dan menyebabkan Vanellope meninggalkan Ralph, virus yang tersebar di dunia internet itu telah menduplikasi Ralph dan menyerang “bandar internet”, menjadikannya huru-hara.  

Di dalam babak ini, kita ditunjukkan bahawa virus yang ada di dalam internet perlu dimusnahkan oleh perisian anti-virus tetapi oleh kerana virus tersebut terlalu ampuh daripada usaha untuk menghantarnya ke “daerah anti-virus”, maka mereka gagal namun oleh kerana Ralph sendiri berdepan dengan “klon”-nya sendiri, virus tersebut berjaya dihancurkan.

Keseluruhannya, filem ini adalah sebuah filem yang memberi pengetahuan kepada kita tentang gambaran dunia internet yang kita tak terbayangkan selama ini bagaimana ia bergerak, kewujudan dark web atau deep web dan juga bagaimana virus menyerang sistem komputer dan internet. Berbaloi menonton filem ini jika anda seorang pelayar tegar internet.

Artikel disumbangkan oleh Razif Abdul Rahim Al-Marbawi untuk The Patriots.

RUJUKAN:

Ashley. (2018, November 27). Laughs and Life Lessons: Ralph Breaks The Internet Review. Retrieved from https://www.withashleyandco.com/2018/11/ralph-breaks-the-internet-review/

Shah, S. (2019, February 22). How the creators of ‘Ralph Breaks the Internet’ showed two sides to life online. Retrieved from https://www.engadget.com/2019/02/12/ralph-breaks-the-internet-interview/

6 Fun Facts about Ralph Breaks the Internet. (2018, September 26). Retrieved from https://www.playpartyplan.com/ralph-breaks-the-internet-fun-facts/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.