Kenal Diri, Kenal Tuhan

1,049

“Barangsiapa mengenal akan dirinya, nescaya mengenal akan tuhannya.”

Kata-kata sufi ini mewangi di taman kuliah tasawwuf. Inilah kunci yang membuka rahsia hakikat kehidupan hamba bertuhan. Allah tidak pernah jauh dari kita. Dia sentiasa dekat. Tuhan tidak tinggal sewaktu past, present atau future. Tidak wujud di dalam tempat atau di luar tempat. Tiada yang menyerupai-Nya dengan apa pun. Namun, Tuhan bisa dikenal dengan merenung ke dalam diri manusia itu sendiri.

Allah berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.” (QS At-Tin: 4-6)

1-Kita mengenal-Nya melalui kesempurnaan kita.

Melihat ke dalam diri. Mengkagumi bagaimana teraturnya manusia dijadikan secara sempurna. Susun letak setiap abdomen ada fungi yang spesifik. Ada mata untuk melihat. Ada telinga untuk mendengar. Ada mulut untuk makan. Tangan untuk memegang dan kaki untuk melangkah. Kedudukan abdomen pula strategik.

Hidung elok lubangnya di bawah. Kalau lubang hidung ke atas, mesti payah bila hujan turun. Di mata pula, elok ada bulu mata yang menapis habuk-habuk daripada menyakiti bola mata. Lihat pula tangan kita, ada jari jemari yang memudahkan kita untuk menggenggam dan membuat isyarat.

Lebih dalam lagi, kita lihat pula urat saraf manusia. Sudahlah halus, bersambung pula sampai kepada keseluruhan bahagian tubuh badan. Kalau tukang urut refleksologi, tahulah yang di telapak kaki, ada urat dan pembuluh darah yang bersambung sampai ke jantung, hati, atau abdomen tubuh yang merata.

Urut sahaja di telapak kaki, kesannya terasa ke bahagian tubuh lain. Dalam jantung pula, ada darah yang dipam ke serata badan setiap detik. Hebatnya lagi, darah ini sampai ke bahagian-bahagian penting dengan tolakan injap jantung yang keras bekerja.

Dengan sempurnanya kejadian manusia, tidakkah ia mencari kepada pencipta?

2-Kita mengenal-Nya melalui kekurangan kita.

Apabila kita merenung dan memuhasabah diri, tampaklah yang kita tidak abadi. Kaya macam mana pun seseorang, dia pasti menemui ajal. Kuasa, rupa dan pengaruh tidak akan kekal selama-lamanya. Hiduplah 80 tahun, 90 tahun atau 100 tahun, lambat laun akan ke rahmatullah jua.

Orang yang kuat, gagah perkasa, tubuh berotot dan mampu mengangkat besi berkilo-kilo, kalau ditimpa sakit, rebah jua. Cuba kalau dicucuk nyamuk aedes, kena demam denggi, tak ke berselimut. Tubuh yang sasa, lemah juga dengan penyakit.

Pancaindera yang ada pada manusia pun terbatas. Tidak mampu melihat perkara yang terlalu dekat, dan tidak mampu melihat yang terlalu jauh. Ada yang tidak mampu dilihat kerana memudaratkan seperti gerhana. Ada yang tidak mampu dilihat kerana ia di dimensi lain seperti makhluk halus.

Untuk melihat kuman dan sel-sel kecil, manusia memerlukan mikroskop. Untuk melihat yang terlampau jauh contohnya bulan dan kejora, manusia memerlukan teleskop. Doktor yang bijak pandai berlajar oxford pun, memerlukan stetoskop untuk dengar degupan jantung dengan jelas. Manusia ni, memerlukan bantuan alat-alatan dalam kehidupannya.

Dengan lemahnya kejadian manusia, tidakkah ia menunduk kepada pencipta?

Jalal, Jamal & Kamal Allah.

Allah ialah tuhan yang kepada-Nya kita bersandar. Setelah melihat segala kekuatan pada diri sendiri, lihatlah siapa yang memberikan semua ini, Allah. Setelah melihat segala kelemahan pada diri sendiri, lihatlah siapa yang seharusnya kita kembali, Allah. Tiada daya upaya melaikan dengan izin Allah.

Dengan melihat cermin diri sendiri, sedarlah kita yang sifat makhluk ini tidak sama sekali dengan pencipta (khalik). Allah tidak memerlukan mikroskop, teleskop atau stetoskop untuk melihat. Sifat-Nya Maha Pelihat. Tuhan yang Maha Kuasa ini tidak pernah sakit. Seluruh alam semesti ini adalah kepunyaan-Nya. Bila kita melihat kekuatan kita yang terbatas beserta keleman kita yang tidak bertepian, sedarlah kita bahawa kita hanyalah hamba. Kepadan-Nya kita bersujud.

Cermin Hati.

Hati ialah cermin diri. Dengan hati, kita melihat buruk baik diri kita. Dengan cermin hati jua, kita boleh mengal Allah. Bagaimana? Iaitu dengan membersihkannya. Tazkiyatun nafs. Hati kita sudah mengenal tuhan sejak di alam azali lagi. Ia sudah merasai pertemuan dengan-Nya di hari alastu birabbikum.

Rahsia tauhid sudah tersimpan di peti hati. Tinggal dibuka dengan kunci al-Ihsan. Maharnya ialah syahadah islam dan ketulusan iman. Jika berdebu cermin hati, segudang kitab-kitab suci pun tidak mapu membukakan jalan. Hanya dengan hati yang suci, rahsia jiwa bisa terpancar. Yang dibutakan dengan kekaguman diri sendiri, akan kekal buta. Kerana tidak sedar kelemahan diri sendiri.

Hanya setelah kita sedar dan syahadah, bahwa segala kekuatan kita terbatas, dan kelemahan kita tidak bertepi, barulah kita reti untuk tunduk sujud, makrifat kepada Allah.

Dr Khalif Muammar berkata:

Memang jika dinisbahkan hamba kepada manusia ia adalah suatu kehinaan, namun demikian apabila perhambaan itu dinisbahkan kepada Tuhan sekelian alam, maka ia adalah suatu kemuliaan.

Menjadi hamba kepada manusia bermakna ia bergantung kepada orang yang ia sendiri bergantung kepada orang lain, yang diatur oleh kuasa lain, maka pergantungan kepada manusia yang lemah akan menjadikan kita semakin lemah, dan kerananya hina.

Sebaliknya apabila seseorang itu bergantung kepada yang Maha Kuasa, Yang Maha Besar, Yang memiliki segalanya, maka ia akan menjadi kuat dan mulia kerana orang lain tidak memiliki kemuliaan dan kelebihan itu.

Allah menciptakan manusia sebaik kejadian kerana manusia adalah ciptaanNya yang paling istimewa dan untuk tujuan yang lebih besar iaitu menjadi khalifahNya. Namun manusia tidak boleh lupa bahawa ia tetap merupakan hamba Allah dan kelebihan yang Allah berikan padanya tidak menjadikannya bebas daripada Tuhan, tidak tertakluk pada kuasa dan aturanNya.

Kebenaran hanya akan dapat dicapai jika kita ada sifat tawadu’, merendah diri.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.